Monday, November 29, 2004

Kalau anda seorang wanita yang baru berkahwin, inai di jari masih merah, khemah kenduri masih utuh di depan rumah, sanak saudara masih ada dua tiga keluarga yang masih belum pulang, sibuk mengemas dapur dan anjung, dan waktu Asar telah pun berlalu menghampiri Maghrib... tiba-tiba, suami yang amat anda cintai datang kepada anda dan berkata:
"kamu tidak lebih hanyalah isteri kedua ku.."

Apa anda nak buat? Apa perasaan anda?

Kalau aku sendiri pun aku rasa aku mesti kelu time tu. Bukan ramai wanita yang suci jiwanya sanggup di tipu atau tertipu. Juga bukan ramai suami yang mampu berkata benar bila dia tahu atau buat-buat tahu akibatnya nanti.

Sayid Hawwa, seorang ahli sufi telah berkata kepada isterinya ketika dia memulai perkahwinannya. "Kamu tidak lebih hanyalah isteri kedua ku..sedangkan isteri pertama ku adalah dakwah.." Subhanallah! Maha Suci Engkau yang menetapkan jiwa hambamu.

Ya Allah, kau kuatkan jihadku dalam menegakkan agama suci Mu.

Saturday, November 27, 2004

"Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepada Ku lah kembalimu"

Itu adalah firman Allah azza wajalla di dalam surah Luqman ayat yang ke 14.
Bila aku ingat tentang suruhan Allah yang satu ni, hati aku sering kali rasa sedih yang amat sangat. Bukan sebab aku nak jadi anak derhaka. Bukan juga anak aku derhaka pada aku.

Tapi sebab terlalu ramai anak yang membuang ibubapa sendiri di zaman ini. Bila kes orang buang anak tu memang la tak berhati perut. Tapi kes orang buang mak ayah ni lagiiiiiii lah aku tak setuju.

Ada banyak cara bagaiman orang buang ibubapa sendiri. Ada yang terus tidak mengaku ibubapa. Ada yang lari dari rumah, cuba menolak hakikat ibubapanya masih wujud. Ada yang memperhambakan ibubapa menjaga cucu yang kian ramai, menarik keistimewaan ibubapa yang perlu dimuliakan dan disanjung dihari tua.

Nabi Muhammad sallahu 'alaihi wa sallam pernah bersabda yang menyatakan tentang bagaimana seorang ibu itu akan mendapat pahala yang bertambah-tambah selama mana dia tinggal dengan anaknya (yang sudah dewasa). Aku tak faham tentang maksud Baginda sallahu 'alaihi wa sallam pada mulanya. Pastinya Rasul itu al-Amin, maka sesungguhnya aku yang jahil. Sangkaku tentulah anaknya yang mendapat pahala kerana membantu ibunya dan menjaganya. Bertahun-tahun aku mencari maksud sabda Baginda sallahu 'alaihi wa sallam.

Akhirnya Allah tunjukkan kepadaku dengan contoh yang paling jelas berlaku di hadapan mata. Sesungguhnya ibu yang tua itu banyak kerenahnya. Hati yang muda tak sanggup melayan satu persatu. Maka keluarlah herdik tengking seorang anak yang dikasihi berpuluh tahun lamanya. Ya Allah..

Aku terus ditunjukkan hidayahNya. Anak yang berzina, anak yang menghisap dadah, anak yang mencuri, pulang ke pangkuan ibu..Ibu sayang kan kau wahai anak. Ibu masih boleh peluk anak itu. Ibu masih boleh cium anak itu. Tanpa rasa jijik. Tanpa rasa marah.

Ibu yang tua berkerenah besar. Sekejap begini sekejap begitu. Ada yang tiba-tiba berhajat nak balik kampung, hendak duduk sendirian sementara menanti ajal. Ada yang tiba-tiba berhajat untuk mencari pasangan baru setelah sekian lama menyendiri. Ada yang tiba-tiba berhajat untuk berjalan pusing dunia sebelum tutup mata. Bagi seorang anak, dia tak mampu nak layan itu semua. Paling senang dia akan suruh ibunya duduk sahaja dirumah menanti. Bila pergaduhan berlaku antara mereka, anaknya akan mudah melafazkan herdik tengking berbanding ibunya sewaktu muda dulu.

Ya Allah, jauhkan aku dari semua itu. Jadikan aku anak yang soleh. amin ya Rabbal a'lamin.


Tuesday, November 23, 2004

Dua hari lepas aku dapat e-mail dalam mailing-list bertajuk 'Salam'. Pagi ni baru aku buka. Alhamdulillah. Salah seorang yang turut mengikuti mailing list tersebut baru sahaja mengucapkan syahadahnya di masjid berdekatan. Maha Suci Engkau, Ya Allah.

Aku doakan dia mudah mengharungi liku-liku kehidupan barunya. Semoga dia masih diterima di dalam keluarganya. insya Allah.

Amin ya rabbal A'lamin.

Monday, November 22, 2004

Tahniah untuk Liza officemate aku yang baruuuuu je semalam menukarkan statusnya jadik isteri orang. hehe.. Liza nampak anggun and jelita dalam pakaian pengantinnya warna hijau epal. Aku tak sempat tengok pengantin lelaki sebab nak balik cepat ada kerja menunggu di kedai. Apapun, doa aku semoga Allah memberikan taufik dan hidayah kepada pasangan baru ini, insya Allah. :)

Sebelum pergi ke rumah Liza semalam, kitorang empat family ramai-ramai konvoi pi rumah salah seorang bapa saudara aku. Ada gathering Hari Raya untuk keluarga sebelah Abah. Semua mak dan bapa saudara aku ada kecuali sorang. Adik beradik Abah semua 13 orang, jadi korang bole bayang le betapa ramainya gathering tu. Lepas tu pulak anak-anak diorang ramai yang dah berkeluarga dan beranak pinak. Jadinya semalam, yang first generation ni duduk kira cucu. Ada sorang cousin tu baru lepas pantang, bawak baby yang masih cute miut, merah-merah gituu..

Yang paling best ialah waktu Pak Uda (kami sebut 'Pokde') bagi tazkirah aidilfitri. Dia cerita pasal 5 perhentian, bukan 7 perhentian katanya. 7 perhentian tu director lain kata Pokde, yang 5 perhentian ni directornya ialah Allah. Semua orang samada suka atau tidak akan melalui kesemua perhentian ini.

Perhentian pertama ialah alam arwah. Tak wujud lagi jasad kita. Waktu tu kita ditanya samada sanggup berjanji dengan Allah atau tidak untuk menjadi hambanya yang taat. Sanggup atau tidak untuk menerima qada' dan qadar yang demikian tercatatnya. Bila sanggup, cukup masa nanti keluarla kita ke perhentian kedua.

Perhentian kedua ialah alam rahim. Inilah waktunya kita mula dibentuk di dalam rahim ibu. Ada yang duduk di situ 9 bulan. Ada yang lebih dan ada yang kurang. Di sini jugalah kita mula ditemani malaikat penjaga. Dalam surah ar-Ra'du kalau tak silap aku, ada Allah bagitau yang setiap manusia ni ada penjaganya yang tersendiri yang terdiri dari golongan malaikat.

Perhentian ketiga ialah alam syahadah. Waktunya bermula dari kita keluar dari perut ibu sampai la kita menghembuskan nafas yang terakhir. Waktu inilah kita kena realisasikan apa yang dijanjikan waktu alam arwah tadi. Waktu ini jugalah kita kena sediakan bekal banyak-banyak untuk dibawa ke perhentian yang seterusnya. Antara bekalan yang pasti boleh dibawa bersama bukan ijazah bergulung-gulung atau baju berguni-guni. Bukan juga wang yang tersimpan dalam empat lima buah bank. Tapi bekalan itu ialah amal ibadah kita yang diterima Allah, doa anak yang soleh dan sedekah jariah. Sedekah jariah ni juga termasuklah ilmu yang diajarkan dan digunakan oleh anak didik kita dan dikembangkan sehingga bila-bila.

Perhentian keempat ialah alam barzakh. Alam ni bermula dari saat kita dimasukkan ke liang lahad sehinggalah sangkakala ditiup oleh malaikat Israfil. Walaupun berpuluh ekar tanah kita ada, alam barzakh kita hanyalah seluas pusara. Walau bagamanapun, itu hanya pada pandangan mata. Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda yang bermaksud 'kubur itu boleh menjadi sebahagian dari taman-taman syurga atau sebahagian dari kawah-kawah neraka'. Ianya bergantung kepada amalan seseorang itu sewaktu dia diperhentian yang ke tiga. Waktu ini jugalah pentingnya bekalan tadi.

Perhentian yang terakhir ialah alam mahsyar. Kalau kita pernah lihat berpuluh ribu orang berasak-asak waktu demonstrasi atau rapat umum, di perhentian yang kelima ini kita akan lihat perhimpunan yang jauh lebih besar dan lebih agung dari itu. Semua manusia bermula dari Nabi Allah Adam alaihissalam hinggalah yang terakhir keluar dari perut ibu sewaktu sangkakala ditiup kelak. Subhanallah, Maha Suci Allah yang menghidupkan yang mati.

Itulah 5 perhentian kita. Aku yakin semua yang hidup sekarang ni dah pun melalui 3 perhentian. Dan pastinya juga semua sedang sibuk membuat persiapan untuk menuju perhentian yang keempat. Semoga amalan kita diterima Allah. Bagi yang bercahaya mata, didiklah putera-puteri dengan didikan Islam yang sempurna agar nanti dapat menjadi bekal yang kedua buat kita, insya Allah.






Thursday, November 18, 2004

5 Syawal 1425

4.00 a.m. - alarm phone bunyi.. Aku bangun untuk tutup alarm dan terus ke dapur untuk masak sahur. Niatnya nak mula puasa Syawal. Perut yang sakit semalam masih belum sembuh. Bukan sebab makan kuih raya terlalu banyak.. tapi sebab makan ketupat pulut sampai lima biji tanpa henti. Ntah kenapa raya kali ni aku jadi gila pulut. Lemang setengah batang aku sapu. Heh..

4.15 a.m. - set alarm phone ke pukul 6.15 a.m. Tak jadi nak sahur. Tak jadi puasa. Alasan: sakit perut.

Peh! Sesungguhnya bulan Ramadhan itu bulan rahmat! Ya Allah, lemahnya iman aku.. :(

Wednesday, November 17, 2004

Ramadhan dah berlalu bagi tahun hijrah 1425 ni. Bagi orang-orang yang 'dekat' dengan Tuhannya tentu mereka sedih dengan pemergian Ramadhan yang mulia. Bagi orang-orang yang berharap dan menagih kasih Tuhannya, tentu mereka mengharapkan agar dipanjangkan usia agar dapat lagi bertemu bulan yang mengandungi Malam Kemuliaan.

Semacam hidup kita juga yang sentiasa ada peperiksaan begitu juga bulan Ramadhan sebagai satu kayu ukur dalam tingkatan amalan dan ketaqwaan kita. Kalau di dalam kehidupan duniawi, pelajar sekolah suka atau tidak akan menghadapi PMR dan SPM. Setidak-tidaknya peperiksaan akhir tahun setiap kali nak melangkah ke tingkatan yang lebih tinggi. Penuntut universiti pula pastinya mencongak-congak CGPA apabila selesai peperiksaan bagi setiap semester. Anda pekerja kerajaan? Pun tak ketinggalan, peperiksaan untuk confirm jawatan, peperiksaan untuk kenaikan pangkat, atau mungkin juga peperiksaan untuk tukar jabatan. Nak kahwin pun ada peperiksaan juga walaupun tak lah selama peperiksaan sekolah rendah.

Bulan Ramadhan yang baru berlalu umpama peperiksaan untuk kita praktikkan ajaran yang kita perolehi selama ini. Bahagian adabnya, bahagian tauhidnya, bahagian feqahnya dan juga bahagian mua'malat.

Adab orang yang berpuasa tentunya lebih baik dari mereka yang tidak. Walaupun perut keroncong, tapi kesabaran masih boleh ditahan. Wajah manis dengan senyuman dan kederatnya, wah! Jauh lebih hebat dari hari-hari biasa. Sudahlah bangun bersahur dinihari, siangnya bekerja, waktu malamnya pergi bertarawih pula. Sebelum sahur sempat pulak luangkan masa untuk tahajjud! Masya Allah, hebatnya!

Tauhidnya pula pastinya utuh. Yakin dengan kewujudan Ilah walaupun bersendirian. Tidak terfikir untuk meneguk air sewaktu berwudhu'. Tidak terlintas untuk berdusta walaupun tiada yang tahu kebenarannya. Terlanjur mengumpat segera disusuli ucapan 'astaghfirullah'. Masya allah, bagusnya!

Feqah orang berpuasa tentu sahaja menjadi keutamaannya. Maklumlah, jika tidak tahu feqahnya, sia-sia sahaja dia berlapar dan dahaga. Tentunya niat puasa fasih dibibir. Doa berbuka dan bersahur sentiasa terucap sewaktu menghadapi hidangan. Duitnya juga tentunya yang halal untuk diberi makan anak dan isteri kesayangan. Apatah lagi untuk dihulur sebagai zakat fitrah dihujung Ramadhan. Waktu solat berjemaahnya pula, saf dijaga agar tidak terputus. Jika tidak sia-sia tunggang-tunggik berpuluh raka'at jika solatnya tidak diterima.

Mu'amalah orang yang berpuasa pula pastinya cantik dan halus dipandang mata. Semua golongan hampir sama tarafnya. Engkau lapar aku pun lapar. Waktu berbuka kita sama-sama makan apa yang ada. Herdik tengking pada si miskin jauh sekali. Tambah kesian lagi ada. Lepas bertarawih bersalaman dengan orang yang tidak dikenali seolah-olah sudah menjadi lumrah kita selama ini. Senyuman manis dan kata-kata selamat meniti dibibir. Selamat berpuasa, selamat berbuka, selamat bersahur. Macam dalam syurga lah pulak, Salam! Salam! Masya Allah! Cantiknya mua'malah orang yang berpuasa!

Tiba Syawal kini, seharusnya kita meniru penuntut U yang mencongak CGPA. Apakah iman kita berjaya naik setingkat lagi? Apakah taqwa kita berjaya melangkah ke atas lagi? Trampilkah kita? Atau masih ditakuk lama?

Taqabbal Allahu minni wa min kum! insya Allah..


Tuesday, November 09, 2004

Cerita kepala aku

Semalam kepala aku sakit macam hapa tah. Sakit sangat sangat.. aku rasa darah seme naik ke kepala. Petang semalam tak memasak cam biasa, sebab peti ais kosong.. stok barang mentah abis. Jadinya, Abg baik hati bawak aku pergi beli makanan di pasar Ramadhan depan masjid besar. Tu la kali pertama aku pergi.

Masya Allah, banyaknya juadah. Best-best semua nampaknya. Tak pusing banyak kali pun, nampak je nasi arab terus beli dua bungkus. Lepas tu cari popia sira.. tapi orang tu tak jual. Popia tu Abg pernah belikan sebelum ni. Takpe la, beli yang lain.

Balik rumah tinggal 5 minit sebelum orang azan. Lepas berbuka kepala aku lagilah bagai nak pecah. Tunggu orang azan Isya'. Masuk waktu aku solat jemaah dengan Abg. Sambung dengan tarawih 8 raka'at. Lepas tu aku mintak izin Abg untuk terus tidur. Sedar semula aku tengok jam di dinding pukul 3 pagi. Nak bangun terus tapi kepala masih berat. Pukul 4 alarm telefon Abg bunyi baru la aku bangun.

Pagi ni kepala aku berat lagi. Ya Allah, jadikan ini kaffarah dosaku.. alhamdulillah..


Ramadhan bulan Rahmat

Sememangnya inilah hakikatnya. Aku rasa takde siapa yang boleh menafikan hakikat ni. Memang Ramadhan bulan rahmat. Paling rahmat bagi aku ialah bila aku boleh bangun dinihari dan dapat ilmu di waktu subuh sunyi itu.

Tiap-tiap hari pukul 4.30 am, TV3 akan siarkan semula ulangan motivasi pagi selama 1/2 jam. Pas tu pukul 5 pulak ada al-Kulliyyah..sampai pukul 6. Semua tu ulangan. Kalau hari biasa aku nak tengok al-Kulliyyah jangan harap ler. Rumah pun tak sampai lagi time tu.

Dah hampir sebulan aku berguru dengan ustaz-ustaz dan ustazah jemputan tu. Dah hampir sebulan jugak kepala otak aku di refresh balik dengan ilmu-ilmu waktu belajar dulu.

Ya Allah, senangnya aku lupa.. senangnya aku lalai. Lepas ni, entah bila la aku nak bangun dinihari semata-mata nak menuntut ilmu lagi. :(

Ya Allah temukan aku dengan Ramadhan lagi.. ditanah suciMu.. disisi maqam nabiMu.. amin.

Monday, November 08, 2004

Hari ni hari ke 26 umat Islam seluruh negara berpuasa Ramadhan. Bermakna malam tadi malam ke 25 lah. Lailatul Qadar? Hmm.. mungkin ya, mungkin juga tak. kalau dilihat pada tanda-tandanya mungkin ya. Tapi itu masih menjadi rahsia Allah subhanahu wa ta'ala. Dan juga hadiah surprise kepada hambanya yang taat mencari dan menagih janji Allah.

FirmanNya dalam surah al-Qadr: "Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Qur'an) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah itu malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar."

Malam al-Qadar ini dirahsiakan dari pengetahuan hambanya supaya tidaklah kita beramal ibadah hanya pada malam tersebut sahaja. Ianya juga sebagai peransang, di malam-malam terakhir Ramadhan.. sebelum ia melabuhkan tirainya. Tahun depan entah jumpa entahkan tidak kita dengan Ramadhan.

Jadi manisnya sebuah pertemuan itu kita akhiri dengan munajat yang panjang ke hadrat Ilahi dan berkhalwat dengan malam-malam Ramadhan yang penuh berkat sebelum berpisah. Ibarat pertemuan sepasang kekasih yang hampir sampai ke penghujungnya, pasti sahaja tangan menggenggam erat seakan tidak mahu berpisah. Pasti sahaja kata-kata manis diucapkan sebagai bekalan sehingga ketemu lagi.

Ya Allah, kau limpahkan lah kurnia bagi ku untuk bertemu Ramadhan yang akan datang.. di tanah suciMu.. amin Ya Rabbal a'laminn..

Sunday, November 07, 2004

Taubat
oleh:izalatif

Langkah yang tak pasti

Dalam hidup kita ni, tak ada langkah yang pasti dan tak ada langkah yang tetap. Semuanya berubah-ubah. Semuanya adalah berdasarkan pilihan kita sebelum ini. Dan setiap langkah itu juga tidak ada satu pun yang betul melainkan ianya diizinkan Allah.

Pertama sekali kita mesti faham konsep 'hamba'. Dari satu aspek, sebagai hamba, kita berhak tanya pada 'tuan' kita kenapa ini mesti jadi pada aku? Kalau hamba kita itu manusia seperti kita, kemungkinan besar dia akan jawab soalan kita dengan alasan-alasan tertentu.

Tapi kalau 'tuan' kita tu adalah Allah, ada dua keadaan akan berlaku. Keadaan pertama, kita mungkin akan dapat terus jawapannya. Dan jawapan ini pulak biasanya di beri melalui dua cara. Cara pertama kita 'nampak' dengan jelas, atau kita tahu.. "haa, inilah yang Allah nak bagi tahu kita".

Cara yang kedua kita tak berapa nampak, atau tak nampak langsung. Dan kita tak sedar pun yang Allah dah 'bagi tahu' kita jawapannya. Semua ni bergantung pada iman kita sebenarnya.

Allah berfirman dalam surah Al-Insan ayat 2 dan 3:"Kami telah memberikan mereka penglihatan dan pendengaran dan sama ada dia bersyukur atau tidak terhadap rahmat kami, kami telah menunjukkan kepadanya jalan yang benar".

Keadaan yang kedua pulak, kita tak akan dapat jawapannya terus. Penerangannya ditangguhkan. Lama mana tak tentu. Ada yang sehari, ada yang seminggu, ada yang setahun, dan mungkin jugak makan masa bertahun-tahun. Tapi bila jawapannya tiba, insya Allah kita akan tahu jugak. Dan masa tu terdetik dalam hati kita "oo, patutlah aku jadi gini-gini" atau " Ya Allah, nasib baik la jadi gini, kalau tak mesti dah gitu." Dan ketika itu jugak, sebagai hamba yang sedar, hati kita akan terus mengucapkan kesyukuran ke hadrat Ilahi.

Kenapa jadi gitu? Sebabnya jelas. Allah berfirman dalam surah Al Qaaf ayat 16:"Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya."

Allah yang jadikan kita, pastinya dia yang lebih tahu apa yang terbaik untuk kita. kita kena
yakin dengan ini. Yakin sungguh-sungguh!


Taubat pengubat duka

Sekarang bila kita dah faham konsep hamba, kita kena pulak faham yang hamba mempunyai pilihan untuk melakukan sesuatu. Tepat dengan langkah yang tak pasti tadi, langkah kita mungkin akan tersasar. Tak sikit banyak. Tak banyak sikit. Ada juga kalanya langkah kita akan tepat pada sasaran. Di atas jalan yang lurus. Bila itu berlaku, wajib kita mengucapkan syukur. Tapi bila tersasar, wajib pula kita cepat-cepat beristighfar.

Bila tersasar, kalau sikit tersasarnya, mungkin cukup dengan kita mengucapkan istighfar. Tambah sikit dengan melakukan amalan lain yang baik, insya Allah kosong balik timbangan
dosa kita.

Tapi kalau banyak tersasarnya, tak cukup hanya dengan istighfar sahaja. Kena bertaubat. Taubat pula bukan taubat sambal lada. Bila hilang peritnya buat lagi. Bukan. Mesti taubat nasuha. Taubat yang sungguh-sungguh. Taubat yang benar-benar mohon ampun dari Allah 'azza wajalla.

Sebenarnya, bukan kena tunggu solat taubat, bila kita solat fardhu atau solat sunat pun Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang dan Maha Penerima Taubat dah pun ampunkan dosa-dosa kecil kita. Sabda Nabi sallahu 'alaihi wasallam yang bermaksud: "Sesungguhnya seorang hamba apabila dia berdiri sembahyang maka diletakkan semua dosa-dosanya di atas kepala dan kedua bahunya maka setiap kali dia rukuk atau sujud berjatuhanlah dosa-dosa itu". (Riwayat Atthabarani & Albaihaqi dari Ibnu Umar r.a.)

Bila dosa besar yang kita lakukan, kita panjangkan sikit solat kita.. jadikan ianya solat taubat. Menyesal lah atas apa yang kita lakukan. Mohon ampun sungguh-sungguh dari Allah. Keluarkanlah air mata kita. Kalau susah sangat nak menangis, cuba bayangkan jenazah kita dikelilingi keluarga. Bayangkan jenazah kita dimasukkan ke dalam kubur. Bayangkan kegelapan kubur. Sendiri kita di sana. Siapa yang akan menemani kita? Siapa yang akan membantu kita? Kalau kita dalam keadaan berdosa besar, melanggar perintah Allah, nak tak Allah tengok muka kita? Kalau Allah tak nak tengok siapa lagi nak tengok? Siapa? Siapa??

Tak ada orang nak tengok. Sebab kita dah jadi jenazah. Sebab kalau kita bangun balik kita jadi hantu. Jadi kita kena mintak maaf! Kita kena mohon ampun! Ya Allah, kalau Engkau taknak terima aku siapa lagi yang nak terima aku?


Orang yang enggan bertaubat adalah orang yang sombong

Bila kita berdosa, dan kita tak mahu bertaubat, kita sombong sesungguhnya! Sebagai hamba, kalau kita dah buat silap, lepas tu kita tak mengaku, tidakkah sombong namanya itu?

Sesungguhnya dosa kita itu adalah sebagai ujian pada kita. Hakikat kita 'tidak sedarkan diri' sewaktu melakukan dosa adalah sesuatu yang nyata. Tapi hakikat kita tidak mahu menuntut keampunan adalah sesuatu yang dicipta. Nabi sallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda yang antara lain menerangkan bahawa tidak sempurna iman seseorang itu sewaktu dia melakukan perbuatan mencuri atau berzina.

Jadi, apalah salahnya jika kita sujud bertaubat untuk memohon kesalahan yang kita buat sewaktu kekurangan kita tadi. Taubat tu pulak jika kita buat dengan bersungguh-sungguh, diiringi dengat azam tidak akan melakukan lagi dosa yang terlanjur ditangan kita, insya Allah.. yakinlah, Allah Maha Penerima Taubat.

Tapi jika kita terus-terusan melakukan perkara maksiat, atau terus-terusan menidakkan keagungan Allah sebagai Maha Pengampun.. kita merugikan diri sendiri. Ada juga yang merasakan taubatnya hanya sia-sia kerana tidak meyakini Allah dapat mengampunkan dosanya. Perilaku ini boleh digambarkan seperti orang yang sudah putus asa dari rahmat dan kasih sayang Allah.

Dalam surah Yusuf, ayat 87, Allah telah berfirman: "Bahawa sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir".

Allah menegaskan lagi dalam surah al Hijr ayat 56: "Dan tidak ada yang berputus asa dari rahmat Tuhannya, kecuali orang-orang yang sesat".

Sudahlah kita berdosa, hendakkah kita digolongkan dalam golongan yang sesat pula?
Na'uzubillahi min zaalik!

Ya Allah, golongkanlah kami di dalam golongan orang-orang yang bertaubat, sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat.

Saturday, November 06, 2004

--start conversation--

izalatif: assalamu`alaikum :)

izalatif: nak tumpang tanya

ustaz: silakan

izalatif: ada satu hadith tu, tapi saya tak ingat sangat, so nak mintak utz tolong betulkan

ustaz: teruskan

izalatif: yg dlm ikim.fm tu.. ttg iman seorang pencuri dan penzina.. bila dia melakukan kerja mencuri/berzina.. --> kurang imannya ke atau tiada iman langsung?

ustaz: ooo... tidak sempurna imannya

izalatif: oo.. ok

izalatif: satu lagi

ustaz: ok

izalatif: ayat Allah dlm qur'an, tak ingat ayat mana.. tapi ayatnya: "azzaniyatu laa yankihu illa zaaniyah.."

izalatif: ayat mana ya?

izalatif: kalau tafsirnya penzina itu: adakah sewaktu dia masih belum bertaubat atau sesudah?

izalatif: maksud saya, kalau dia sudah bertaubat, adakah dia di kira sebagai penzina lagi?

ustaz: ayat di atas merujuk bahawa orang yang telah berzina mesti dikahwinkan sesama mereka maksudnya bertanggungjawab atas apa yang mereka lakukan

izalatif: lagi?

ustaz: sekiranya dia sudah bertaubat dan menjalani penghukuman maka terserah pada Allah, kita tak boleh lah mengelarkannya penzina lagi

izalatif: ada tak mana2 hadith atau ayat yg menunjukkan / menerangkan tentang hal ini dgn lebih lanjut lagi?

ustaz: adakah maksud iza menjelaskan bahawa title zinanya sudah tiada bila bertaubat dan menjalani hukuman

izalatif: ha ah

ustaz: sebenarnya dalam sebuah hadith ( tak ingat ) ada menceritakan bahawa orang yang berzina ini walaupun dah bertaubat Allah tidak pandang mukanya ( tidak memperdulikan ) termasuk dosa besar, dan dalam kes2 tertentu penyaksiannya tidak diterima kerana terjebaknya dalam dosa2 besar.

izalatif: untuk pengetahuan utz, saya sedang menulis artikel berkenaan dengan taubat.. jadi tengah buat research la ni.. bahan bacaan terhad, terpaksa tanya utz. :) harapnya tak membebankan

ustaz: tiada masalah

ustaz: ust rasa buku tasauf sesuai utk rujukan tu

ustaz: dalam sifat2 terpuji

izalatif: nnt sy cuba cari

izalatif: hadith yg utz cakap tu hadith soheh ke? sbb macam bercanggah dengan sifat Allah yg Maha penerima taubat tu.. kalau taubat nasuha pun?

ustaz: ooo pasal hadith kita kena Ta'dil kan maksudnya selaraskan

izalatif: ta'dil?

ustaz: dalam Quran Allah berfirman " Sesungguhnya Allah tidak akan mengampun sesiapa yang syirik padanya dan mengampun apa yang selainnya "

ustaz: tapi sambunganya " bagi sesiapa yang Allah kehendaki "

izalatif: ok

ustaz: dalam hadith " bukanlah lah orang yang hebat tu orang yang tak buat dosa tapi apabila dia buat dosa dia segera bertaubat "

izalatif: yg tu ayat mana ya?

ustaz: hadith bukan ayat

izalatif: riwayat oleh?

ustaz: riwayat oleh ust kena tengok..lah buku kat rumah

izalatif: oo.. ok

izalatif: ok utz.. cukup dulu buat masa ni, nanti saya rasa saya nak tanya lagi..

ustaz: okey

izalatif: syukran :)

ustaz: Assalamualaikum

izalatif: wa'alaikum salam

--end of conversation--

Friday, November 05, 2004

Kisah Nabi musa a.s. (Bhg.2)

Fir'aun menjawab: "Bukankah kami telah mengasuhmu di antara (keluarga) kami, waktu kamu masih kanak-kanak dan kamu tinggal bersama kami beberapa tahun dari umurmu? Dan kamu telah berbuat sesuatu perbuatan yang telah kamu lakukan itu. Dan kamu termasuk golongan orang-orang yang tidak membalas guna."

Nabi Musa a.s. tidak lupa. Memang baginda telah tinggal bersama bapa angkatnya itu selama 18 tahun semenjak lahir lagi. Itupun dalam perancangan hebat Allah Azza Wajalla.

Perbuatan yang dimaksudkan oleh Fir'aun itu ialah perbuatannya membunuh pemuda dari kalangan kaum Fir'aun. Nabi Musa a.s. dengan tegasnya mempertahankan dirinya: "Aku telah melakukannya, sedang aku di waktu itu termasuk orang-orang yang khilaf. Lalu aku lari meninggalkan kamu ketika aku takut kepadamu, kemudian Tuhanku memberikan kepadaku ilmu serta Dia menjadikanku salah seorang di antara rasul-rasul."

Fir'aun tersentak mendengarkan perkataan Nabi Musa a.s. itu. Fikirnya dialah satu-satunya Tuhan di muka bumi ini. Sebelum sempat dia berkata, Nabi Musa a.s. menyambung ayatnya: " Budi yang kamu limpahkan kepadaku itu adalah (disebabkan) kamu telah memperbudak Bani Isra'il".

Fir'aun bertanya: "Siapa Tuhan semesta alam itu?"

Musa menjawab: "Tuhan Pencipta langit dan bumi dan apa-apa yang ada di antara keduanya (itulah Tuhanmu), jika kamu sekalian (orang-orang) mempercayaiNya."

Berkata Firaun kepada orang-orang sekelilingnya: "Apakah kamu tidak mendengarkan?"

Musa berkata (pula): "Tuhan kamu dan Tuhan nenek-nenek moyang kamu yang dahulu."

Fir'aun berkata: "Sesungguhnya Rasul yang diutus kepada kamu sekalian benar-benar orang gila."

Musa berkata: "Tuhan yang menguasai timur dan barat dan apa yang ada di antara keduanya: (Itulah Tuhanmu) jika kamu mempergunakan akal."

Fir'aun berkata: "Sungguh jika kamu menyembah Tuhan selain aku, benar-benar aku akan menjadikan kamu salah seorang yang dipenjarakan."


Rujukan:
Asy-Syu'araa': 18-28



LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...