Tuesday, May 26, 2009

Nona Manis

Korang pernah makan tak buah nona ni? Best! Aku pun baru je dapat rasa. Atas jasa baik Abang Man dan Kak Maliah jugak. Pokok nona kat rumah diorang berbuah. Belum masak, tapi boleh peram. Dia petik bagi aku bawak balik. Suruh diperam dalam beras. Hmm...memang berbaloi! Sedaapp!! Manis macam madu. Teksturnya macam durian belanda. Tapi version kecik comei.. eheh..

Buah nona ni kalau nama sainsnya dikenali sebagai 'Annona squamosa'. Ada dua jenis, putih dan merah. Yang aku dapat tu putih. Pokok dia rendah je, sebab buahnya pun kecik dan lembut bila masak..jadi kalau Allah jadikan pokok dia tinggi, hancur buah tu kalau jatuh. Kan..kan..kan..

Sebenarnya banyak lagi buah-buahan tempatan yang aku belum rasa. Nak-nak yang jenis eksotik kat tengah-tengah hutan tu. Kalau belah Muadzam tu, ada musimnya, orang-orang asli tempatan akan keluar bawak buah-buah hutan yang boleh tahan sedap rasa dia. Tapi kalau nak cari kat bandar..hmm, tak dapek den nak nolongnya do..

Itu baru buah tempatan. Kalau buah internasional laaagi la banyak yang aku belum makan. Setakat epal, oren, stroberi, tamar, tin, zaitun tu biasala. Tapi buah-buah macam buah peanut butter, buah banana passion, buah armadillo, dan entah apa-apa nama lagi tu, wallahu a'lam bila nak dapat merasa. Banyak tau jenis buah-buah dalam dunia ni.

Tapi ye la, di dunia ni semua tu sementara. Kalau kita buat amal soleh, jauh dari maksiat, janji Allah dalam syurga jauh lebih hebat. Bukan setakat makan-makan buah-buahan yang tak terfikir dek akal kita sekarang, tapi tak payah nak cari atau pergi beli. Fikir je dapat! fikir je dapat! Masya Allah, hebatnya! Dah tu, kalau siapa yang suka golek-golek tu, boleh makan sambil baring..takde sapa nak marah! hehe.. FirmanNya dalam surah Saad (Sod) ayat 51 bermaksud:
"(Mereka akan bersukaria) dalam Syurga itu sambil berbaring (di atas pelamin); mereka meminta di situ buah-buahan dan minuman yang berbagai jenisnya dan rasa kelazatannya. "
Ya Allah, jadikan kami ahli syurgaMu! amin!

Wednesday, May 06, 2009


Halfway Through

Kebanyakan wanita lain peringkat umur aku ni, mungkin senario ceritanya begini:

Wanita umur aku (WUA): Assalamu`alaikum, apa khabar kawan?
Kawan : Wa'alaikum salam.. Baik. Eh, lawa handbag (sambil pegang-pegang handbag baru beli kat uptown). Beli mana?
WUA: Aah, handbag ni.. beli kat Pavillion semalam. Ada jumbo sale!
Kawan: You diet, eh? Slim sikit la nampak..
WUA: Haah, I try program yang Raja Azura iklankan tuh..OK jugak. Last time i check kat doktor, ideal body weight I ok. Itupun lepas I jumpa consultant slimming program tuh la..

Aduuhh.. macam bagus je skrip kat atas ni. Yer lah, itu orang sebaya aku. Aku plak lain citernya.. gini:
Aku: Assalamu`alaikum, apa khabar kawan?

Kawan : Wa'alaikum salam.. Baik. Eh, lawa eye bag (sambil tunjuk-tunjuk eye bag aku yang baru jadik semalam). Beli mana?

WUA: Aah, eye bag ni.. beli kat Proquest semalam. Ada midnight sale! Pukul 4 pagi aku tak tidur lagi dok try nak mengabihkan paper tuh. Tak siap jugak! Keh..keh..keh..(ketawa control macho)

Kawan: You diet, eh? Slim sikit la nampak..

WUA: Yer lah tu, aku sekarang ni entah mana siang, entah mana malam. Makan pagi pukul 2 petang, makan tengahari pukul 10 malam. Sib baik laki aku understanding orangnya. Minggu lepas pi check kat doktor blood pressure aku naik 140 kau! Kalau kat spital gomen tuh lama dah kena tahan kat wad. Itupun pasal tak dapat-dapat jumpa contact nak di interbiu. Prof. aku dah dok jeling-jeling.. Aduhaii..


Ahahahahaaa.... eh, kalau ada yang berminat nak sambung PhD jangan demoralized pulak baca cerita aku ni, ek! All the best to all!

Allah ingatkan kita nanti disana, kalau niatnya betul kita akan dapat ganjarannya. Dalam surah Al-Insaan ayat 22, maksud firman Allah:

"(Serta dikatakan kepada mereka): Sesungguhnya (segala pemberian) ini adalah untuk kamu sebagai balasan dan adalah usaha amal kamu (di dunia dahulu) diterima dan dihargai (oleh Allah)".

Ya Allah, taqabbal minna!

Monday, May 04, 2009


Makcik oh Makcik

Alhamdulillah, hari ni hari ulangtahun aku yang ke 34. Wahh.. banyak tul nombor tuh. Kalau dicampur jadi tujuh. Banyaklah kiranya! Kalau ikut kata Zam, aku ni kategori remaja purba. Eheh..

Maka dengan rasminya hari ni aku kena mula biasakan diri aku untuk menerima panggilan bagi remaja-remaja purba ni la kot. Dua tiga bulan lepas pun dah mula, tapi aku tak reti-reti bahasa orang tu panggil aku. Eheh..

Semalam, singgah nak beli air. Turun-turun je kereta budak jaga gerai tu tanya, "Nak air apa makcik?". Minggu lepas kat masjid lepas solat Maghrib, seorang budak perempuan tanya, "Makcik, kat mana tempat wudhu' perempuan?". Bulan lepas, cashier kat Giant tanya aku, "Yang tu kira sekali ke Makcik?" sambil tangan dia tunjuk barang-barang aku yang letaknya agak jauh sikit dari group yang memula tuh.

Lepas tu, generasi-generasi baya Mak aku pun dah mula panggil aku 'adik'. Dan membahasakan diri mereka 'kakak' instead of 'makcik'. Hehe..aku dah berevolusi dengan nyata. Tahniah, Iza! :)

Anyway, aku sejak dari dulu suka bila meningkat umur. Sekarang lebih-lebih lagi. Sebab aku selalu bayangkan aku mati waktu lebih muda dari sekarang. Mau tidaknya, waktu tadika dah sebulan duduk di wad hospital. Lepas tu dua minggu sekali ada appointment dengan doktor di Hospital Universiti. Sampailah aku berpindah ke Kuantan, baru stop jumpa doktor. Korang bayangkanlah betapa lamanya dok ulang pi hospital tu. Tapi tak bermakna sakit aku hilang 'begitu saja..oohh' (nyanyi macam lagu Gardenia tu..).

Jadi dengan bertambahnya umur aku, bermaksud Allah kurniakan aku kesempatan lagi hidup di dunia fana ni. Alhamdulillah! Ada la jugak masa untuk aku balas sikit sebanyak kasih sayang Mak Ayah aku jaga aku time aku sakit. Ada jugak masa Allah kurniakan untuk aku rasa kasih sayang seorang suami. Ada jugak masa untuk aku rasa jadi hamba Allah yang kudus depan rumah suciNya itu. Alhamdulillah! Tak terucap syukur yang sebenarnya.. hanya Allah yang tahu macamana aku rasa dengan segala nikmat kurniaan Nya itu.

Juga kat sini aku nak ucap terima kasih buat semua yang ingat dan sudi mendoakan rahmat Allah buat aku. Terima kasih semua, hanya Allah yang balas doa kalian.

Makcik dah beremosi ni. Tak baik untuk penulisan.. heheh.. so, makcik kena stop dulu. Nanti tak cool plak membebel tengah-tengah hari ni.



"Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)" (maksud surah Al-Ahqaaf ayat 15).

Ya Allah, terimalah doaku ini, sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengasihani.Amin ya Rabb!

Thursday, April 30, 2009

Alhamdulillah!



Selesai lagi satu cerita. Training kali ni best sebab Alhamdulillah aku dapat gain even more confidence dan belajar banyak dari semua yang berlaku. Harapannya semoga apa yang dikongsikan dapat dimanfaatkan bersama. Thank you CPS for inviting me. Credit to Brother Titov sebab introduce aku kat CPS. Jazakallahu khair!

Ya Allah, jadikan aku asbab untuk orang lain mendapat hidayah! Amin..


Wednesday, April 01, 2009

Antara copy dan paste



Hari ni baru siap tugas aku untuk memeriksa semua tugasan para pelajar Pakej Kepimpinan dan Pengurusan. Alhamdulillah, habis satu lagi bab satu semester ni. Tapi, tak seperti biasa, kali ni lain sikit. Selalunya aku berpuas hati dengan kerja-kerja para pelajar ni. Kali ni kureng sikit.

Kalau diikutkan, aku tak boleh pegang mana-mana kelas semester ni. Bukan sebab aku sibuk dengan tesis yang tak mula-mula lagi nih.. (isk!) tapi sebab aku tak hadir sesi TOT atau briefing tu hari. Itu antara syarat utama nak jadi trainer untuk pakej kokurikulum di bawah CCAC ni. Tapi Allah nak beri rezeki pada aku, maka..Alhamdulillah, dapat juga satu seksyen. Itupun sebab trainer yang sedia ada tarik diri di saat akhir. Maka aku pun dipanggil untuk mengisi kekosongan tu. aku suka la.. eheh!

Apa yang nak aku kongsikan ialah mengenai tugasan diorang ni lah. Dah lama aku tak suruh pelajar buat tugasan dengan mencari rujukan di perpustakaan atau Internet. Sebabnya aku tak mahu mereka hanya copy paste je. Oleh kerana dah lama aku tak suruh, jadi aku lupa reason tu. Eheh.. apa lah aku ni!

Hasilnya, dapatlah aku 20 naskah tugasan siap bertaip yang 90% di copy paste dari Internet. Baguih! Mula-mula aku tak perasan. Tapi bila satu-satu kerja tak profesional ni mula menunjukkan kelemahan-kelemahannya, aku mula curiga. Lepas tu Allah tunjuk memang betul sangkaan aku sebagai seorang guru.

Aku tak nak kongsikan apa ciri-ciri yang sangat jelas dalam kerja-kerja copy paste ni. Bukan kedekut.. cuma tak nak kalau ada pelajar yang terjumpa tips ni, nanti dia akan gunakan untuk 'bersih'kan kerja copy pastenya. Biarlah pensyarahnya jumpa kesalahan-kesalahan dia dan memberikan penalti yang setimpal.

Bukan sebab aku nak balas dendam. Tapi sebab rasa rugi bila masa yang sepatutnya dihabiskan mendalami ilmu-ilmu baru dihabiskan dengan mencedok hasil kerja orang lain tanpa mengambil ilmu darinya. Ilmu curi ni tak lekat lama dalam kepala kita..cepat je hilangnya nanti. Walaupun tak semua yang buat begitu, tapi majoritinya menyebabkan aku rasa kesal.

Bukan tak diajar tentang plagiat. Bukan tak tahu hukum mencuri. Bukan tak tahu kesannya nanti. Astaghfirullah. Bimbang takut-takut kalau copy paste nya itu nanti bukan setakat pada kerja-kerja sekolah atau tugasan akademik. Bimbang nanti ia menyerap dalam ibadah pada Allah. Maklumlah, apa yang biasa di buat itu kan nanti jadi darah daging. Umpama munafik yang berbohong bila berbicara. Perlakuannya tidak sama dengan perkataannya. Na'uzubillah!

Pesan Allah dalam surah anNisa' ayat 142 yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap agama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya) dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman) dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang)".

Bukan aku nak kata para pelajar aku tu munafik. Tapi bimbang kalau diteruskan dalam kehidupan mereka, keikhlasan tu hilang bersama kesibukan mengejar tuntutan dunia.

Antara copy dan paste hadir iman kita. Kalau iman tinggi sikit, kita akan copy dan paste secara berhemah. Mengambil hanya ilmunya, tetapi caranya disuaikan dengan nilai akhlak yang diterapkan dari kecil. Kalau iman halimunan disitu, kita akan copy dan paste membuta tuli. Mengambil yang zahir lalu mengenepikan zat yang berkhasiat.

Wallahu a'lam.

Ya Allah, lindungi kami dari sifat munafik. Amin ya Rabb!

Saturday, March 28, 2009

Dear Guest,


Please be informed that this is a no-polytheism world. If you like to change your planet, please contact Reception at extention 7.


Thank you.





Hehee.. Kalo lah ada notis macam ni, ramai kot nak tukar planet. Maklumle, nak puaskan hati masing-masing. Kadang-kadang tu sebab saja nak beralih angin. Masalahnya bukan kata notis tu je yang tak ada, tapi ada notis yang lagi clear yang melarang polythiesm.



Allah mengingatkan kita dalam surah Al-A'raf ayat 37 yang bermaksud:

"Maka tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang berdusta terhadap Allah atau yang mendustakan ayat-ayatNya. Orang-orang itu akan mendapat bahagian mereka (di dunia) dari apa yang telah tersurat (bagi mereka), hingga apabila datang kepada mereka utusan-utusan Kami (malaikat) yang mengambil nyawa mereka, bertanyalah malaikat itu (kepada mereka): Manakah (makhluk-makhluk dan benda-benda) yang kamu sembah selain Allah? Mereka menjawab: Semuanya itu telah hilang lenyap daripada kami dan mereka pula menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, bahawa mereka adalah orang-orang yang ingkar".



Jelas kat sini Allah larang kita menyembah selain dariNya. Jelas di dalam Al-Qur'an, Allah suruh kita membenarkan ayat-ayat Allah yang disampaikan oleh nabiNya. Larangan ni datang dalam Al-Qur'an. Al-Qur'an tu semua orang Islam faham bila baca jadi ibadah. Mesejnya pun semua orang Islam faham yang ibadah tu adalah menyembah Allah satu-satunya. Al-Qur'an tu bekasnya. Ayat Allah yang berbentuk peringatan tu mesejnya.



Bekas dan mesejnya tak bertentangan. Bekas cerita tentang ibadah, mesejnya pun sama. Bukan macam dalam gambar kat atas ni ha. Bekas dan mesej bawa maksud yang bertentangan sama sekali. Bekas suruh merokok, tapi mesej kata jangan. Sebijik macam mesej kat kotak rokok. Bekas suruh merokok (tambah-tambah bila ada rokok dalam kotak tu! pergh.. ) tapi mesej pada kotak beri amaran kata jangan. Agaknya terlalu banyak merokok buat orang keliru apa yang selari dan apa yang bertentangan kot.. ermm..



Tapi bukan pasal rokok aku nak cerita.

Atau kotak rokok.

Atau bekas abu rokok.



Aku nak cerita pasal kita ni, manusia.

Selalu kita jadi macam gambar tu.

Bertentangan antara bekas dan mesej.

Bertentangan antara akal dan hati.



Akal nak suruh kita jadi rajin, tapi hati pujuk kita jadi malas. Kita pun malaaas.. Akal nak suruh kita berjimat-cermat, tapi hati pujuk kita berbelanja lebih sikit..ala, sekali sekala! Akal nak suruh kita bangun malam tunaikan tahajjud, tapi hati kata takpe.. dah banyak solat sunat lain yang kita buat. Akal nak suruh kita betul-betul esa kan Allah, tapi hati kita rasa tak sedap kalau sehari tak tengok ramalan bintang mengikut tarikh lahir.

Allahu akbar!

Banyak lagi sebenarnya yang buat kita jadi macam bekas abuk rokok tu dengan kertas bulat di dalamnya tu. Mau tak mau je kita fikirkan nya. Dan yang paling penting, ambil tindakan untuk ubah diri kita.

Ya Allah, jauhkan kami dari menjadi hambaMu yang tertipu! Amin ya Rabb!

Friday, March 13, 2009



Jobs Opportunity in Canada


Salah seorang dari adik aku sibuk nak kerja kat Kanada. Selang empat lima hari telefon aku minta pendapat dan minta tolong carikan peluang kerja kat sana. Mama dah susah hati. Risau sungguh dia bila anak-anak dia nak duduk jauh dari dia. Tapi paling dia susah hati sebab adik aku yang seorang ni selalu sakit. Mama bimbang tak ada orang nak tengok-tengokkan dia. Mana tidaknya, duduk di Kuala Lumpur pun seminggu sekali mesti demam. Waktu aku baru pindah ke sini dulu, kerap dia datang bermalam waktu demamnya tu.
Tapi kali ni nampaknya dia sungguh-sungguh. Dia bosan dengan kerjanya sekarang. Aku pun hantar email ni kat dia.
Assalamu`alaikum,

Dear Musalli, and adik-adik angah yang lain..

Angah nak advice mu pasal mu nak kerja kat Canada tu kan..
Sebelum buat apa-apa, angah advice mu buat dulu mende-mende ni:

1. Solat taubat minta Allah ampun semua dosa dan bersihkan hati.
2. Solat Hajat minta Allah tunjuk peluang kerja yang terbaik.
3. Solat istikharah minta Allah tunjukkan yang terbaik buat mu.
4. Doa banyak-banyak.

Lepas tu baru cari kerja tu. Insya Allah dapat yang terbaik dan lumayan!
Kalau malas buat semua tu, mu pergi mana-mana pun nanti stress kerja tu tetap ada. Ataupun kalau tak berkat, duit banyak pun rasa hidup sempit.

Orang yang dapat gaji berkat ni hidup dia rasa lapang. Tak sesak dada. Rasa banyak masa untuk apa-apa pun, terutamanya ibadah pada Allah.
Kalau gaji tak berkat, macam-macam cara Allah boleh buat untuk tarik balik gaji tu, sikit..sikit... kita pun jadi fenin! Haiyo..

Itu baru kat dunia, belum lagi dalam kubur..
Belum lagi kat padang mahsyar..
Belum lagi dalam neraka.. Allaaahh!! Na’uzubillah!

Jadi, baik kita buat apa yang Allah suka. Bukan buat apa yang kita suka. Sebab kita hanyalah hamba.
Pehe?

Tak tau la dia nak terima ke tidak. Tapi apa pun yang dia nak buat, aku harap sangat dia buat dulu semua yang aku syorkan tu. Semoga Allah buka pintu hatinya. Aku mohon pada Mu, Ya Allah, Kau bukalah pintu hatinya untuk berdoa kepada Mu. Firman Allah dalam surah Ghafir ayat 60:
"Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk Neraka Jahanam dalam keadaan hina".
Ya Allah, Kau jadikan lah kami dikalangan hambaMu yang berdoa hanya kepadaMu, amin Ya Rabb!




Sunday, March 01, 2009

Belum Tentu Kita Selamat...
Kita selalunya jarang nak berubah.. atau melakukan sesuatu yang lain dari kebiasaan.. atau melakukan sesuatu yang perlukan usaha yang banyak.. bila kita rasa selesa. Yer lah, dah selesakan, takkan nak ubah keadaan tu. Contohnya kalau kita dah best melingkar depan TV sambil tangan sekali sekala menyeluk mangkuk ambil bertih jagung yang beli kat pasar malam petang tadi, agak susah kita nak bangun capai remote TV yang jauhnya sehasta dari hujung jari kita. Maka kita pun berteriak memanggil makhluk Allah lain yang ada untuk jadi mangsa kita ambilkan remote TV. Eheh.. Ataupun kalau kita dah syok sangat baca novel hatta bila telefon yang dua depa dari tempat duduk kita berbunyi, kita biarkan orang lain yang duduk di bilik sebelah mai angkat. Alih-alih tengok call tu untuk kita.

Bukan tak nak buat. Tapi terlalu selesa keadaan kita waktu tu. Nak diubah sayang. Tapi tak diubah keadaan memerlukan perubahan. Biar orang lain buat. Biarkan. Seolah-olah perubahan tu takkan ada kena-mengena dengan kita. Seolah-olah kita takkan dapat untung dari perubahan yang bakal berlaku tu.
Itulah kita! Selalu macam tu! Hinggakan, kadang-kadang perkara aqidah pun kita biarkan orang lain juga yang buat perubahan. Kita agaknya selesa sangat dengan level aqidah kita hinggakan tak nampak perubahan yang perlu dibuat!

*aik..marah nampak..ko marah ke Iza?*

Marah juga! Marah pada diri aku terutamanya! Aku terlalu selesa dengan iman yang Allah bagi ni, sampai aku lupa kewajipan berdakwah. Aku terlalu asyik dengan islah, sampai aku tak sedar yang nak bawa aku masuk syurga Allah bukan banyaknya ibadah dan islah, tapi rahmat Allah! Macamana aku nak dapat rahmat Allah secara total kalau aku lupa kewajipan aku yang satu ni? Astaghfirullah!
*ala, ko kan dah Islam Iza.. mesti selamat punya lah.. paling lama pun kalau ke neraka kadar jahat engko.. lepas tu, masuk la syurgaa..*

Mana ada selamat? Siapa boleh jamin? Nabi kata kalau mati dalam Islam, betullah akhirnya ke syurga juga. Tapi siapa boleh jamin aku mati dalam Islam? Ada orang boleh jamin ke? Ya Allah! Kau ingat tak apa Allah kata dalam surah Yunus ayat 99? Allah terangkan pada Nabi kita yang kalau Dia nak, semua orang akan dijadikan Muslim. Tapi tak.. Allah jadikan ada yang beriman dan ada yang tidak.

"...jika Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi..."(Yunus:99)

*abih tuu..?*

Allah kan Maha Adil. Walaupun ada yang dijadikan tak beriman, tapi mereka akan disampaikan mesej Islam tu. Allah dah janji. Kalau mesej tu tak sampai mereka takkan diseksa di neraka. Ingat Allah kata apa dalam surah Yunus ayat 47? Maksudnya:

"Dan bagi tiap-tiap satu umat ada seorang Rasul (yang diutuskan kepadanya); setelah datang Rasul masing-masing (menerangkan apa yang mesti diterangkan) maka hukuman pun dijalankan di antara mereka dengan adil dan mereka tetap tidak dianiaya".

*tak faham laa...*

Maksudnya, kalau orang bukan Islam pun Allah beri peluang untuk mengenaliNya, maknanya Allah tu adil sangat. Ada peluang untuk ke syurga Allah, dan kalau ingar terus ke nerakaNya. Bagi umat yang dilahirkan Islam pun begitulah.. tiada jaminan untuk terus ke syurga. Tapi atas usaha mereka untuk maintain beriman dan tingkatkan level iman tu. Kalau ingkar, na'uzubillah, jatuh ke neraka!

Jadi kenalah usaha! Tak boleh selesa dah.. tak boleh lalai.. tak boleh lagha.. tak boleh biarkan saja ikut apa nak jadi. Kita kena usaha keras untuk tambah iman dan taqwa pada Allah! Tengok lagi apa Allah pesan kat kita dalam surah alBaqarah ayat 195:

"...dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya".


*erm..ok.. aku nak usaha tambah iman dan taqwa..*

Baguslah. Bukan engkau saja, aku juga. Dan semua umat Islam yang lainnya. Ingat, jangan terlalu selesa! Jangan terlalu selesa.. ok?


Ya Allah, kurniakan aku husnul khatimah! Amin, Ya Rabb! :((

Tuesday, February 10, 2009

Pandai vs. Kaya




Ramai orang nak jadi pandai. Macam-macam orang buat supaya jadi pandai. Ada yang makan ubat. Ada yang belajar lebih sikit. Ada yang baca buku motivasi. Kata mereka, bila pandai boleh dapat kerja bagus. bila dapat kerja bagus, boleh jadi kaya-raya. Hmm..

Ibubapa kebanyakannya ada persepsi begini. Kalau anak mereka tak menunjukkan prestasi cemerlang di sekolah, mereka dah mula risau dan buat berbagai andaian tentang masa depan budak tu. Kalau anak mereka nampak cerdas, maka mereka senang hati dan kurang sikit risau tentang apa nak jadi nanti. Harapan dan doa si ibu agar anak itu dapat kerja yang baik, supaya boleh menampung kehidupan sendiri setidak-tidaknya. Doa si ayah pula agar anak itu selamat dalam kerjanya, agar lapang hatinya bila tiba masa nak meninggalkan anaknya di dunia nanti.

Tapi hakikatnya bukan kepandaian yang menjadi ukuran kerjaya sekarang ni. Saban hari kita dengar dan lihat dalam akhbar tentang mereka yang dibuang kerja. Saban malam pula terdengar bicara mereka yang terpaksa diberhentikan ini menalifon pak-pak menteri dalam TV mengadu nasib dan memohon jalan penyelesaian. Bukan mereka tak pandai waktu sekolah dulu. Bukan kaki tuang sekolah atau malas sehingga terpaksa diheret ke kelas. Cuma krisis ekonomi mengalahkan mereka kali ini.

Mereka yang tidak terlibat, tapi sedar dengan gelombang yang melanda seluruh dunia ini, memilih untuk berjimat cermat. ada juga yang menyediakan pelan alternatif. Tapi masih ramai yang selesa dengan poket kembung mereka lantas gaya kehidupan selesa juga mereka teruskan. Salah tu tidak, cuma mungkin kita perlu beringat juga. Akhir zaman ni orang kaya dan orang miskin, jurangnya terlalu ketara. Harapan aku janganlah Malaysia ni jadi macam Amerika, yang mana hari ini seseorang tu boleh duduk di atas, esoknya tidur beratapkan langit. Na'uzubillah!

Di Mekah, kaya miskin tak jadi soal. Semuanya seakan sama sujud membumi dalam rentak yang satu. Orang kaya berkaki ayam? Biasa. Dah, kasut hilang! :) Orang miskin makannya mewah? Biasa juga. Rezeki Allah turunkan. Kalaulah dimana-mana kaya miskin tak jadi soal, tentu hidup boleh jadi lebih fokus pada ibadah pada Allah.

Allah memberi ingatan pada kita dalam surah Al-Qasas ayat 78 yang bermaksud:
"Qarun menjawab (dengan sombongnya): Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku. (Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah dia mengetahui dan pandai memahami, bahawa Allah telah membinasakan sebelumnya, dari umat-umat yang telah lalu, orang-orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan ? Dan (ingatlah) orang-orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa-dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya)".

Biar jadi tak pandai daripada meandai-mandai! ;p

Ya Allah, Rabbi zidna wa la tanqusna! amin.. ya Rabb!

Tuesday, February 03, 2009


Damai Di Mekah

Dah 24 hari aku berada di Malaysia sejak pulang dari tanah suci. Rindu pada kedamaian di Mekah dan Madinah sudah mula bertapak. Allah.. rindunyaa..
Kat sana aku tak ingat langsung pasal study, pasal kerja-kerja research, pasal bil-bil yang nak dibayar, pasal kereta ada minyak ke tidak, pasal peti ais ada isi ke tidak, pasal nak masak apa malam nanti, pasal baju bergosok ke tidak, pasal apa orang lain fikir kalau aku pakai baju tak matching warnanya..

Kat sana kerjanya cuma pergi masjid, balik masjid, makan disedia, minum pun disedia, baju sikit-sikit boleh basuh tangan-- banyak-banyak Abg suruh hantar dobi. Ehe.. Pastu, tidur.. berjalan sana-sini.. Allah, nikmatnya! Paling seronok ialah hati tu damaii jer.. tu yang paling best tuh!

Sekarang, hati aku walaupun masih tenteram, tapi kurang damainya. Walaupun muka selamba dimarah Abg sebab tak bukak buku, hati aku sebenarnya berdebuk berdebak takut nak jumpa Prof., malu nak jumpa Dr., sebab proposal masih ditakuk lama.. (sebulan tak tengok!) Ya Allah! Rabbi yassir wa la tu'assir.

Waaa..takuttt....!!

Ya Allah! Damaikanlah hatiku.

Ya hayyu! Ya Qayyum! Birahmatika astaghii, aslihli sya'ni kullah wa la takilna ila nafsi torfata ainin!! Amin!!

Friday, January 16, 2009




Alhamdulillahh!!
Alhamdulillah.. musim haji baru ni aku dan Abg terpilih dan dijemput Allah untuk bersama-sama 2.5 juta umat Muhammad yang lain ke tanah suci untuk mengerjakan rukun Islam yang kelima. Tak ada perkataan lain yang boleh aku gambarkan betapa seronoknya aku dan betapa gembiranya aku melainkan Alhamdulillahh!! Ya Allah!!

Gambar kat atas ni gambar kami ni depan Gua Hira', di atas Bukit Cahaya (Jabal Nur) setinggi 2,500 kaki. Tak ramai orang Malaysia yang naik. Waktu kami pergi tu pun cuma kami berempat jer. Alhamdulillah, aku sampai di tempat wahyu pertama turun ni buat kali kedua. Kali pertama 17 tahun dulu. Alhamdulillah, Allah izinkan juga aku sampai ke puncak. Maklumler.. dah berumur ni lain sikit tenaganya.

Selama 44 hari di kota suci Makkah dan Madinah, banyak mengajar aku tentang erti kehidupan dan kematian. Selama berkampung dengan keluarga baru, aku jadi lebih arif tentang ciptaan Allah bernama manusia. Selama terpisah dari Abg 44 hari, menjadikan aku lebih menghargai hubungan kami. Malah aku rasa ibadah haji ini seakan menjadi bulan madu yang termanis di penghujungnya. Rindu pada kasih sayang Abg dalam kebesaran dan keagungan Allah di tanah berkat. Hasil mawaddah dan rahmah yang dikurniakanNya dalam mencari mardhatillah.

Bila pulang ke tanahair, rindu pula pada sibuk sesak tanah haram. Bukan sesak dengan kenderaan tapi dengan manusia. Waktu pulang dari masjid alHaram lepas solat Isya', kami berjalan macam bermain..setapak, setapak,setapak.. berhenti. Hinggalah sampai di depan pintu hotel. Ramainya umat Muhammad Allah saja yang tahu bilangan sebenarnya.

Waktu di Madinah, musim sejuk sudah nak berakhir. Tapi dingin subuhnya masih menggigit hingga ke tulang. Ramai yang berselimut ke masjid. Aku sendiri yang jarang berbaju panas mengenakan jaket tebal. Anginnya begitu dingin, kalau lama-lama pipi pun rasa kebas macam nak beku.

Paling bahagia di Padang Arafah. Bilamana kita tahu segala ratapan dan bisikan hati didengari Yang Maha Esa. Bilamana kita sedar hadiah teragung adalah kembali suci seperti bayi dilahirkan. Bilamana kita pilih untuk kembali kepada fitrah. Ya Allah! Kau tetapkanlah iman kami seperti di hari Arafah. La tuzigh quluubana ba'da izhadaitana. Wa hablana min ladunka rahmah. Ya Rabb!

Ya Allah, izinkan aku kembali ke tanah suciMu lagi Ya Allah! Amin.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...