Tuesday, February 10, 2009

Pandai vs. Kaya




Ramai orang nak jadi pandai. Macam-macam orang buat supaya jadi pandai. Ada yang makan ubat. Ada yang belajar lebih sikit. Ada yang baca buku motivasi. Kata mereka, bila pandai boleh dapat kerja bagus. bila dapat kerja bagus, boleh jadi kaya-raya. Hmm..

Ibubapa kebanyakannya ada persepsi begini. Kalau anak mereka tak menunjukkan prestasi cemerlang di sekolah, mereka dah mula risau dan buat berbagai andaian tentang masa depan budak tu. Kalau anak mereka nampak cerdas, maka mereka senang hati dan kurang sikit risau tentang apa nak jadi nanti. Harapan dan doa si ibu agar anak itu dapat kerja yang baik, supaya boleh menampung kehidupan sendiri setidak-tidaknya. Doa si ayah pula agar anak itu selamat dalam kerjanya, agar lapang hatinya bila tiba masa nak meninggalkan anaknya di dunia nanti.

Tapi hakikatnya bukan kepandaian yang menjadi ukuran kerjaya sekarang ni. Saban hari kita dengar dan lihat dalam akhbar tentang mereka yang dibuang kerja. Saban malam pula terdengar bicara mereka yang terpaksa diberhentikan ini menalifon pak-pak menteri dalam TV mengadu nasib dan memohon jalan penyelesaian. Bukan mereka tak pandai waktu sekolah dulu. Bukan kaki tuang sekolah atau malas sehingga terpaksa diheret ke kelas. Cuma krisis ekonomi mengalahkan mereka kali ini.

Mereka yang tidak terlibat, tapi sedar dengan gelombang yang melanda seluruh dunia ini, memilih untuk berjimat cermat. ada juga yang menyediakan pelan alternatif. Tapi masih ramai yang selesa dengan poket kembung mereka lantas gaya kehidupan selesa juga mereka teruskan. Salah tu tidak, cuma mungkin kita perlu beringat juga. Akhir zaman ni orang kaya dan orang miskin, jurangnya terlalu ketara. Harapan aku janganlah Malaysia ni jadi macam Amerika, yang mana hari ini seseorang tu boleh duduk di atas, esoknya tidur beratapkan langit. Na'uzubillah!

Di Mekah, kaya miskin tak jadi soal. Semuanya seakan sama sujud membumi dalam rentak yang satu. Orang kaya berkaki ayam? Biasa. Dah, kasut hilang! :) Orang miskin makannya mewah? Biasa juga. Rezeki Allah turunkan. Kalaulah dimana-mana kaya miskin tak jadi soal, tentu hidup boleh jadi lebih fokus pada ibadah pada Allah.

Allah memberi ingatan pada kita dalam surah Al-Qasas ayat 78 yang bermaksud:
"Qarun menjawab (dengan sombongnya): Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku. (Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah dia mengetahui dan pandai memahami, bahawa Allah telah membinasakan sebelumnya, dari umat-umat yang telah lalu, orang-orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan ? Dan (ingatlah) orang-orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa-dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya)".

Biar jadi tak pandai daripada meandai-mandai! ;p

Ya Allah, Rabbi zidna wa la tanqusna! amin.. ya Rabb!

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...