Tuesday, December 26, 2006

Baru nak bernafas...

Menjadi pelajar bukannya perkara mudah. Tapi inilah satu-satunya pekerjaan yang paling menarik bagi aku. Korang tengok jer la, Internet pun baru dapat ni, itupun bukan lagi di rumah.. guna yang ofis punya. Haa.. jadi postgrad student ni dapat bilik seniri kat bangunan kulliyyah. Eceh.. jangan marah, share 3 orang. Tapi setakat ni asik aku je guna sengsorang.

Dalam kepala otak aku sekarang ni, asik berlegar tentang KM, knowledge management.. sesapa nak share this thoughts? sila la emel ke junaiza_plib[at]yahoo.com. Blom start bebetul lagi. Baru nak mengumpul maklumat melalui bacaan. Juga nak cari sponsor. Eheh.. sapa-sapa nak sponsor aku? hehe...

Tabley tulis panjang.. Ini pun i'm taking a break jap. nak relax sat kepala ni..

Alhamdulillah.. hidupkan jiwaku dalam syurga duniaMu ini Ya Allah..

Wednesday, November 29, 2006

Refreshed but Exhausted

Ta'aruf week kali ini singkat saja. Itu pun kalau boleh dipanggil week, sebabnya kalau diikutkan aku hanya terlibat 3 hari pertama sahaja. Hari pertama mendaftar, hari kedua taklimat keseluruhan dan hari ketiga taklimat perpustakaan serta pemeriksaan kesihatan. Sebenarnya pemeriksaan kesihatan tu hari Isnin, tapi aku saja mintak kat Bro. Din untuk buat hari Jumaat.. dia bagi sebab tak ada orang. Alhamdulillah, settle kerja.

Hari-hari lain aku tak terlibat sebab ada APT dan EPT, yang mana aku dah melalui semua tu. Eheh.. suka sangat lah tu! :p

Kampus UIA kali ini masih kampus yang sama. Cuma bangunannya bertambah berkali ganda dari waktu ia mula-mula digunakan dulu. Dulu cuma ada kulliyyah ekonomi dan perundangan sahaja, tapi sekarang semuanya dah lengkap. Oleh sebab rekabentuk bangunannya bersambung-sambung, maka parking pelajar hanya di sebelah luar 'bulatan' bangunan, lebih tepat lagi = jauh! Hehe.. maka selepas dua tiga hari membiasakan diri merayau dalam kampus, aku mengambil keputusan untuk meletakkan kereta di parking lot CAC (Cultural Activity Center). Dari situ aku berjalan ke kulliyyah yang letaknya setentang dengan CAC.

Bangunan kulliyyah ICT berkongsi dengan kulliyyah pendidikan, juga dengan Pusat Kesihatan. Aku dah jumpa dengan pelajar-pelajar Masters yang bekerja separuh masa di Resource Center. Shu, Ima dan Misha.. semuanya baik hati dan banyak membantu. Aku rasa aku pun nanti akan kerap melepak kat Resource Center, kalau tidak di perpustakaan.

Rasa segar kerana aku kembali ke persekitaran yang menyegarkan. Tapi letih jugaklah sebab kena berjalan turun naik tangga mencari bilik itu dan ini.. Eheh, tapi untuk menuntut ilmu perlu ada ujian ye tak?

Dalam surah Ali Imran ayat 179, Allah mengingatkan:

"Allah tidak sekali-kali akan membiarkan orang-orang yang beriman dalam keadaan yang kamu ada sekarang (bercampur aduk mukmin dan munafik, bahkan Dia tetap menguji kamu) sehingga Dia memisahkan yang buruk (munafik) daripada yang baik (beriman)...".

Ya Allah, as'aluka thabaata fil amri wa as'aluka azheematar rusydi! Tetapkan aku dalam perjuangan ini, amin.


Note:
# Nett, akak dah siap pindah.. tapi tak leh SMS lagi la ni, phone masuk ayaq! :P
# Irkin, thanks for calling. Love you!
# K.Ijan, Iza rajin jugak balik Kuantan, ikut Boss.. tapi sekejap sangat, tak sempat nak call atau melawat sesiapa. Heheh...

Tuesday, November 21, 2006

Selamat Belajar, Iza! :)

Esok cukup sebulan dari entry aku yang terdahulu. Lama jugak tak membuka blogspot ni. Buan tak ingat, cuma tak sempat. Mana tidaknya, bulan Ramadhan berlalu disambut Syawal. Raya tak le sakan sangat, biasa-biasa ajer. Tapi lepas balik dari Penang, lepas sibuk memasak di rumah mama untuk 40 orang tetamu, lepas menjerit kegembiraan bersama-sama Aisyah.. aku sibuk mengemas.

Bukan kemas rumah sebab bersepah, tapi mengemas barang untuk berpindah. Ha'ah, aku dah pindah sekarang.. tak lagi jadi warga Kuantan. Sekarang aku menumpang di bumi Gombak sementara menimba ilmu di perigi UIA. Alhamdulillah... :)

Aku berdoa sangat sementara aku menuntut ilmu dunia itu aku akan sempat juga menuntut ilmu akhirat. Dari hadis Abdullah bin Amru bin Al-As radhiallahu 'anhu katanya: "Aku pernah mendengar Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam bersabda: Allah subhanahu wa ta'ala tidak mengambil ilmu Islam itu dengan cara mencabutnya dari manusia. Sebaliknya Allah subhanahu wa ta'ala mengambilnya dengan mengambil para ulama sehingga tidak tertinggal walaupun seorang. Manusia melantik orang jahil menjadi pemimpin, menyebabkan apabila mereka ditanya mereka memberi fatwa tanpa berdasarkan kepada ilmu pengetahuan. Akhirnya mereka sesat dan menyesatkan orang lain pula."

Bukanlah sebab aku nak jadi menteri, tapi bila semakin dewasa dan matang, kita tak dapat lari jadi sumber rujukan keluarga dan sahabat. Kalau tidak berilmu, bimbang kita menyesatkan orang lain. Na'uzubillah.

Sambil tersengih-sengih, Wak Jam member Abg memberi komen waktu menolong kami mengangkat barang, "Orang sibuk nak cari ketenangan, dia pindah tempat yang lagi sibuk." Aku balas sambil tersengih jugak, itu dasar orang berjuang.. heheh!

Memang tak senang semua ni. Memang tak mudah. Mana mudahnya bila perlu berhijrah ke tempat yang lebih tinggi sara hidupnya tanpa kerja yang menjamin wang setiap bulan? Mana mudahnya bila perlu bertukar angin dari laman yang damai ke ceruk yang hampir 24 jam menderu bunyi kenderaan? (heheh, rumah sewa baru aku ni betul-betul tepi highway Karak-KL. Kalo korang lalu tepi jalan tu, nampak signboard F-Tec, bawah tu rumah aku la..) Tapi alhamdulillah Allah memberi kekuatan kepada kami. La hawla wa la quwata illa billahil 'alliyil 'azheem.

Allah mengingatkan kita dalam surah Ali Imran ayat 142 yang bermaksud:
"Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?"

Ya Allah, berikan kami kekuatan menjauhi maksiat selama kami hidup. Ya Allah, berikan kami kekuatan untuk cekal dalam ujian kehidupan yang Engkau berikan. Dan ya Allah, berikan kami kesyukuran untuk menghargai nikmatMu di dalam ibadah kepadaMu. Amin, Ya Rabbal 'alamin.

Sunday, October 22, 2006

Lusa: 1 Syawal 1427H

Hujan tak berhenti dari pagi tadi. Eh, sebenarnya dari semalam lagi. Kalau berhenti pun, ada la kejap je. Kepala aku pulak lebih kurang sama je situasinya dengan hujan tu. Dari semalam sakit berdenyut-denyut. Kalau berhenti pun sebab aku tidur. :P haah, Abang suruh aku tidur je sebab asyik sakit kepala.

Lusa 1 Syawal.
Esok baru kami akan bertolak balik ke Alor Setar, Kedah. Petang hari raya pertama tu, kalau mengikut perancangannya kami akan bertolak pulang ke Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Jadi, sehari sajalah di kampung. Sebabnya, K.Ana akan menghadapi peperiksaannya, jadi dia perlu mengulangkaji. Aku dan Abang pula akan bertolak balik ke Kuantan, Pahang. So, sehari je lah.

Apapun, itu tak penting.
Yang penting sekarang, solat tarawih malam ni ialah solat tarawih terakhir untuk tahun ini. Dan puasa Ramadhan esok ialah puasa terakhir untuk tahun ini. Lailatul qadar yang mungkin pada malam 21 atau 23 hari tu adalah lailatul muktamad bagi Ramadhan tahun ini. (Malam 25,27 dan 29 hujan terus menerus.. tak ada tanda-tanda Lailatul qadar).

Ya Allah, mungkinkah kami akan menemui Ramadhan tahun hadapan? Ya Allah, mungkinkanlah bagi kami! Amin..


Selamat menyambut Eidil Fitri 1 Syawal 1427H.
Maaf Zahir dan Batin.


Salam hormat,
Iza

Friday, October 20, 2006

:)

Selamat mencari Lailatul Qadar buat semua umat Islam di dunia.

Monday, October 09, 2006


Air

Dalam bulan Ramadhan, biasanya cuaca panas terik. Kalau tak sebulan penuh, biasanya ada hari-hari tertentu yang cuaca tetiba jadi saaaaangat panas. Makanya, air sejuk dalam gelas see-through seperti di sebelah ni sangaat-lah nikmatnya jika dapat diteguk. Heh!

Air adalah salah satu nikmat terbesar kurniaan Allah. Air ni banyak gunanya. Tak makan berhari-hari, manusia boleh terus hidup. Tapi, tanpa air, manusia boleh mati. Kekeringan. Kekontangan. Ketandusan gitu..

Air ni juga boleh dirujuk di dalam pelbagai aspek. Asas tani, perubatan, teknologi maklumat, angkasa lepas, agama, sejarah dan macam-macam lagi. Kalau dalam agama, pastinya kita berbicara tentang jenis-jenis air yang boleh digunakan untuk berwudhu'. Air hujan, air laut, air perigi, air mata air, air sungai, air salji dan juga air embun.

Firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 6:

“Hai orang-orang yang beriman ! apabila kamu mengerjakan solat ,basuhlah mukamu dan dua tangan mu hingga ke siku ,sapukan kepala mu kemudian basuhlah kedua kaki mu hingga ke dua mata kaki.”

Dalam sejarah pula misalnya kita boleh kaitkan dengan kisah Nabi Nuh dengan bahteranya yang menempuh banjir besar. Kisahnya diceritakan oleh Allah dalam surah Hud ayat 43 yang bermaksud:

"Anaknya menjawab: Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan oleh air. Nabi Nuh berkata: Hari ini tidak ada sesuatupun yang akan dapat melindungi dari azab Allah, kecuali orang yang dikasihani olehNya dan dengan serta-merta ombak itu pun memisahkan antara keduanya, lalu menjadilah dia (anak yang derhaka itu) dari orang-orang yang ditenggelamkan oleh taufan".

Dalam surah Sad ayat 42, Allah menceritakan tentang Nabi Ibrahim dan air zam-zam.

"(Maka Kami kabulkan permohonannya serta Kami perintahkan kepadanya): Hentakkanlah (bumi) dengan kakimu (setelah dia melakukannya maka terpancarlah air, lalu Kami berfirman kepadanya): Ini ialah air sejuk untuk mandi dan untuk minum (bagi menyembuhkan penyakitmu zahir dan batin)".

Nabi Musa alaihis salam juga mendapat mukjizat air seperti yang Allah firmankan dalam surah al-A'raaf ayat 160:

"Kami wahyukan kepada Nabi Musa, ketika kaumnya meminta air kepadanya: Pukullah batu itu dengan tongkatmu. Maka terpancarlah daripadanya dua belas mata air".

Point aku senang je, kalau kita minum air tanpa memikirkan sifat kejadian yang berlaku di sekelilingnya, maka hilanglah haus kita. Tapi jika kita mampu minum sambil mengingati kebesaran Allah dengan sejarah yang Al-Qur'an bentangkan, maka minum kita itu otomatik jadi ibadah yang mampu meningkatkan ketaqwaan kita terhadap Yang Maha Mencipta! SubhanAllah!!

Ya Allah, hilangkanlah dahaga kami di padang mahsyar kelak, amin Ya Rabb!

Thursday, September 28, 2006

Yang Lebih Tahu


Anda kenal diri anda?

Aku tak begitu (i.e. tidak sangat) kenal lagi diri aku.

Dalam bulan puasa ni, kalau kita nak kenal diri kita, terlalu banyak cara yang Allah mudahkan. Hakikatnya, kita saja yang tak nak kenal diri sendiri. Atau kita tak sedar yang kita tak kenal diri kita (sebagai hamba Allah).

Waktu berbuka sahaja pun kita dah boleh kenal diri sesikit. Cuba tengok hidangan yang kita peruntukkan untuk nafsu makan dan minum kita. Sepinggan nasi dan secawan air? Atau lebih dari itu? Kadang-kadang berlaku kita dah tak tahu nak makan apa sehinggakan kita perlu masak atau beli beberapa jenis lauk dan kuih muih.

Kadang-kadang juga kita berhasrat menyimpan sebahagian kuih-muih itu untuk moreh, nak dimakan lepas solat tarawih. Sedar tak kita yang waktu itu, kita menyimpan harapan (dengan begitu yakin) agar dapat bernafas lagi untuk menikmati kuih yang disimpan.

Kita punyalah tak kenal diri kita, buktinya Allah berfirman dalam sural al Qaaf ayat 16 yang bermaksud:

"Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya."

Kita juga tak kenal diri kita sebab kadang-kadang kita fikir kita perlukan banyak perkara dalam hidup ini sedangkan apa yang benar-benar diperlukan hanyalah secebis kecil dari dunia. Analoginya Allah tunjukkan waktu kita meneguk air dan menjamah sebiji kurma. Selesai aje dua perkara tu, hilang lapar dan dahaga, terasa penuh perut.. terasa tak boleh masuk dah hidangan lain. Tapi kita paksa juga agar masuk! Heh!

Kehidupan kita pun macam tu juga. Sebab kita tak kenal diri kita, maka kita cuba pastikan kita mendapat semuanya. Sedangkan apa yang per hanya secebis cuma. Maka jauhlah kita dari menjadi manusia yang zuhud terhadap dunia. Jauhlah kita dari menjadi manusia yang rasa cukup dengan apa yang ada.

Ramai orang salah anggap tentang zuhud. Mereka fikir bila zuhud perlu jadi miskin. Mereka anggap bila zuhud perlu pakai pakaian lama. Atau duduk di rumah yang serba tak cukup keperluannya. Siapa kata bila kita zuhud kita perlu hadapi semua ini?

Zuhud itu hanyalah membelakangkan dunia demi cinta kepada akhirat. Maka jika rumah penuh dengan perabut asas, malah menjadi kemudahan bagi pemiliknya untuk memuliakan tetamunya.. dia mungkin menjadi ahli zuhud. Jika kereta yang baik yang tidak membebankan pemiliknya (hutang ke.. maintenance ke..), malah memudahkan pemiliknya ke masjid di subuh hari dan di waktu malam, dia juga mungkin menuju zuhud.

Manusia zuhud dikasihi Allah.

Sewaktu Saiyyidina Ali karamallahu wajhah ditanya, apakah caranya untuk menjadi orang yang dikasihi Allah dan dikasihi manusia, beliau menjawab: Zuhud kepada dunia maka Allah akan mengasihi kita, dan zuhud kepada harta manusia maka manusia akan juga mengasihi kita.

Bila kita tak kenal diri kita, tak kenal keperluan kita, tak tahu yang mana asas yang mana kemewahan, maka jauhlah kita dari menjadi yang di kasihi Allah.

Kalau nak jadi juga yang dikasihi Allah bagaimana? Kita kan tak kenal diri kita..
Well, kita mintalah pertolongan dariNya. Kan Allah lebih dekat dengan kita, lebih dari urat leher kita sendiri! SubhanAllah!

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk".maksud surah al Baqarah ayat 45.

Ya Allah, rahmati kami di bulan penuh berkat ini. Amin. :)

Friday, September 22, 2006

Dialah segala-galanya!

Bagi yang sedang berkasih, pasti saja pasangan mereka, dunia baginya. Bagi sang ibu, anak-anaklah dunia mereka. Bagi si pencinta alam, persekitaran merekalah sanjungan hati.

Pencinta-pencinta ini pastinya sanggup membuat apa sahaja bagi yang dicintai.

Aku ingin mengajak diriku dan kalian seluruhnya agar sama-sama kita mencintai Allah Rabbul Jalil. Agar kita jadi pencinta yang sanggup bermatian kerana kasih terhadap yang Esa.

Ibarat kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Mari kita kenal Allah. Jom!

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 255 yang bermaksud:

"Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya).

Yang tidak mengantuk usahkan tidur.

Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi.

Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya.

Yang Mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya).

Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya.

Dan Dialah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya)".


Aku jadi insaf sebab semakin aku banyak masa mencari siapa diri ini yang sebenar, aku semakin kenal siapa Tuhan aku. Semakin aku menyanjungi Tuhan Maha Pencipta, semakin terserlah kelemahan manusia sejagat.

Aku memaksa diri aku untuk lebih mengenali Allah dan aku yakin paksaan aku tidak sia-sia. Sekarang aku nak ajak semua agar memanfaatkan bulan Ramadhan kali ini agar dapat kita sama-sama merisik, menilik, mengintai dan cuba mengenali Dia yang satu. Dah syaitan kena ikat ni, insya Allah, pandangan yang akan kita terima adalah sebersih-bersihnya tanpa pencemaran virus iblis laknatullah.

Ya Allah, berilah kami petunjuk dan hidayah di bulan Ramadhan kali ini, amin. :)

Wednesday, September 13, 2006


Ahlan wa Sahlan Ramadhan al-Mubarak!

Setiap kali menjelang Ramadhan, yang mula-mula aku fikir ialah barang dapur! Heh.. memang kureng sikit aku ni! (Bad, Iza!)Yerlah, sebab aku kengkadang naik rimas nak kena fikir nak masak apa untuk berbuka dan bersahur.

Yang kedua baru aku fikir nak solat tarawih di mana. Paling mudah aku suka solat di Masjid Negeri. Sebab ruangnya yang luas, walaupun kipas hanya ditepi-tepi saja.. tapi aku dah pasti tak kena solat di kaki lima masjid atau surau. Tempat berwudhu' nya juga bersih dan luas yang terletak sama level dengan ruang solat perempuan. Jadi tak perlu turun naik kalau terbatal wudhu'. ;p

Tapi kali ini barang dapur tidak mendapat tempat pertama. Entah kenapa dahi aku kali ini begitu merindukan sejuknya marmar putih lantai Masjidil Haram bila aku sujud kepadaNya. Entah kenapa tekak aku kali ini begitu hauskan mawyah zam-zam yang diambil dari paip-paip besi di dalam Masjidil Haram. Dan entah kenapa juga hati aku begitu merindukan Kekasih Allah yang telah lama bersemadi jasadnya dibawah kubah hijau itu. Ya Allah..

Aku tak pernah merasakan nikmatnya berpuasa di Makkah atau di Madinah. Tidak juga aku terfikir untuk ke sana pada bulan suci ini. Tetapi pengalaman musim panas di kedua tanah haram ini 2 tahun lalu begitu kuat menguit-nguit memanggil aku ke sana semula Ramadhan ini.

Ya Allah, kalau benar Kau menjemput aku, permudahkanlah Ya Allah! Namun jika ianya hanya permainan perasaan, Kau tenangkanlah hatiku dengan rezeki pemberianMu di mana-mana jua aku berada. amin..

---------------------------------

Makkah al Mukarramah

Ikon bandar suci ini ialah Masjidil Haram. Sebut saja Makkah.. Mekah.. Mecca.. pasti orang mengaitkannya dengan sebuah bangunan empatsegi berkelubung kain hitam (qiswah). Tentu saja kita mengenalnya dengan nama Ka'abah. Bukan saja orang Islam yang teringin ke sana, orang bukan Islam juga turut ingin ke sana. Mereka ingin melihat sendiri apakah yang terlalu istimewa tentang Ka'abah itu sehingga tidak pernah sesaat pun ia lengang dari manusia-manusia yang berpusing mengelilinginya.

Tanya pada apek jual sayur di pasar, tentu sahaja dia tidak menyatakan keinginannya. Tapi, cuba ajukan soalan yang sama kepada professor-professor yang mengkaji sejarah atau peradaban manusia. Tanyakan pada para pendakwah hatta agama apa sekalipun diseluruh dunia. Bagi yang komited dengan pegangan mereka, pasti terselit dilubuk hati ingin meninjau kehebatan Ka'abah.

Namun, keinginan mereka terhalang. Tiada manusia, selain yang beriman kepada Allah dan RasulNya, yang dibenarkan masuk ke bandar suci Makkah atau Madinah. Dijaga dengan bersungguh-sungguh oleh para pemegang amanah dua kota itu sehingga ke hari ini. Mana ada bandar lain yang disekat kemasukan pengunjung atas dasar kepercayaan?

Sebab itu bagi aku, bagi umat Islam yang tiada langsung rasa untuk berkunjung ke dua kota suci ini, amatlah malang bagi mereka. Na'uzubillah!

"Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Mekah) ini, negeri yang aman sentosa dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka. Allah berfirman: (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga dia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab Neraka dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali". al-Baqarah:126


Madinah al-Munawwarah

Ikon untuk bandar ini pula ialah Masjid Nabawi. Kubah hijau yang tersergam menjadi mercu tanda kebanggaan umat Islam disini. Bukan kerana setakat disitu bersemadinya jasad Nabi Muhammad sallahu 'alaihi wa salam. Tetapi kerana disitu jugalah tapak rumah Saiyidatina A'isyah radhiAllahu anha, rumah baginda Rasul. Di situ jugalah terletakkan Raudhah iaitu sebahagian kecil dari taman Syurga.

Bagi yang pernah ke sana, tentunya pernah merasakan rahmat Allah yang melimpah ruah tatkala kaki melangkah masuk ke kawasan maqam Nabi sallahu 'alaihi wa salam. Terasa seolah-olah baginda masih hidup dan hanya berbaring di atas katil di dalam bilik berpagar emas itu. Namun, hati terpaksa menerima hakikat bahawa Kekasih Allah sudah lama meninggalkan umat kesayangannya. Rahmat dan kasih sayang Allah semakin terasa apabila kita mula menadah tangan berdoa memohon redha Allah. Terasa sungguh doa itu dikabulkan seiring jatuhnya titisan-titisan airmata penyesalan seorang hamba.

Bagi wanita, masa untuk ke Raudhah dan maqam Nabi adalah terhad. Waktu solat jauh sekali dapat bersolat di ruang itu. Namun untuk jemaah lelaki, peluang adalah lebih terbuka. Pelajar-pelajar Universiti Madinah yang kami sempat jumpa bercerita, jika menghafal pelajaran di kawasan Raudhah itu, waktu periksa insya Allah scorelah. Kenapa? Sebab ingatan mereka jadi macam filem yang nampak semua yang dihafal, seolah-olah buku dibuka dihadapan mereka!


"Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya". al-Hasyr:9

Ya Allah Ya Rahman, jemputlah kami ke sana Ramadhan ini! Amin Ya Allah!

Monday, September 04, 2006



Ya Allah, cepatlah Abah sihat..

Ya Allah, berikanlah kesihatan yang baik buat Abah dan Mama. Berikanlah mereka kebahagian dan ketenangan dunia dan akhirat. Ya Allah ampunkan segala dosa mereka dan kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihani aku sejak dari kecil.

Amin Ya Allah.

Tuesday, August 29, 2006

{Satu}

"Apo tu Iza?" Kak Hae bertanya sambil cuba-cuba menjeling bungkusan yang aku pegang.

"Tak de apa-apa. Hadiah je nak bagi kat dia." Aku menjawab malu-malu kucing sambil mengunjurkan bungkusan plastik warna merah. Di dalamnya terdapat bungkusan kertas surat khabar lama, membalut isi sebenar barang yang ku katakan sebagai hadiah.

"Takkeh nok bui dale kortah surak kabor ni jah, Iza? " tanya Kak Hae lagi dalam slanga Kelantannya yang pekat. "Balut la molek sikek."

"Haa..tak la.. memang nak balut. Nanti la. Nak bagi dia esok. Dia nak balik kampung esok pagi. Sampai lepas raya." Aku menerangkan dengan panjang lebar.

"Eh, ini ayat ni.. kalu oghe nok ajok nikoh jo bui ayat serupo ni! Haa.. Iza nok nikoh denge dio ko?" Kak Hae dah mula senyum-senyum.

"Tak de la Kak Hae! Saja je.. dah ayat tu best." Aku cuba menepis. Dalam hati Allah je yang tau betapa malunya aku time tu. Dah le bilik kecil yang dikongsi lapan orang tu (ha'ah, 8 kau!) waktu tu tiba-tiba penuh je dengan penghuninya. Semua orang ada dalam bilik petang tu.

Kak Hae gelak-gelak kecil. Alaa, kalau betul pun apa salahnya, sambung Kak Hae lagi. Aku sengih-sengih sambil menyambung 'takde la..takde la' aku tu.

Mozek kecil berukuran 4X4 inci berlatar belakangkan gambar rumah kampung yang damai menjadi hadiah aku pada si dia. Di arasnya tertulis kaligrafi arab kalimah Allah dari surah arRum ayat 21. Entah macamana aku terfikir nak bagi mende tu, tetiba je time lalu kat bookshop depan tangga nak naik ke moot court tu, ada brothers bukak booth nyonteng mende alah tu. Aku ajak Dd singgah. Tengok-tengok teringin pulak. Heh..

Balik bilik cari ayat yang best. Bukak tafsir terus ke situ. Macam disuruh-suruh pulak baca ayat yang satu tu. Heh.. *malu*

"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir". (arRum:21)



{Dua}

Esoknya, lepas subuh aku turun dari Kolej. Berjalan dalam sejuk pagi menuju ke post guard seorang diri hari Ahad memang bukan kebiasaan aku. Tapi hari itu aku perlu membuat sesuatu supaya ianya menjadi titik permulaan.

Dia duduk di salah sebuah bangku batu di tepi jalan menuju ke KC mengadap gelanggang tenis. Dari jauh dia memandang saja aku berjalan menuju ke arahnya.

Sesampai saja aku disisinya dia berdiri.

"Saya nak balik dah pagi ni." Katanya.

"OK. Ni Iza ada bawak hadiah." Kataku pula sambil menghulurkan 2 bungkusan berbalut. Satu berbalut kertas, dan satu lagi berbalut kain biru bercorak bunga tabur berwarna putih.

"Apa ni?" tanyanya kehairanan.

"Hadiah." Jawab aku ringkas. Sambil sengih-sengih. Heh!

Dia membuka balutan kain itu. "Qur'an!" katanya sedikit menjerit. "Nak buat apa?" tanya dia lagi. Aku tersengih cuma. Seperti memahami isi hati aku, dia tersenyum. "OK, nanti saya pulangkan."

Aku tersenyum memandangnya.

Dia tersenyum memandang aku.

Tapi tak ada bunga-bunga harum jatuh di sekeliling kami atau lagu muzikal tiba-tiba berkumandang. Yang ada hanya dedaunan yang dibasahi embun pagi dan sekali-sekala menderu bunyi bas mini di jalan utama depan kampus yang berdiri megah.

Si dia bergerak meninggalkan aku sambil sempat berpesan agar menjaga diri baik-baik. Salam ku kirimkan buat kekanda dan bondanya yang berada di kampung tujuannya. Aku berjalan perlahan mendaki jalan yang berbukit untuk kembali ke bilik. Hati kecilku bertanya diriku sendiri: "senaskhah Qur'an kecil dan ayat 21 daripada surah arRum, aku melamarnya kah?" Kakiku terus melangkah perlahan mendaki anak tangga ke bilik 205 AC.



{Tiga}

Dua hari lagi 31 Ogos 2006. Genap 49 tahun kemerdekaan Malaysia. Genap juga 10 tahun perkahwinan aku dengan si dia. Alhamdulillah! :) Quran kecil berbalut kain biru bunga putih dulu telah kembali kepada aku secepat aku memberikannya kepada Abg.

Dan selepas 10 tahun ini aku berdoa agar Allah mengukuhkan lagi ikatan mawaddah wa rahmah kami sebagai suami isteri yang sah. Dan agar Allah mengurniakan kepada kami zuriat soleh yang kami tunggu selama ini, amin ya rabbal a'lamin.

Ya Allah jadikan kami suami isteri yang kasih mengasihi keranaMu, yang membimbing pasangan kami ke arah redhaMu, yang mengikuti suruhanMu, yang menjauhi laranganMu. Ya Allah, kekalkan kami di dalam kasih sayangMu, hingga abadi di dalam syurgaMu.

Tuesday, August 22, 2006

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

[1] Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Mekah);

[2] Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai;

[3] Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.

Monday, August 07, 2006

Jim.Ha.Dal.

Tiga huruf Arab ni bila digabungkan besar maknanya.
Jim.Ha.Dal. Jihad.


Anak muda kita sudah ramai yang lebih Indonesia daripada penyanyi-penyanyi Indonesia itu, yang agamanya juga kabur. Ada yang Muslim, bercampur dengan yang tidak. Bangsanya satu, Indonesia. Maka agamanya juga agak kabur disitu jika tidak diperiksa dengan teliti. Pantas, lagu-lagunya juga ada yang berunsur bukan muslim, gitu pak.

Anak muda kita juga sudah ramai yang lebih 'Omputeh' dari orang barat itu sendiri. Bercakap Melayu pelat. Bertutur Inggeris petah sekali. Maki hamunnya juga dalam bahasa Inggeris. Makan tengaharinya Chicken Chop jika tidak ada Spaghetti. Pakaiannya, usah buat tidak mengerti, kau lihat fenomena ini setiap hari.

Namun, bila berita umat Islam diserang Israel laknatullah itu saban hari ditayangkan dikaca tv, anak-anak muda ini semakin resah. Saban hari juga mereka mula membenci Israel dan pakatan jahat mereka. Bibir mereka mengucap benci dan hati mereka memohon pada Allah agar diselamatkan umat Islam di bumi Lubnan dan Palestin.

Inilah yang dinamakan ruh jihad.

Berpakaian tak cukup kain pun ada ruh jihad?

Ya. Benar, jika hatimu membenci kezaliman Israel kerana Allah.
Jika hatimu merintih kesedihan melihatkan saudaramu (yang langsung engkau tidak kenal) dibedil peluru.

Inilah yang dinamakan ruh jihad.

Sebagai umat Muhammad yang lahirnya diazankan, dan setiap hari mendengar laungan suci itu, hati anak-anak muda ini sebenarnya masih suci dengan Kalimah Allah. Hati mereka masih meronta-ronta untuk membantu sesama Muslim. Malangnya, ruh jihad ini tidak diberikan nutrisi yang cukup. Lantas, walau bibir mengucap benci, tangan masih menghulur wang kepada Israel untuk membiayai peperangan nan zalim itu.

Anak-anak muda umat Muhammad!
Hidupkan semangat jihad kamu bermula dengan makan minum kamu. Usah kunjungi restoran makanan segera yang melaburkan wang untuk Israel itu. Usah beli barangan semata-mata kerana jenama. Periksa dulu untuk siapa kita laburkan wang kita itu. Kalau perlu, telan air liur kerana 'kempunan' tak dapat membeli barangan mereka. Heh.. itu lah yang aku buat.

Pesan Nabi sallallahu 'alaihi wa salam: kalau melihat kemungkaran itu berlaku, ubahlah (halanglah) dengan tangan (dengan kuasa), jika tidak mampu, ubahlah dengan mulut (dengan perbincangan, percakapan), dan jika tidak mampu juga, ubahlah dengan hati (berdoa), dan itulah selemah-lemah iman.

Aku melihat kerap kali kita mengambil pilihan terakhir yang diberi Rasul. Apa kata kali ini kita mengambil pilihan pertama? Jom kita ubah kemungkaran ini dengan kuasa kita! *Semoga iman kita kita semakin mantap!*

Ubahlah dengan kuasa membeli yang ada pada kita. Jangan beli barangan mereka. Ingat lagi tak bagaimana mereka mengadakan sekatan ekonomi pada Rasul dan para sahabat sewaktu Islam mula hendak berkembang? Selama beberapa tahun umat Islam kebuluran kerana mereka diboikot, tidak diizinkan membeli atau menjual. Sekatan ekonomi pada umat Islam di Afghanistan, di Iraq, dan entah kat mana-mana lagi yang kita tak tahu.

Apa salahnya jika sedikit kita mencontohi mereka untuk kepentingan umat Islam juga? Berikan mereka a dose of their own medicine. Mungkin kita sedikit, maksud aku yang betul-betul berjihad menentang ekonomi yahudi ini. Namun, ianya tetap jihad di sisi Allah.. jika betul niatnya. Dan aku yakin Allah bersama kita.

Allah mengajak kita dalam firmanNya pada surah alHajj ayat 78:
"Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya..."

Sesungguhnya, jihad yang terbaik pastilah jihad bagi menegakkan agama suci Islam. Tunggu apa lagi?


Ya Allah, kuatkan semangat jihad kami!

Friday, August 04, 2006

Jika Benar Cinta Itu Buta, Butakan Mataku..



Kalau korang pernah dengar tajuk entry aku kali ni, mesti korang dapat relatekan tajuk ni dengan sebaris lagu tak lama dulu. Tajuk lagu tu apa aku pun tak tau, tapi sebaris bait nya begitulah. Cuma bukan "butakan" tapi "butakah".

Aku ingin sekali Ya Allah, mencintaiMu seluruh jiwaku. Maka jika benar cinta itu buta, butakanlah mataku, agar apa yang aku lihat hanyalah keesaanMu. Agar apa yang aku rasa hanyalah kasih sayang Mu yang Maha Agung. Agar apa yang aku fikirkan hanya kerinduanku terhadap kewujudanMu di dunia fana ini.

Ini sambungan keikhlasan yang aku bincangkan sebelum ni. Sejauh mana kita ikhlas dalam beribadah kepada Allah? Adakah hanya kerana menunaikan tanggungjawab sebagai umat Islam, atau takut dipandang orang, atau sememangnya kita rindu untuk kembali menemui Allah yang Esa?

Ramai yang berpendapat, untuk apa ibadah habis-habisan hari ini, kalau esok terjun ke lembah maksiat. Bukan aku yang cakap tu, tapi seorang hos yang mengemukakan pendapat kawannya dalam suatu rancangan MHI. Tapi ayat dia lebih kurang gini: buat apa buat baik hari ini kalau esok lusa buat jahat.

Ustaz jemputan dari UIA jawab: mesti ada something wrong somewhere pada keikhlasannya semasa berbuat baik (ibadah) tu. Jadinya, kebaikannya itu tak dapat nak diteruskan oleh kerana ada niat lain pada urusan baiknya itu.

Ramai yang begitu. Kita tolong orang hari ini dengan harapan kita akan ditolong pula oleh orang lain di waktu lain. Buktinya? Alaa.. kan biasa orang sebut, hari ni hari kau.. esok lusa hari aku pulak. Bila aku susah, kau tolong la aku.

Bila orang lain tak tolong kita waktu kita susah, nah, disitu pintu kejahatan mula terbuka. Kita rasa marah pada orang lain. Kita kecewa. Kita rasa tidak dipedulikan. Kita rasa tidak dihargai. Ya Allah, lemahnya kita!

Sebab itulah, bagi aku, jika benar cinta itu buta, Ya Allah, Kau butakanlah mataku dari melihat selain dari keEsaan dan keAgungan rahmatMu.

----------------------------
Doa aku kali ini:

Ya Allah YaTuhanku,

Aku hambaMu yang sangat kerdil. Tiada upaya menghalang kesakitan dan kesedihan diri sendiri apatah lagi kesakitan dan kesedihan hambaMu yang lain. Yang dapat aku curahkan hanyalah doaku, agar Engkau, Ya Allah, Tuhan sekalian alam, dapat melemahkan musuh-musuh Islam, dan selamatkanlah saudara-saudaraku dibumi Palestin dan Lubnan, serta seluruh umat Islam dibumi ini.

Wa sallallahu 'alaihi wa salam.

Amin, ya Rabbal a'lamin.

Tuesday, July 11, 2006


Ikhlas

Satu perkataan yang simple, tapi payah nak direalisasikan.
Satu perkataan yang mudah disebut, tapi jadi sukar bila tak dimaksudkan.

Kalau sesiapa yang dapat mengikhlaskan hatinya, perbuatannya, perkataannya, tulisannya, nescaya hidup ini akan jadi begitu indah buatnya.

Namun, kalau sebutan ikhlas itu hanya bermain dibibirnya, atau berlegar dalam pemikirannya sahaja, jiwanya akan resah gelisah bagai pesalah menunggu hari hukuman dijalankan.

Statement yang atas tadi tu bukan aku cakap saja-saja. Itu janji Allah pada kita, i.e. pada sesiapa saja hambanya yang ikhlas.

Dengan terang Allah memberi amaran kepada Iblis dalam surah al-Israa' ayat 65, yang bermaksud:

"Sesungguhnya hamba-hambaKu (yang beriman dengan ikhlas), tiadalah engkau (hai iblis) mempunyai sebarang kuasa terhadap mereka (untuk menyesatkannya); cukuplah Tuhanmu (wahai Muhammad) menjadi Pelindung (bagi mereka)."

Tengok, ALLAH jadi pelindung kita. Mau apa lagi? Tentu saja itu yang terhebat.

Aku punya seorang sahabat yang hatinya cukup ikhlas? Aku? Heheh.. aku pun baru belajar. Takyah ceritala pasal aku. Kita cerita pasal member aku.

Dia punya ikhlas, kalau orang buat kes naya kat dia pun, dia tanya balik kat aku: patut marah ke aa'? Subhanallah! Bersihnya hati dia. Kalau sesiapa saja minta tolong, dia akan tolong seboleh mungkin. Tak pernah wujud kumpulan-kumpulan yang boleh ditolong atau tidak. Semuanya sama baginya. Kalau diungkit kemudian hari, dia seolah-olah tak ingat langsung pertolongan yang dia dah bagi tu! Masya Allah! Hebat sungguh keikhlasannya!

Aku belajar darinya untuk menjadi seikhlas mungkin. Jangan disebut. Tapi untuk berkongsi aku rasa tiada salahnya. Dan biasalah, orang baru belajar tentu saja ada salahnya. Kata Imam Al-Ghazali dalam bukunya.. alamak, lupa laks tajuk buku tu.. tapi kata dia, kalau orang yang tengah belajar nak menyucikan hati ni, memang sengsara. Sengsara yang amat sangat.. sebab kita nak buang sifat yang dah sebati ngan diri kita tu kan. Heh..

Bukanlah aku kata orang yang tak ikhlas ni tak baik, tidak. Cuma yang pasti, tiada ketenangan dalam dirinya. Kerana sibuk memikirkan balasan dari orang lain.

Wallahu a'lam.

Ya Allah, ikhlaskan lah hati-hati kami.

Tuesday, July 04, 2006

Saham positif vs. saham negatif

Ramai orang suka dengar perkataan 'saham'. Ramai jugak yang tak kurang tercebik bibirnya bila dengar perkataan yang sama. Kalau merujuk Kamus Dewan, saham bermaksud: "bahagian (dlm modal sesuatu perniagaan), sero, syer; pemegang ~ orang yg mempunyai syer sesuatu perniagaan".

Senang cerita, saham ni kalau kita laburkan sesuatu sebagai saham, maka kita akan dapat hasilnya balik. Pokoknya mesti ada benih. :)

Ramai orang yang berhasrat untuk mendapatkan pokok yang subur bila benih ditabur. Namun, ada juga yang tak sedar dia menabur benih, lantas pokoknya tiba-tiba ajer tumbuh. Esok ke, lusa ke, tahun depan ke, 10 tahun lagi ke.. yang pasti - tiba-tiba ada pokok. Bila jadi begini, kena lihat pokoknya. Kalau baik, subur pokoknya, siap berbuah manis pulak tu, selalunya ramai yang claim kata benih itu dia yang tanam. Tapi kalau pokoknya kurang baik, kurang subur dan buahnya tidak manis, masing-masing menuding jari menyalahkan orang yang menanam benih.

Dalam surah alMaaidah, Allah bercerita pada ayat 31. Maksudnya:

"Kemudian Allah hantarkan seekor burung gagak (menyuruhnya) mengorek-ngorek di bumi supaya diperlihatkan kepada (Qabil) bagaimana cara menimbus mayat saudaranya. (Qabil) berkata: Wahai celakanya aku! Alangkah lemah serta bodohnya aku, aku tidak tahu berbuat seperti burung gagak ini, supaya aku dapat menimbuskan mayat saudaraku?. Kerana itu menjadilah dia dari golongan orang-orang yang menyesal".

Dari haiwan dan alam sekitar juga kita boleh belajar. Dari contoh yang Allah beri, jelas perbuatan burung itu menjadi saham baginya. Maksudnya, burung itu mengajar Qabil untuk menanam mayat saudaranya. Sedangkan burung itu tidak berniat pun nak mengajar si Qabil tu tadi.

Maksudnya, kalau kita buat sesuatu, atau cakap sesuatu, atau tulis sesuatu, atau lukis sesuatu.. dan macam-macam sesuatu lagilah, kita kena fikirkan akibat darinya. Mungkin ada hamba Allah yang akan 'belajar' dari sesuatu kita itu lantas mengakibatkan saham kita bertimbun-timbun di kemudian hari. Kalau sesuatu itu positif, baguslah. Kalau sesuatu itu negatif? Nak tanggung akibatnya sendirian?

Dari sebuah hadith Nabi sallahu 'alaihi wasallam (sumber Sahih Muslim, hadith 3177), dengan jelas Baginda sallahu 'alaihi wasallam menerangkan tentang dosa yang didapati oleh kita, jika kita sebagai contoh bagi orang lain yang membuat dosa yang sama.

Maksud hadith tersebut: Dari Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam bersabda: Setiap kali ada pembunuhan secara zalim, maka putera Nabi Adam yang pertama itu akan mendapat bahagian darahnya, (mendapat dosa) kerana dialah orang yang pertama melakukan pembunuhan."

Astaghfirullah. Kita tak sedar apa yang orang lain telah belajar dari kita. Kalau sesuatu itu positif, baguslah. Kalau sesuatu itu negatif? Nak tanggung akibatnya sendirian?

Ya Allah, ampunkan segala dosa kami, dosa kedua ibu bapa kami dan dosa umat Islam seluruhnya. Amin, ya Allah!

Wednesday, June 21, 2006

Sana-sini

+ minggu ni nak ke KL
.: seminar IT kat UTM Semarak
.: job and education fair kat MidValley Megamall
.: tengok Epin kat HKL.. :( (semoga Allah selamatkan mata kanannya)
.: bincang bisnes ngan Heidheer.. (tu abg nya kerja la)

+ minggu depan nak ke KL (lagi!)
.: dinner TMNet kat KL Convention Center.. (dapat jumpa BlueHyppo!)

+ minggu satu lagi
.: tak tau lagi.

Ya Allah, jadikan perancangan kami dalam redhaMu, amin.

Wednesday, June 14, 2006

Ramai orang yang sedang berjuang sekarang ni. Tak kiralah melawan apa sekali pun. Aku dengan besar hati dan rendah diri mengucapkan selamat berjuang. Semoga Allah membantu kalian di dalam perjuangan masing-masing.

Firman Allah dalam surah Al Baqarah, ayat 218 yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".

Bagi aku, paling agung ialah perjuangan menegakkan syiar Islam.
Bagi aku juga, paling susah ialah perjuangan melawan hawa nafsu. Melawan kata hati yang cuba melatah dengan ujian kehidupan. Heh..

Bila mengingati rukun iman yang terakhir, aku jadi insaf sangat-sangat. Ye lah, perlu mempercayai sesungguh hati atas qadha dan qadar Allah. Cakap senang la rukun yang keenam ini. Tapi ramai yang tergelincir tanpa sedar. Na'uzubillah.

Mana tidaknya, hanya dengan termenung memikirkan 'kenapalah nasib aku tidak begini-begini', kita boleh tergelincir. Hanya dengan 'memarahi diri kerana tidak berbuat begitu-begini di awal peristiwa', kita juga boleh tergelincir. Menyalahkan orang lain kerana menjadi sebab kita begini-begitu juga mungkin sebab kita tergelincir.

Kenapa? Ye lah, kalau sudah tidak redha dengan qadar Allah, bukankah itu satu jalan untuk kita tergelincir? Astaghfirullahal 'azeem.

Islam itu cukup indah. Ada orang percaya sepenuh hati, ya'ni beriman tanpa ragu dengan qadar Allah. Tenang dan damai hatinya menghadapi kerenah dunia ini. Itu janji Allah pada mereka yang pasrah kepadaNya.

Namun ada jolokan alien yang tidak tenang merosakkan kedamaian tadi. Maka disinilah kita perlu berjuang melawan latahan mereka yang lain. Untuk melawan latahan ini bukannya mudah. Sebab kita kena lihat siapa yang melatah.

Apa relevannya kata kamu? Huuii.. banyaakk... Kalau kita seorang anak, latahan ibubapa harus ditangani sebijak mungkin. Agar jauh dari derhaka kepada mereka. Kalau kita seorang isteri, latahan suami harus ditangani sehikmah mungkin. Semoga Allah jauhkan nusyuz dari kita. Kalau kita seorang pemimpin, latahan pengikut perlu diajarkan dengan penuh kasih sayang bimbingan seorang mursyid. Bukan semakin menyalahkan kecetekan akal mereka. Contohnya pasti sahaja Nabi kesayangan aku, dan kamu juga. :)

Ya Allah.. kuatkan semangat juang kami dan berikanlah kejayaan di dunia dan di akhirat! amin ya Dzul Jalaali wal Ikraam.

Tuesday, June 06, 2006

Dari Mailbox aku...

"Di dalam sebuah hadis Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: "Pada hari Kiamat nanti, di hadapan Allah swt tidak akan ada syafaat yang mempunyai taraf yang lebih tinggi daripada Al-Quran, bukan Nabi, bukan malaikat dan sebagainya". Melalui hadis di atas kita dapat mengetahui bahawa Al-Quran adalah pemberi syafaat yang mana syafaatnya akan diterima Allah.

Terdapat satu riwayat menyatakan bahawa apabila seseorang itu meninggal dunia dan keluarganya sibuk melakukan upacara pengkebumian, seorang yang kacak akan berdiri di bahagian kepalanya. Apabila mayat itu dikafankan, orang itu akan datang mendiami antara dadanya dan kain kafan itu.

Bila selesai dikebumikan, orang ramai termasuklah ahli-ahli keluarga dan kekasih kita akan pulang ke rumah dan datanglah dua malaikat; Munkar dan Nakir cuba untuk memisahkan orang yang kacak itu supaya mereka dapat membuat pertanyaan mengenai iman orang yang meninggal dunia itu tanpa sebarang gangguan.

Tetapi orang yang kacak itu akan berkata : "Dia adalah kawanku. Aku tidak akan meninggalkannya berseorangan walau dalam keadaan apa sekalipun. Jalankanlah tugas kamu tetapi aku tidak akan meninggalkannya sehingga aku membawanya masuk ke syurga!"
Selepas itu dia berpaling ke arah mayat sahabatnya dan berkata: "Akulah Al-Quran yang mana engkau telah membacanya kadang kala dengan suara perlahan dan kadang kala dengan suara yang kuat." "Janganlah engkau bimbang. Selepas pertanyaan Munkar dan Nakir ini, engkau tidak akan berasa dukacita lagi." Bila pertanyaan selesai, orang yang kacak itu akan mengadakan untuknya satu hamparan sutera yang penuh dengan kasturi dari malaikat - malaikat dari syurga."

Alangkah indahnya dan bahagianya sekiranya orang itu adalah kita. Kita tahu tentang tingginya syafaat Al-Quran tetapi dengan mengetahuinya sahaja tanpa berusaha untuk mendekati dan merebut syafaat itu kita adalah orang-orang yang rugi. Cubalah kita renungkan sejenak diri kita sendiri. Ajal dan maut adalah ketentuan Allah. Bila ia telah datang kita tidak akan mampu memperlambatkan atau mempercepatkannya walaupun untuk tempoh sesaat. Dan apabila berada di alam kubur siapakah lagi yang akan menemani kita jauh sekali memberi bantuan kecuali amalan-amalan kita sewaktu di dunia. Allah telah menjanjikan Al-Quran sebagai pemberi syafaat terulung dan janji Allah itu adalah benar. "

Ya Allah, lapangkan masa kami untuk Qur'anMu.

Saturday, June 03, 2006

Sabar ya..

Aku sedang menunggu sesuatu.
..
..
..

Kata orang penantian satu penyeksaan.
Seksa sekuat mana itu bergantung pada iman seseorang. Kalau hatinya terlalu lekat pada apa yang dinanti, tentu sahaja ianya bagaikan seksaan yang tiada berpenghujung.

Kamu menunggu sesuatu?
Pernah sahabat Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam berkata semua seksaan yang menimpa mereka tidaklah sehebat seksaan terhadap Rasul. Cinta agung mereka terhadap Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam meletakkan seksaan terhadap diri mereka sendiri ke peringkat yang paling bawah.

Dari hadis "Abu Musa r.a katanya: Kami telah keluar berperang bersama Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam, bilangan kami adalah seramai enam orang. Ketika itu kami hanya membawa seekor unta dan menunggangnya secara bergilir-gilir, kadang-kadang tapak kaki kami termasuk kaki ku sendiri terluka akibat perjalanan tanpa memakai alas kaki sehingga kuku kakiku tercabut. Lalu kami membalutnya dengan cebisan kain. Setelah itu peperangan tersebut telah dinamakan dengan peperangan Zatu Ar-Riqa', kerana sepanjang peperangan tersebut kami berperang dalam keadaan kaki yang berbalut dengan cebisan kain."
(sumber Sahih Muslim)

Ya Allah, sabarnya mereka. Kalau aku ditempat mereka, wallahu a'lam.. entah bertahan entahkan tidak. Kalau anda.. bagaimana?

Ya Allah.. kuatkan hati2 kami menegakkan ajaran Baginda sallahu 'alaihi wasallam.


Friday, June 02, 2006

15 Tanda Ego @Sombong


Jom muhasabah diri! Cuba cek senarai kat bawah ni. Mana la tau kot-kot satu dua terkena kat kita.. belum lambat lagi untuk ubah diri.. Selagi tak dibalut kain kapan dan dimasukkan dalam liang lahad, insya Allah ada masa untuk bertaubat.

Cuba cek, adakah kita salah satu dari yang dibawah?

1. Diberi jawatan rasa terhibur.

2. Tidak dilantik, rasa tidak tenang.

3. Kalau dia seorang pemimpin, arahannya kasar.

4. Kalau dia seorang pengikut, payah mahu taat.

5. Mudah marah, cepat melenting.

6. Emosional, mudah tersinggung.

7. Suka berkawan dengan orang bawahan, supaya dirinya nampak lebih tertonjol dari orang lain.

8. Payah menerima pandangan orang lain.

9. Dalam majlis, tidak senang bila orang lain memberi pandangan.

10. Dalam majlis, mudah memotong cakap orang lain.

11. Suka hanya pandangannya sahaja diterima.

12. Suka memperkenalkan dirinya sendiri, daripada memperkenalkan pemimpin dan ahli jemaah yang lain.

13. Lebih berminat berkawan rapat dengan orang lain daripada anggota jemaah sendiri, supaya terlalu terikat dengan displin jemaah dan terserlah kesempurnaan diri.

14. Tidak senang kemajuan tercetus ditangan orang lain.

15. Bercakap selalu dengan suara tinggi, tidak boleh dicabar, pasti tercabar.


Ya Allah, jauhilah kami dari sifat mazmumah.

Thursday, May 25, 2006

Letih..


Aku letih.
Penat betul.
Lelah rasanya.

Nak berehat jap.
.................
.................
. .
.. ..
.. ..
... ...
.... ....
....... .......
.... ....
... ...
.. ..
.. ..
. .
.................
.................

:) cepat betul masa berlalu.

Alhamdulillah..

Monday, May 22, 2006

Suka ke tidak?

Seperti mana usaha yang tidak jelas pada pandangan manusia umum, begitulah juga Allah tidak mengabulkan doa yang tidak sesuai untuk seseorang hambaNya.

Sebagai manusia yang lemah, kadang-kadang kita terlalu bersifat meminta-minta. Meminta perkara yang tidak perlu. Meminta perkara yang tidak wajar. Yang mana pada pemerhatian insan lemah itu, ianya sudah cukup wajar.

Allah mengingatkan kita dalam surah Al Baqarah ayat 216:

"...dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya".

Pasrahlah. Yakinlah. Kerana sesungguhnya Dia Maha Mengetahui keperluan kita.

Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahiim, Ya Muhaimiin..

Tuesday, May 16, 2006

Usaha Pasti (?) Jaya

Manusia selalunya memandang dengan mata kasar.
Bukan dengan hati.
Bukan dengan akal.
Bukan juga dengan pemikiran.

Mata kasarnya kerap kali memberikan impresi pertama yang biasanya mempengaruhi pendapatnya.

Ada orang yang berusaha. Tapi nampak macam tak berusaha.
Ada yang nampak sambil lewa. Tapi hasilnya berbuah lumayan tanpa tahu hujung pangkalnya.

Dalam surah al-Lail ayat 4, Allah menjelaskan:
"Sesungguhnya amal usaha kamu adalah berbagai-bagai keadaannya".

Jadi, jika kita lihat orang duduk bergoyang kaki itu, jangan cepat salah tanggap dia malas berusaha. Mungkin dia baru saja duduk melepaskan letihnya.

Aku hargai usahamu sahabat yang cuba mengusahakan aku agar berusaha. Sebenarnya, usaha aku kabur pada penglihatan orang lain. Usaha aku tidak aku uar-uarkan kepada TV1,2,3,8 mahu pun 9.

Bila aku menolak itu, aku harap kau faham. Jangan cepat putus asa. Teruskanlah usaha mu. Mana tahu satu hari nanti aku termakan pujuk. Heh..

Ya Allah, selamatkanlah pada mujahideen di seluruh dunia. amin..

Thursday, May 11, 2006

Bila Kepala Selari Kaki

Sabda Rasulullah s. a. w :
"Suasana yang paling hampir antara seseorang hamba dengan Tuhannya ialah di kala ia bersujud kerana itu hendaklah kamu memperbanyakkan doa di dalamnya."

Secara saintifiknya, sujud menyebabkan darah sampai ke bahagian otak/kepala yang memerlukan sedikit sahaja darah, sesuai dengan lamanya seseorang itu bersujud. Orang bukan Islam tak bersujud. Kalau sujud pun, dengan sebab lain, bukan menyembah yang Esa. Maka, aku yakin bila niat tu lain, feel dia pun lain.

Banyak kelebihan memanjangkan sujud dan memperbanyakkan doa di dalamnya. Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam biasa berbuat begitu sehingga pernah para sahabat merasa amat hairan kerana lamanya baginda bersujud.

Aku sujud lebih selesa bila aku banyak memikir.
Ya Allah, jadikan aku antara ahli zikirMu.

Wednesday, May 10, 2006

Tentang Dia

Dah lama perkara tu terbuku dalam hatinya. Semua orang tak diberitahu. Aku sorang je yang dihadapkan dengan masalahnya itu.

Allah berfirman dalam surah AlBaqarah ayat 45,

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk".

Tentu saja solat jadi pegangannya. Juga aku tahu dia seorang yang sangat sabar.
Namun apa boleh kita buat jika itu ketentuan Allah untuk mengangkat martabatnya.

Sahabat, bersabarlah seterusnya. Aku yakin kau akan berjaya. Tidak disini, disana nanti. Ditempat yang pasti lebih abadi.

Ya Allah, Kau tabahkanlah hati wanitanya. amin.

Thursday, May 04, 2006


Who is Abg in my life?

Abg is a very special person to me. Even if every one in the family would think bad crazy things about him, he will always be the one for me.

If you listen to Celine Dion's Because You Loved Me, he is everything said in those lyrics.

I was raised to feel inferior about myself. He teaches me not to. Though sometimes, well, most of the times now I still feel inferior. It's hard to change y'know. But he loves me no matter what.

I was raised being stubborn and rebellious. He cares me enough to let me know that what I'm doing is stupid. He knows which button to press to make me calm and feels like there's no reason for us to be scared at all. He will go every step of the way to make sure I feel secured, even though I rejected those moves because of my indifference. But those loving thoughts are keeping me where I am now.

He believed in me when no one else does. He gives me confidence and boosts my self-esteem. He sacrificed a whole lot merely to see that I'm content with my life. He goes a long way just to make sure that I fulfilled all my dreams, though it means shattering all of his.

He is my think tank. He is my mind. He is my intelligence booster. Although we seldom differ in thinking but we always have our own ways of analyzing things. And both of our philosophies complete each other’s.

He pushes me up the ladder when everyone else gives me false hope to stay on at the same spot. He doesn’t have to pretend to love me, because it comes natural in him to love me. He knows not to get me things the usual way, for my love of surprises and my ever changing preferences would make us end up in despair.

I have never seen such a person who would love me like Abg does.

Ya Allah The Omnipotence, shower Abg with you endless Love and Mercy. Make him be the one who’s fully prepared to enter your Jannah. Make him be among your beloved ones. Make him dear to me always in mawaddah wa rahmah. Amin, ya, Allah.


Tuesday, May 02, 2006

Jalan Ilmu


Banyak orang banyak ragamnya.
Begitu juga dengan impian, cita-cita dan angah-angan.. masing-masing punya impian tersendiri. Masing-masing punya cita-cita tersendiri. Masing-masing punya angan-angan tersendiri.
Dari angan-angan yang disertakan usaha itulah lahirnya cita-cita dan impian.

Cita-cita aku ialah untuk hidup dan mati dalam mencari ilmu. Impian aku ialah untuk sentiasa berada di bawah sayap malaikat yang menaungi orang-orang yang berada di jalan ilmu.

Allah berfirman dalam surah an-Nisaa' ayat 32 yang bermaksud:

"Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu".


Ya Allah, aku pohon dariMu keberkatan ilmu yang tidak putus-putus. Amin ya Rabbal a'lamin.

Tuesday, April 25, 2006

Kulaan PSDC

Hari tu aku habaq nak bagitau tentang kehebatan kulaan PSDC kan.
Heh.. lupakan saja la..
Sebab mereka semua terlalu hebat, aku tak tau nak start kat mana.

hehe..


*blank*

Teringat fiman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 44:

"Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal? "

Ya Allah, kau elokkan lah diriku sebelum aku mengembang syiarMu. amin..

Thursday, April 13, 2006

Alhamdulillahhh!!


Segala Puji hanya bagi Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Pemurah.

Ya Allah

Ya Rahman

Ya Rahiim


Semalam majlis farewell aku.
Hari ini aku dapat kerja part time kat unibersiti swasta! Yeehah!

:)

Alhamdulillah! Alhamdulillah! Alhamdulillah!
Maha Suci Engkau!

Saturday, April 08, 2006

Terima kasih semua


Tinggal 10 hari berkerja lagi untuk aku berada di sini.
Fail-fail dah half-way updated. Soalan final SSK belum siap lagi. Targetnya minggu depan hari Rabu kena siap dah. Markah kerja kursus pun kena hantar minggu depan juga. Presentation projek pelajar pun minggu depan juga. Heh.. banyaknya due minggu depan. Ya Allah, mudahkan lah urusanku.

Bila berita dah tersebar, ramai yang bertanya mengapa. Aku serba salah nak jawab. Tak jawab nanti, berbagai spekulasi akan dilemparkan. Jawab nanti, tak semua akan faham dengan keputusan yang aku ambil. Akhirnya, aku ambil keputusan untuk terus diam dan senyum. Biarlah mereka nak fikir apa sekalipun. Bagi aku, yang penting niat aku masih tetap sama, tidak dipengaruhi oleh anasir luar. Ewah..

Aku hargai prihatin mereka. Mereka bertanya bukan kerana dengki. Atau bukan juga kerana tak puas hati. Tapi aku yakin mereka bertanya kerana mereka sayangkan aku. Hehe.. Betul! Sebabnya aku sayangkan mereka! Imam alGhazali kata kalau kita bagi dengan hati, orang akan terima dengan hati juga. Selama aku berada di sini, insya Allah semuanya datang dari hati aku.

Buat semua, saya ucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas jasa kalian mendidik saya menjadi hamba Allah yang tulus. Terima kasih atas persahabatan. Terima kasih atas kenangan. Terima kasih juga atas budi baik kalian yang menerima saya tanpa syarat. Terima kasih. Semoga Allah membalas budi baik kalian.

Lima tahun aku di sini yang paling best sekali ialah program PERASA di Semuji Agro Resort. Trainer kami waktu tu PakSu memang ada anugerah dari Allah. Ditambah pulak dengan kehebatan semua staf. Alhamdulillah. Aku cukup seronok. Tapi yang paling penting ialah apa yang aku belajar dari situ. Dan atas alasan itulah aku bernekad untuk meletakkan jawatan. Heh..

Lepas ni aku belum tahu lagi ke mana arah tuju aku. Hanya Allah yang tahu. Perancangan ada. Strategi pun ada. Tapi aku hanya merancang, Allah yang Maha Menentukan. Aku yakin dengan janji Allah dalam ayat 160 pada surah ali-Imran ni:

"Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika Ia mengalahkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri."


Apapun, tak berada di sini, tak semestinya aku tak bersaudara dengan mereka.
Ya Allah, hiasilah hubungan ukhuwah kami dengan rahmat dari Mu..


p/s.. Next entry aku nak citer pasal kehebatan kulaan-kulaan aku di PSDC! Insya Allah.

Friday, April 07, 2006

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Dalam surah al-An'am, ayat 32, Allah terang-terang mengingatkan kita:

"Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?"

Ibarat seorang musafir yang berhenti sebentar melepaskan lelahnya dibawah sepohon pokok, musafir berkenaan akan bangkit berjalan semula apabila hilang penatnya. Ke mana? Tentunya menuju ke destinasi akhirnya. Entah rumahnya, atau hotel, atau kedainya. Entah..

Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam mengibaratkan kita seperti musafir tersebut. Yang hidup di dunia ini hanya sekadar melepas lelah untuk bangkit semula menuju negeri abadi. Bezanya kita dengan musafir itu, kita tahu ke mana arah tuju kita. Cuma kita tidak tahu bila kita akan sampai ke sana.

Kadangkala kita terlupa destinasi akhir kita. Sekadar berhenti berehat, dibinanya khemah. Lantas dihiasnya khemahnya dengan segala macam keperluan agar kerehatannya selesa. Sedang berehat itu, ternampak pula orang menjual bantal. Terfikir dihati, eh, kalau ada bantal ni sedap sikit. Bangun pergi beli bantal. Tak lama lepas tu nampak pulak orang melelong selimut. Terfikir lagi, hah, tak lama lagi nak malam, ada selimut ok jugak. Boleh tahan sejuk dipagi hari nanti. Bangun pulak pergi beli selimut.

Niat asal nak berehat sekejap jadi lama disebabkan selesa di port baru. Semakin hari semakin ramai yang berniaga disitu, kita pula makin kerap membeli segala macam keperluan bagi menampung kehidupan yang dah semacam bermastautin di situ. Akhirnya, rehat yang dicari pada awalnya tidak muncul jua, tapi bertambah penat kerana terpaksa menjaga begitu banyak aset takut hilang dicuri orang dan sebagainya. Sudahlah begitu, terpaksa menambah pula liabiliti untuk menambah aset kerana sudah jatuh hati pada barangan yang ditawarkan disekeliling kita.

Lantas lupa lah kita pada tujuan kita untuk ke destinasi akhir tadi. Sedangkan sewaktu keluar dari rumah kita beria-ia berjanji untuk melaksanakan kewajipan kita untuk sampai ke destinasi akhir dengan matlamat yang satu. Maka bila diajak bergerak semula untuk melangkah ke destinasi akhir, hati kita berat sungguh sehingga kita menolak kemungkinan yang kita perlu meninggalkan kawasan rehat kita tadi.

Ya Allah!

"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar." al-Asr:1-3

Jadikan kami orang yang beruntung di dunia dan akhirat!

Thursday, March 30, 2006

Muhammad

Yang Terpuji.

Nabi kita.

Junjungan besar kita.

Nama sebuah surah dalam Al-Qur'an.


Antara ayatnya:
[16] Dan di antara mereka (yang hadir di majlismu wahai Muhammad, ialah orang-orang munafik) yang mendengar ajaranmu (dengan sambil lewa), sehingga apabila mereka keluar dari sisimu berkatalah mereka (secara mengejek-ejek) kepada orang-orang yang diberi ilmu (dari kalangan sahabat-sahabatmu yang setia): "Apa yang dikatakan oleh Muhammad tadi?" Mereka (yang munafik) itu ialah orang-orang yang telah dimeteraikan Allah atas hati mereka, dan ialah orang-orang yang menurut hawa nafsunya.

[17]Dan (sebaliknya) orang-orang yang menerima petunjuk (ke jalan yang benar), Allah menambahi mereka dengan hidayah petunjuk, serta memberi kepada mereka (dorongan) untuk mereka bertaqwa.

Dalam ayat 16 dalam surah Muhammad, Allah menzahirkan perbuatan kaum munafik yang berpura-pura menerima wahyu Allah melalui Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam. Sedangkan apabila mereka bersurai dari perjumpaan itu, mereka terus menafikan kebenaran dan cuba pula mengacum mukmin yang lain.

Ayat 17 pula Allah menyampaikan berita gembira bagi orang-orang yang yakin dengan ajaran Nabi Muhammad sallahu 'alaihi wasallam, iaitu dengan memudahkan jalan untuk mereka menjadi orang yang bertaqwa.


Itu kisah benar dari al-Qur'an tentang umat Muhammad yang hidup di zaman baginda. Walaupun mereka menyorokkan kebencian mereka kepada ajaran Islam kerana takut tidak diterima oleh masyarakat setempat pada ketika itu, tapi Allah Maha Mengetahui. Lantas, Allah turunkan wahyu untuk dijadikan pengajaran oleh RasulNya ketika itu.

Namun senario itu tidak terhenti di situ dan ketika itu. Pada zaman fitan kini, lebih banyak munafik yang terus menerus mengaku Islam, namun hakikatnya membenci apa yang dibawa oleh Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam.

Periksa diri kita. Tak perlu pergi kepada amalan ibadah yang mampu dibuat oleh para wali. Tak perlu mengadu rukun Islam tidak sempurna lagi kerana tidak cukup syarat. Tak perlu semua tu.

Periksa yang asas sahaja.

Contohnya: Apa kita menjaga adab tutur kata kita seharian? Dengan ibu bapa tentunya. Tapi dengan rakan sejawatan..? Dengan anak buah..? Dengan ketua jabatan..? Dengan orang yang kita tak puas hati sebab dia potong line kita waktu nak bayar barang di kedai..? Dengan jiran yang tumpang buang sampah dalam tong sampah kita..? Heh..

Naik sikit. Cuba periksa pula pakaian kita. Cukup kain menutup aurat..? Kalau yer pun tutup kena dengan syari'at ke tidak? Kalau tutup semua tapi ketat sangat pun tak boleh juga. Atau jarang sangat. Nabi ajar pakai tudung kepala dilabuhkan hingga ke paras dada. Kita punya tudung cuba periksa, paras dada ke atau atas dada? Ke tak pakai langsung?

Naik lagi. Cuba periksa solat kita. Tetap tak? Pada masanya? Atau tinggal terus?

Ya Allah.. Kenapa begini jadinya?

Islam tak?
Islamm...
Habis kenapa tak solat?
Ah..uh..erghh.. nantilah... akak pergilah dulu.
Benci Nabi ke?
Eh, taakk!! Siapa kata saya benci Nabi?
Habis tak buat apa yang dia ajar..
Alaa.. nanti kejap lagi saya solat la..

..
...
....
Sampai habis waktu aku tunggu engkau masih leka dengan dunia, mana janji mu tadi untuk solat? :(

Ya Allah. Jauhi kami dari sifat munafik. Jadikan lah kami umat Muhammad yang mencintai baginda sallahu 'alaihi wasallam.
Aminn..

Saturday, March 11, 2006

Maluuu.... :P

Pagi tadi sampai pejabat, aku terus on PC.
Tertiba dia stuck kat booting process tu.. mesej berikut keluar:

NTLDR is missing
Press any key to restart

Aku pun press la any key. Tak boleh pun. Mesej yang sama keluar lagi.
Aku restart manually, pun tak boleh.

Dalam keadaan yang gabra, aku SMS ke Khalid, salah seorang technician yang baik hati di sini.
Waktu tu masih belum pukul 8.30 pagi lagi.

Kelam kabut Khalid datang bilik aku. Aku nampak je dia, aku terus jerit.. "Khaliiiddd.. tolooong.. PC akak!"

Heheh.. aku memang cuak pasal PC ni. Sebab dalam tu macam-macam kerja aku ada. Kalau hilang.. i.e. kena format ke, habis la usaha aku satu sem. Nak buat semula, bukannya senang, especially bila mende tu masih baru diupdate, tapi tak buat backup lagi kat server. Nak mengingatnya satu hal. Ya Allah..

Khalid terus duduk di kerusi raja aku. heh.. Laa, ada disket rupanya. Cepat dia detect.

Laaa!! Yer ke? Ya Allah! Malunyaaa Khaliiddd, aku terus sambung. Isyhh.. tak perasan betul! Sebab selalunya mesej yang keluar kalau ada disket ialah System disk not found. Hari ni lain pulak. Isk..

Malunyaa..malunyaa...

Khalid senyum senyum sambil kata: "Tak apa..tak apa.."
Khalid keluar bilik.
Aku terus malu sendiri.

Astaghfirullah.. :)

Friday, March 03, 2006

Realism Vs. Fantasism

2 fenomena ni menarik kalau nak dibincangkan. 2 perkara yang saling berlawanan. 2 perkara yang menjadi pucuk pangkal berjayanya sesuatu pemikiran. 2 perkara yang mungkin menarik diri seseorang itu ke arah tuju yang berbeza.

Real = Nyata

Fantasy = Mimpi

Hmm..

Firman Allah di dalam surah Al-Anbiya' ayat 5:
"(Mereka bukan sahaja menyifatkan Al-Quran itu sihir) bahkan mereka menuduh dengan berkata: "Al-Quran itu perkara karut yang dimimpikan oleh Muhammad, bahkan perkara yang diada-adakan olehnya, bahkan Muhammad sendiri seorang penyair. (Kalaulah ia sebenarnya seorang Rasul) maka hendaklah ia membawa kepada kita satu mukjizat sebagaimana mukjizat-mukjizat yang dibawa oleh Rasul-rasul yang telah diutus dahulu".

Orang bukan muslim Quraisy dulu masih mengingkari al-Qur'an (atau pada ketika itu masih dalam bentuk wahyu yang loose - tidak dibukukan) yang terang dan nyata dari sisi Allah. Bagi mereka ianya adalah fantasi. Bagi mereka ianya adalah sesuatu yang karut direka oleh Junjungan Mulia Nabi Muhammad sallahu 'alaihi wasallam. (nastaghfirullah)

Firman Allah dalam surah yang lain pula:
"Orang-orang yang kafir dari Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) serta orang-orang musyrik, tidak akan terlepas (dari kepercayaan dan amalan masing-masing) sehingga datang kepada mereka bukti yang jelas nyata," (al-Bayyinah:1)

Allah memberikan mereka mukjizat (kepada Nabi sallahu 'alaihi wa sallam) sebagaimana yang mereka minta. Tapi akhirnya, perkara yang nyata masih mereka nafikan lantas mengatakan ianya tetap fantasi yang nyata.. heheh.. atau sihir yang nyata.

Firman Allah lagi dalam surah Yunus ayat 2:

"Tidaklah patut adanya pada manusia yang ingkar itu perasaan hairan disebabkan Kami telah wahyukan kepada seorang lelaki dari jenis mereka (Nabi Muhammad, dengan berfirman kepadanya): "Berilah amaran kepada umat manusia (yang ingkar, dengan balasan azab) dan sampaikanlah berita yang mengembirakan kepada orang-orang yang beriman, bahawa bagi mereka ada persediaan yang sungguh mulia di sisi Tuhan mereka (disebabkan amal-amal soleh yang mereka kerjakan). (Setelah Nabi Muhammad memberi amaran dan menyampaikan berita yang mengembirakan) berkatalah orang-orang kafir (yang merasa hairan) itu: "Sebenarnya (Al-Quran) ini ialah sihir yang terang nyata."

Perkara nyata dan fantasi ini boleh dikatakan bergantung kepada tahap pemikiran dan pengetahuan seseorang itu. Bagi ahli sains yang telah mengkaji molekul dan tahu bagaimana cara pembiakan sesuatu wabak, khabar mengatakan si polan bin si polan berjangkit penyakit Hepatitis misalnya dengan meminum air bekas pesakit mungkin menjadi fantasi, tetapi nyata bagi si pesakit yang baru dijangkit. Nyatanya itu kerana takutnya pada wabak oleh kerana kurangnya ilmu dalam bidang tertentu.

Jadi, aku masih memikirkan.. aku fantasi.. atau sudah real? :)

Ya Allah, aku yakin syurga Mu real, maka real kan lah iman ku terhadapMu..

Saturday, February 25, 2006

Cerita pasal Jani

Jani ialah adik aku yang bongsu. Ni aku update entry ni pun guna PC dia la ni. Terkial-kial aku mencari huruf sebab keyboard dia dah hilang semua huruf. Tinggal huruf Q,Y,F dan V ajer. Yang lain tu samada hilang terus, atau tinggal ujung-ujung je. So, kalau entry kali ni silap ejaan tu aku harap korang maafkanla aku ya. Hehe..

Huruf tu hilang bukan sebab dia rajin ambik bahan pencuci, gosok satu-satu butang tu sampai hilang. Mungkin sebab keyboard berjenama "Yakin" ni kurang kualitinya. Tapi aku yakin yang jadi begitu sebab dia rajin sangat mengadap komputer untuk berchatting.

Itulah Jani. Dan aku juga yakin bukan seorang Jani di dunia ni. Berpuluh-puluh. Beribu-ribu. Dan mungkin juga berjuta-juta. Sebab tu dia boleh mengadap PC sampai berjam-jam, berhari-hari, hanya kerana ada orang lain yang sama jani dengan Jani.

Jani bukan seorang adik yang tidak mendengar kata. Juga dia bukan adik yang sangat mendengar kata. Tapi dia ialah seorang adik yang sangat disayangi. Mungkin sebab dia adik bongsu. Tapi aku yakin alasannya ialah kerana dia adalah keluarga.

Malangnya Jani tidak sedar. Dia selalu rasa dirinya terpinggir. Dia selalu fikir kami tidak peduli apa yang dilakukannya. Mungkin dia merasakan pelik apabila kami cuba mengambil tahu tentang dirinya.

Macam yang aku kata tadi, bukan seorang jani di dunia ini. Tempohari aku jumpa seorang insan yang juga beradikkan jani. Jani dia lebih dahsyat lagi. Sengsara dia sebagai kulaan dapat aku rasakan. Betapa dia menyayangi janinya itu. Tumpah airmata ibunya saban hari menanti janinya pulang. Janinya enggan pulang hanya kerana merasakan keluarganya tidak peduli tentang dirinya.

Ya Allah, aku bersyukur Engkau melindungi Janiku. Ya Allah, berikan taufik dan hidayah pada Jani diseluruh dunia, amin.

Saturday, February 18, 2006

Ujian Lisan

Haa..yang ni bukan nak cerita pasal ujian lisan yang biasa kita kena waktu sekolah dulu. Atau oral test waktu MUET. Bukan langsung.. :)

Ini cerita pasal ujian yang Allah berikan kepada lisan-lisan yang menyebut sesuatu tanpa memikirkan akibatnya. Atau tanpa benar-benar memahami makna sesuatu perkataan / ayat yang disebut.

Sedar atau tidak, semakin kita mengucapkan sesuatu itu, sebanyak itulah juga kita diuji. Semakin hati kita mengatakan kita ikhlas tentang apa yang kita ucapkan itu, semakin tinggilah juga ujian yang mendatangi kita. Bukan setakat tahap asas, tapi mungkin levelnya akan naik ke moderate atau advance level.

Contohnya, kalau kita kata kita melakukan sesuatu itu kerana Allah, Allah akan uji kita dengan segala macam benda yang akan memporak-perandakan hati kita. Ikutlah, kadang-kadang Allah uji dengan harta. Kadang-kadang dengan pangkat. Kadang-kadang dengan keluarga. Keputusan yang kita ambil, belum tentu menunjukkan apa yang kita ucapkan di awal tadi.

Ujian ini akan jadi lebih mencabar jika nilai taqwa kita tinggi. Tapi ia akan jadi mudah, walaupun mencabar jika kita hampir denganNya. Mungkin orang akan lihat keputusan yang kita ambil itu sebagai tidak berasas. Atau mungkin orang akan kata: "engkau ni dah gila agaknya". Heheh.. itu ekstrim la.

Banyak lagi contoh-contoh ayat-ayat yang bahaya jika disebut seperti 'saya ikhlas', atau 'betul..sikit pun saya tak terasa'.. (jap lagi terasalah tu).. atau 'aiman tak kesahh..'.. heheh..

Hakikatnya, lisan kita kadang-kadang akan memakan diri kita sendiri. Ini baru ujian di dunia, belum di padang mahsyar tatkala lisan kita hanya mampu menjadi pendengar setia bicara kaki, tangan dan anggota badan lain.


Ya Allah, peliharalah lisan kami.

Wednesday, February 01, 2006

Diri sendiri dah susah, nak susahkan orang lain pulak!

Tadi waktu aku tengah bersiap nak keluar jenjalan, abg notice yang pintu belakang rumah kami terbuka, i.e. tak dikunci. Pintu tu memang tak pernah kami buka kuncinya, apatah lagi nak biar terlopong begitu.

Ingatan aku terus terbang pada dua orang pemuda bukan melayu yang kami lihat dua tiga hari lepas. Diorang naik motor. Sorang bawak motor, so, sorang lagi jadi pemboncengnya lah kan. Tapi dua-dua mata liar memandang kawasan rumah-rumah disitu. Waktu nampak mereka, aku tegur perlakuan diorang tu. Tanya aku pada abg, siapa diorang tu? Tak pernah tengok kat area ni. Pastu, liar pulak tu mata memandang. Nak kata cari rumah kenalan, tak macam cari rumah kawan pun.

Alhamdulillah, tuan rumah kami tu buat grill sebelah dalam. Jadi, agaknya, sesiapa pun yang berniat jahat tu, terbantut niatnya bila tengok grill berkunci bahagian dalam. Ya Allah, Engkau lindungilah kami dari niat jahat orang jahat.

Geram betul aku. Bagi aku, sesiapa saja yang buat kerja tu tentulah orang susah. Orang senang kalau nak mencuri pun, dia akan mencuri stail 1st class. Rompak RM2 juta dari pemindahan wang ATM ke, atau samun RM5 juta dari van yang bawak duit ATM ke. Paling-paling tidak pun pergi cari rumah besar yang ada kereta lima nam bijik. Bukan tuju rumah murah tak ada pagar. Nampak sangat tak ada benda berharga dalam rumah tu.

Kalau jadi niatnya itu, tak kira la kat mana-mana, menyusahkan orang betul. Dah lah diri sendiri susah, lagi nak menyusahkan orang. Hina dan keji sungguh perbuatan malaun tuh! Hisyhh! Geram sungguh aku!

Ya Allah, kau lindungilah kami dari perbuatan jahat orang-orang berhati busuk tu.

Heeeee!!!! Geramnyaa!!!

Monday, January 30, 2006


HAAAA!! Senyuumm..senyumm....
Ala la la laaa.... Kuci kuci kuuu!!

Hehe..
SeLamaT TaHun BarU MaaL HijRaH 1427!!
Semoga hadirnya tahun baru ini membawa sinar baru dalam hidup kita..secerah mentari pagi menyinari bumi Allah yang indah ini.

Apa azam tahun baru korang? :)

Aku berazam untuk jadi lebih baik lagi dari tahun lepas. Tapi secara specificnya, aku nak lebihkan membaca, faham dan mengamalkan ilmu baru aku tu. Tak kira la, baca buku ke, surat khabar ke, Internet ke, atau juga Al Qur'an. Banyak lagi ayat Allah yang aku belum faham maksudnya. Semoga Allah bantu aku dalam hal ni.

Lama dah aku tak update. Bukan malas, tapi Internet connection kurang baik. Nak salahkan orang tak boleh, sebab salah aku try waktu di pejabat! Heheh.. haa, yang ni aku update kat rumah. Tak baik kan, kalau tak amanah.. Nanti kena soal di akhirat nanti, siapa nak jawab? Eii..

OK, nak stop dulu. Nak ready for Maghrib. Solat, jom! :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...