Tuesday, August 29, 2006

{Satu}

"Apo tu Iza?" Kak Hae bertanya sambil cuba-cuba menjeling bungkusan yang aku pegang.

"Tak de apa-apa. Hadiah je nak bagi kat dia." Aku menjawab malu-malu kucing sambil mengunjurkan bungkusan plastik warna merah. Di dalamnya terdapat bungkusan kertas surat khabar lama, membalut isi sebenar barang yang ku katakan sebagai hadiah.

"Takkeh nok bui dale kortah surak kabor ni jah, Iza? " tanya Kak Hae lagi dalam slanga Kelantannya yang pekat. "Balut la molek sikek."

"Haa..tak la.. memang nak balut. Nanti la. Nak bagi dia esok. Dia nak balik kampung esok pagi. Sampai lepas raya." Aku menerangkan dengan panjang lebar.

"Eh, ini ayat ni.. kalu oghe nok ajok nikoh jo bui ayat serupo ni! Haa.. Iza nok nikoh denge dio ko?" Kak Hae dah mula senyum-senyum.

"Tak de la Kak Hae! Saja je.. dah ayat tu best." Aku cuba menepis. Dalam hati Allah je yang tau betapa malunya aku time tu. Dah le bilik kecil yang dikongsi lapan orang tu (ha'ah, 8 kau!) waktu tu tiba-tiba penuh je dengan penghuninya. Semua orang ada dalam bilik petang tu.

Kak Hae gelak-gelak kecil. Alaa, kalau betul pun apa salahnya, sambung Kak Hae lagi. Aku sengih-sengih sambil menyambung 'takde la..takde la' aku tu.

Mozek kecil berukuran 4X4 inci berlatar belakangkan gambar rumah kampung yang damai menjadi hadiah aku pada si dia. Di arasnya tertulis kaligrafi arab kalimah Allah dari surah arRum ayat 21. Entah macamana aku terfikir nak bagi mende tu, tetiba je time lalu kat bookshop depan tangga nak naik ke moot court tu, ada brothers bukak booth nyonteng mende alah tu. Aku ajak Dd singgah. Tengok-tengok teringin pulak. Heh..

Balik bilik cari ayat yang best. Bukak tafsir terus ke situ. Macam disuruh-suruh pulak baca ayat yang satu tu. Heh.. *malu*

"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir". (arRum:21)



{Dua}

Esoknya, lepas subuh aku turun dari Kolej. Berjalan dalam sejuk pagi menuju ke post guard seorang diri hari Ahad memang bukan kebiasaan aku. Tapi hari itu aku perlu membuat sesuatu supaya ianya menjadi titik permulaan.

Dia duduk di salah sebuah bangku batu di tepi jalan menuju ke KC mengadap gelanggang tenis. Dari jauh dia memandang saja aku berjalan menuju ke arahnya.

Sesampai saja aku disisinya dia berdiri.

"Saya nak balik dah pagi ni." Katanya.

"OK. Ni Iza ada bawak hadiah." Kataku pula sambil menghulurkan 2 bungkusan berbalut. Satu berbalut kertas, dan satu lagi berbalut kain biru bercorak bunga tabur berwarna putih.

"Apa ni?" tanyanya kehairanan.

"Hadiah." Jawab aku ringkas. Sambil sengih-sengih. Heh!

Dia membuka balutan kain itu. "Qur'an!" katanya sedikit menjerit. "Nak buat apa?" tanya dia lagi. Aku tersengih cuma. Seperti memahami isi hati aku, dia tersenyum. "OK, nanti saya pulangkan."

Aku tersenyum memandangnya.

Dia tersenyum memandang aku.

Tapi tak ada bunga-bunga harum jatuh di sekeliling kami atau lagu muzikal tiba-tiba berkumandang. Yang ada hanya dedaunan yang dibasahi embun pagi dan sekali-sekala menderu bunyi bas mini di jalan utama depan kampus yang berdiri megah.

Si dia bergerak meninggalkan aku sambil sempat berpesan agar menjaga diri baik-baik. Salam ku kirimkan buat kekanda dan bondanya yang berada di kampung tujuannya. Aku berjalan perlahan mendaki jalan yang berbukit untuk kembali ke bilik. Hati kecilku bertanya diriku sendiri: "senaskhah Qur'an kecil dan ayat 21 daripada surah arRum, aku melamarnya kah?" Kakiku terus melangkah perlahan mendaki anak tangga ke bilik 205 AC.



{Tiga}

Dua hari lagi 31 Ogos 2006. Genap 49 tahun kemerdekaan Malaysia. Genap juga 10 tahun perkahwinan aku dengan si dia. Alhamdulillah! :) Quran kecil berbalut kain biru bunga putih dulu telah kembali kepada aku secepat aku memberikannya kepada Abg.

Dan selepas 10 tahun ini aku berdoa agar Allah mengukuhkan lagi ikatan mawaddah wa rahmah kami sebagai suami isteri yang sah. Dan agar Allah mengurniakan kepada kami zuriat soleh yang kami tunggu selama ini, amin ya rabbal a'lamin.

Ya Allah jadikan kami suami isteri yang kasih mengasihi keranaMu, yang membimbing pasangan kami ke arah redhaMu, yang mengikuti suruhanMu, yang menjauhi laranganMu. Ya Allah, kekalkan kami di dalam kasih sayangMu, hingga abadi di dalam syurgaMu.

Tuesday, August 22, 2006

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

[1] Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Mekah);

[2] Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai;

[3] Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.

Monday, August 07, 2006

Jim.Ha.Dal.

Tiga huruf Arab ni bila digabungkan besar maknanya.
Jim.Ha.Dal. Jihad.


Anak muda kita sudah ramai yang lebih Indonesia daripada penyanyi-penyanyi Indonesia itu, yang agamanya juga kabur. Ada yang Muslim, bercampur dengan yang tidak. Bangsanya satu, Indonesia. Maka agamanya juga agak kabur disitu jika tidak diperiksa dengan teliti. Pantas, lagu-lagunya juga ada yang berunsur bukan muslim, gitu pak.

Anak muda kita juga sudah ramai yang lebih 'Omputeh' dari orang barat itu sendiri. Bercakap Melayu pelat. Bertutur Inggeris petah sekali. Maki hamunnya juga dalam bahasa Inggeris. Makan tengaharinya Chicken Chop jika tidak ada Spaghetti. Pakaiannya, usah buat tidak mengerti, kau lihat fenomena ini setiap hari.

Namun, bila berita umat Islam diserang Israel laknatullah itu saban hari ditayangkan dikaca tv, anak-anak muda ini semakin resah. Saban hari juga mereka mula membenci Israel dan pakatan jahat mereka. Bibir mereka mengucap benci dan hati mereka memohon pada Allah agar diselamatkan umat Islam di bumi Lubnan dan Palestin.

Inilah yang dinamakan ruh jihad.

Berpakaian tak cukup kain pun ada ruh jihad?

Ya. Benar, jika hatimu membenci kezaliman Israel kerana Allah.
Jika hatimu merintih kesedihan melihatkan saudaramu (yang langsung engkau tidak kenal) dibedil peluru.

Inilah yang dinamakan ruh jihad.

Sebagai umat Muhammad yang lahirnya diazankan, dan setiap hari mendengar laungan suci itu, hati anak-anak muda ini sebenarnya masih suci dengan Kalimah Allah. Hati mereka masih meronta-ronta untuk membantu sesama Muslim. Malangnya, ruh jihad ini tidak diberikan nutrisi yang cukup. Lantas, walau bibir mengucap benci, tangan masih menghulur wang kepada Israel untuk membiayai peperangan nan zalim itu.

Anak-anak muda umat Muhammad!
Hidupkan semangat jihad kamu bermula dengan makan minum kamu. Usah kunjungi restoran makanan segera yang melaburkan wang untuk Israel itu. Usah beli barangan semata-mata kerana jenama. Periksa dulu untuk siapa kita laburkan wang kita itu. Kalau perlu, telan air liur kerana 'kempunan' tak dapat membeli barangan mereka. Heh.. itu lah yang aku buat.

Pesan Nabi sallallahu 'alaihi wa salam: kalau melihat kemungkaran itu berlaku, ubahlah (halanglah) dengan tangan (dengan kuasa), jika tidak mampu, ubahlah dengan mulut (dengan perbincangan, percakapan), dan jika tidak mampu juga, ubahlah dengan hati (berdoa), dan itulah selemah-lemah iman.

Aku melihat kerap kali kita mengambil pilihan terakhir yang diberi Rasul. Apa kata kali ini kita mengambil pilihan pertama? Jom kita ubah kemungkaran ini dengan kuasa kita! *Semoga iman kita kita semakin mantap!*

Ubahlah dengan kuasa membeli yang ada pada kita. Jangan beli barangan mereka. Ingat lagi tak bagaimana mereka mengadakan sekatan ekonomi pada Rasul dan para sahabat sewaktu Islam mula hendak berkembang? Selama beberapa tahun umat Islam kebuluran kerana mereka diboikot, tidak diizinkan membeli atau menjual. Sekatan ekonomi pada umat Islam di Afghanistan, di Iraq, dan entah kat mana-mana lagi yang kita tak tahu.

Apa salahnya jika sedikit kita mencontohi mereka untuk kepentingan umat Islam juga? Berikan mereka a dose of their own medicine. Mungkin kita sedikit, maksud aku yang betul-betul berjihad menentang ekonomi yahudi ini. Namun, ianya tetap jihad di sisi Allah.. jika betul niatnya. Dan aku yakin Allah bersama kita.

Allah mengajak kita dalam firmanNya pada surah alHajj ayat 78:
"Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya..."

Sesungguhnya, jihad yang terbaik pastilah jihad bagi menegakkan agama suci Islam. Tunggu apa lagi?


Ya Allah, kuatkan semangat jihad kami!

Friday, August 04, 2006

Jika Benar Cinta Itu Buta, Butakan Mataku..



Kalau korang pernah dengar tajuk entry aku kali ni, mesti korang dapat relatekan tajuk ni dengan sebaris lagu tak lama dulu. Tajuk lagu tu apa aku pun tak tau, tapi sebaris bait nya begitulah. Cuma bukan "butakan" tapi "butakah".

Aku ingin sekali Ya Allah, mencintaiMu seluruh jiwaku. Maka jika benar cinta itu buta, butakanlah mataku, agar apa yang aku lihat hanyalah keesaanMu. Agar apa yang aku rasa hanyalah kasih sayang Mu yang Maha Agung. Agar apa yang aku fikirkan hanya kerinduanku terhadap kewujudanMu di dunia fana ini.

Ini sambungan keikhlasan yang aku bincangkan sebelum ni. Sejauh mana kita ikhlas dalam beribadah kepada Allah? Adakah hanya kerana menunaikan tanggungjawab sebagai umat Islam, atau takut dipandang orang, atau sememangnya kita rindu untuk kembali menemui Allah yang Esa?

Ramai yang berpendapat, untuk apa ibadah habis-habisan hari ini, kalau esok terjun ke lembah maksiat. Bukan aku yang cakap tu, tapi seorang hos yang mengemukakan pendapat kawannya dalam suatu rancangan MHI. Tapi ayat dia lebih kurang gini: buat apa buat baik hari ini kalau esok lusa buat jahat.

Ustaz jemputan dari UIA jawab: mesti ada something wrong somewhere pada keikhlasannya semasa berbuat baik (ibadah) tu. Jadinya, kebaikannya itu tak dapat nak diteruskan oleh kerana ada niat lain pada urusan baiknya itu.

Ramai yang begitu. Kita tolong orang hari ini dengan harapan kita akan ditolong pula oleh orang lain di waktu lain. Buktinya? Alaa.. kan biasa orang sebut, hari ni hari kau.. esok lusa hari aku pulak. Bila aku susah, kau tolong la aku.

Bila orang lain tak tolong kita waktu kita susah, nah, disitu pintu kejahatan mula terbuka. Kita rasa marah pada orang lain. Kita kecewa. Kita rasa tidak dipedulikan. Kita rasa tidak dihargai. Ya Allah, lemahnya kita!

Sebab itulah, bagi aku, jika benar cinta itu buta, Ya Allah, Kau butakanlah mataku dari melihat selain dari keEsaan dan keAgungan rahmatMu.

----------------------------
Doa aku kali ini:

Ya Allah YaTuhanku,

Aku hambaMu yang sangat kerdil. Tiada upaya menghalang kesakitan dan kesedihan diri sendiri apatah lagi kesakitan dan kesedihan hambaMu yang lain. Yang dapat aku curahkan hanyalah doaku, agar Engkau, Ya Allah, Tuhan sekalian alam, dapat melemahkan musuh-musuh Islam, dan selamatkanlah saudara-saudaraku dibumi Palestin dan Lubnan, serta seluruh umat Islam dibumi ini.

Wa sallallahu 'alaihi wa salam.

Amin, ya Rabbal a'lamin.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...