Thursday, August 14, 2008

Cantik

Setiap wanita itu cantik. Namun, bukan pada paras rupanya sahaja. Ia meliputi akhlak dan budi bahasanya. Kalau dilihat pada wanita yang paling cantik rupanya, tapi menjerit-jerit dan cakap bahasa yang bukan-bukan -- orang mesti kata ada skru yang longgar. Tapi kalau dia lemah lembut dan cakap pun tersusun rapi, tapi pakaiannya selekeh dan kotor -- orang kata lembab pulak, cakap pun satu-satu keluar. Eheh!

Penampilan penting. Dalaman juga penting. Tapi yang aku paling percaya ialah apa yang ada di dalam akan menyerlah hingga ke luar. Ibarat macam lampu yang bercahaya. Walau ditutup dengan kain sutera, cahayanya pasti mencuri-curi keluar. Tapi apa yang ada diluar jarang nak meresapi sampai ke dalam. Macam cantiknya ukiran pada kotak jati, hanya terukir di bahagian luar. Bila di buka kotak, jati kosong di sebelah dalam.

Begitu juga dengan wanita. Kecantikan wanita yang lahir dari sifat dalamannya yang tulus ikhlas akan berpanjangan. Mampu untuk mengawal sifat luarannya. Walau cuba disorok keikhlasannya, murni hatinya pasti memikat siapa saja yang berurusan dengannya. Lebih kental bila disulami dengan keindahan iman. Jika dia biasa sabar pada cubaan yang sedikit, dengan iman -- dia pasti akan lebih tabah menghadapi ujian yang lebih besar. Tatkala dia berpeluang memulangkan paku buah keras, bibirnya yang sentiasa menyebut nama Ilahi akan terus diam sambil hatinya mengucap syukur. Hatinya akan lebih dekat pada Pencipta sambil menawan hati-hati lain dengan kecantikannya yang luar biasa.

Cantik bukan musuh wanita. Cantik itu sahabat baik mereka. Jangan salahkan wanita dalam hidup anda jika dia berusaha untuk jadi cantik. Tapi bimbinglah dia agar yang cantik itu lahir dari dalam hati dan dirinya. Agar bukan sekadar cantiknya ukiran jati.

Allah berfirman dalam surah arRahman ayat 70: "Dalam kedua-dua Syurga itu juga terdapat (teman-teman) yang baik akhlaknya, lagi cantik parasnya". Allah janjikan teman yang cantik buat ahli syurga. Jika kita wanita, kita akan dijadikan cantik untuk pasangan kita disyurga nanti. Tapi sebelum tu kenalah kita pastikan kita mampu mendaftar sebagai ahli syurga!

*Senyum*

Ya Allah, hiasilah diriku dengan akhlak terpuji. Amin.

1 comment:

Ibnu Ramadhan said...

salam kak iza comei...
wahh lame x jengah blog nie. best jgk bace entry nie..bersulam kate, mengukir citra wanita untuk insan2 yg bernama wanita, agar sama2 mengejar title 'solehah' dlm memaut cinta ALLAH :)

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...