Monday, October 13, 2008


Batrisya
Batrisya dah pandai main. Bukan orang yang mengagah dia, dia pulak yang mengusik orang. Kalau dengan orang lain, ada kalanya dia tak mau. Tapi kalau dengan makngah dia.. kuci kuci kuci kuu.. Batrisyaaa...
hehe..
Ya Allah, pelihara Batrisya dan jadikannya anak yang solehah, amin.. :)

Tuesday, October 07, 2008


Selamat Hari Raya AidilFitri
1 Syawal 1429H

Salam Aidilfitri buat semua umat Islam. Maaf lahir dan batin. Semoga keberkatan Ramadhan tahun ini bersemarak hingga ke Ramadhan tahun hadapan. Dan semoga keriangan Syawal ini berpanjangan selama-lamanya. amin.

Wednesday, August 27, 2008

Akarkan Jati Diri

Kurang seminggu lagi kita akan sambut Ramadhan 1429 Hijrah. Belum pun hilang manisnya Ramadhan setahun lalu, Allah sudah hadiahkan kita dengan Ramadhan terkini. Alhamdulillah.. segala puji bagiNya yang Maha Pemurah. Manisnya Ramadhan dulu hingga terbawa-bawa amalan baik darinya ke bulan-bulan lain. Manisnya Ramadhan dulu hingga terngiang-ngiang suara Imam dimasjid membaca surah demi surah dalam solat tarawih yang melegakan. Kini Ramadhan datang lagi untuk menghidupkan manis yang lama.. menyegarkan hingga ke akar umbi.

Alhamdulillah Ya Allah!
Alhamdulillah!

Selamat Datang Ramadhan Kareem!!
Selamat Datang!!


Ya Allah, hidupkan aku dalam rahmatMu agar bertemu dengan Ramadhan tahun ini, amin.

Thursday, August 14, 2008

Cantik

Setiap wanita itu cantik. Namun, bukan pada paras rupanya sahaja. Ia meliputi akhlak dan budi bahasanya. Kalau dilihat pada wanita yang paling cantik rupanya, tapi menjerit-jerit dan cakap bahasa yang bukan-bukan -- orang mesti kata ada skru yang longgar. Tapi kalau dia lemah lembut dan cakap pun tersusun rapi, tapi pakaiannya selekeh dan kotor -- orang kata lembab pulak, cakap pun satu-satu keluar. Eheh!

Penampilan penting. Dalaman juga penting. Tapi yang aku paling percaya ialah apa yang ada di dalam akan menyerlah hingga ke luar. Ibarat macam lampu yang bercahaya. Walau ditutup dengan kain sutera, cahayanya pasti mencuri-curi keluar. Tapi apa yang ada diluar jarang nak meresapi sampai ke dalam. Macam cantiknya ukiran pada kotak jati, hanya terukir di bahagian luar. Bila di buka kotak, jati kosong di sebelah dalam.

Begitu juga dengan wanita. Kecantikan wanita yang lahir dari sifat dalamannya yang tulus ikhlas akan berpanjangan. Mampu untuk mengawal sifat luarannya. Walau cuba disorok keikhlasannya, murni hatinya pasti memikat siapa saja yang berurusan dengannya. Lebih kental bila disulami dengan keindahan iman. Jika dia biasa sabar pada cubaan yang sedikit, dengan iman -- dia pasti akan lebih tabah menghadapi ujian yang lebih besar. Tatkala dia berpeluang memulangkan paku buah keras, bibirnya yang sentiasa menyebut nama Ilahi akan terus diam sambil hatinya mengucap syukur. Hatinya akan lebih dekat pada Pencipta sambil menawan hati-hati lain dengan kecantikannya yang luar biasa.

Cantik bukan musuh wanita. Cantik itu sahabat baik mereka. Jangan salahkan wanita dalam hidup anda jika dia berusaha untuk jadi cantik. Tapi bimbinglah dia agar yang cantik itu lahir dari dalam hati dan dirinya. Agar bukan sekadar cantiknya ukiran jati.

Allah berfirman dalam surah arRahman ayat 70: "Dalam kedua-dua Syurga itu juga terdapat (teman-teman) yang baik akhlaknya, lagi cantik parasnya". Allah janjikan teman yang cantik buat ahli syurga. Jika kita wanita, kita akan dijadikan cantik untuk pasangan kita disyurga nanti. Tapi sebelum tu kenalah kita pastikan kita mampu mendaftar sebagai ahli syurga!

*Senyum*

Ya Allah, hiasilah diriku dengan akhlak terpuji. Amin.

Monday, June 23, 2008

Musuh seorang pelajar ialah 2 M.


Aku sekarang tengah berperang dengan dua musuh ni. Nak tahu ceritanya? Come, I story you...


Musuh I: Mengantuk
Entah kenapa, bila dah bertungkus lumus dalam jangka masa yang tertentu, aku jadi mengantuk yang teramat sangat. Setahun bukan jangkamasa yang pendek bagi seorang pelajar yang perlu berhadapan dengan peperiksaan dan kajian. Kejap aje..pejam celik, pejam celik - dah habis satu semester. Masuk semester baru. Pejam celik, pejam celik lagi - habis lagi satu semester. Habis satu tahun atau 2 semester. Tapi setahun juga jadi agak panjang bila dilihat dari konteks bersengkang mata. Bangun pukul 6 pagi, tung tang tung tang, tidur pukul 3 pagi. Bila ada waktu terluang tengahari dapat la terlelap sejam dua. Kalau ada peluang ikut Abg ke mana-mana, waktu dalam kereta jadi waktu tidur aku. Waktu berjalannya pula jadi waktu aku mengheret kaki dan memaksa kelopak mata dibuka. Heheh..


Sekarang ni, aku jadi mengantuk yang amat sangat! Pagi mengantuk, petang mengantuk, malam apatah lagi. Aku rasa aku boleh tidur tiga hari straight tanpa diganggu.. :P Minum kopi tak jadi apa. Makan kekudap untuk buat teman mengantuk, pun jadi laagi mengantuk. Ya Allah. Bila dah mengantuk, aku jadi MALAS.


Musuh II: Malas

Penceramah atau pensyarah mana-mana program yang aku hadiri selalu sebut: "You are not lazy. If you are lazy, you won't be here today. Right?" "Righttt!!!" kami jawab ramai-ramai. Maka aku pun jadi rajin. Tapi bila duduk sorang-sorang mengadap buku atau laptop.. aku jadi malas. Ulat malas tu merayap selo-selo.. mula-mula dia naik dari kaki. Kaki aku jadi kebas. Teringat nak jalan-jalan ke dapur ke, ke depan ke..bagi kaki relax sikit. Tak pun duduk berlunjur atas katil. Eheh.. Lepas tu dia naik ke perut. Perut aku jadi lapar. Teringat nak cari makanan dalam peti ais ke, biskut dalam balang ke. Lepas tu dia naik lagi pergi ke tekak. Rasa dahaga la pulak. Bangun lagi cari air pulak. Buat air kopi sedap jugak. Lepas tu dia naik ke mata, terus jadi mengantuk.. bila dah mengantuk.. Allahu Rabbi, Iza! Iza! BUAT KERJA TUU!!


Errr.. kena stop blogging.. my wise mind ask me to stop. Banyak due dates minggu ni. Heheh.. Ok, Doakan aku berjaya dunia akhirat. Terima kasih.

Friday, June 06, 2008

Minyak oh minyak...

Antara mereka yang terikat tangannya ke tengkuknya ketika mana dia dibangkitkan di hari Kiamat nanti ialah pemimpin yang zalim. (Maksud Hadith)

Sebagai rakyat, sekarang ini aku rasa sangat dizalimi oleh pemimpin-pemimpin aku yang menaikkan harga bahan bakar asas untuk kenderaan yang aku guna setiap hari untuk ke kampus. Aku rasa dizalimi sebab aku takde income tetap.. dan biasiswa yang aku patut dapat bulan-bulan pun masih kena hold sebab pemimpin di bahagian pelajar postgraduate lambat buat keputusan: samada nak bagi sebulan-sebulan atau bagi terus satu semester. >:P

Korang tak rasa dizalimi ke?

Astaghfirullah...

Wednesday, April 09, 2008


Relax kejap...


Hujung minggu yang baru ni, aku dan Abg bersama 12 orang yang lain telah bersama-sama memanjat Bukit Tinggi untuk ke Kem Maninjau di Janda Baik. Eheh.. panjat tu tak lah susah sangat pasal kami naik kereta. 4 buah kereta semuanya termasuk 1 dari Johor, 1 dari Kuantan dan 2 dari Gombak.


Aku ditugaskan jadi trainer untuk program ni. Jadi dengan amanah tersebut aku pun rangka la satu modul team building. Sambutannya agak baik. Well, ok la untuk aku yang pertama kali buat mende ni sorang-sorang. Selalunya aku berbincang dengan Abg. Tapi sebab dia jadi peserta, so tak boleh la. Nanti tak adil pulak.


Umi aku jemput jauh dari Kuantan untuk jadi pembantu. Umi memang cekap bab tolong-tolong orang ni.. Heheh, terima kasih Umiii...! Muahh!! Kami ambil kesempatan ni jugak untuk berendam dalam sungai yang kebetulan jadi dalam la jugak sebab hari hujan sebelum tu. Bestkan, Umi!
Makanan yang disediakan oleh Maninjau Chalet pun boleh tahan sedapnya. Dari hidangan pertama hingga lah ke akhirnya, semuanya menjilat jari. Paling best nangka muda dimasak kari minang. Nangka tu dipetik depan kitorang waktu tengah program tu. Fuh, punyalah fresh!
Apapun, Alhamdulillah, aku panjatkan kesyukuran kepadaMu, Ya Allah kerana segala yang dirancang menjadi senang. Ada dua tiga perkara tak dapat nak dilaksanakan.. tapi program masih berjalan dengan baik.
Harapan aku program ni dapat jadi acara tahunan. Sebab tu je la masa yang kami boleh berkumpul jumpa ahli keluarga AMDC.
OK, dah habis retreat, jom balik buat kerja masing-masing! Tahniah buat Kumpulan 3 yang menang dengan markah terbanyak. Tahniah juga buat Wan yang dianugerahkan peserta terbaik. Dan akhir sekali terima kasih dan tahniah buat semua untuk kerjasama dan ukhuwah yang dihulurkan!
Alhamdulillah!! :)







Wednesday, March 05, 2008


Jauhi Yang 7 ini...



Daripada Abu Hurairah r.a:
Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam telah bersabda:
"Jauhilah tujuh perkara yang boleh membinasakan kamu iaitu menyebabkan kamu masuk Neraka atau dilaknati oleh Allah".
Para sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah! Apakah tujuh perkara itu?" Rasulullah bersabda:
"Mensyirikkan Allah iaitu menyekutukan-Nya, melakukan perbuatan sihir, membunuh manusia yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan hak, memakan harta anak yatim, memakan harta riba, lari dari medan pertempuran dan memfitnah perempuan-perempuan yang baik iaitu yang boleh dikahwini serta menjaga maruah dirinya, juga perempuan yang tidak memikirkan untuk melakukan perbuatan jahat serta perempuan yang beriman dengan Allah dan Rasul-Nya dengan fitnah melakukan perbuatan zina".
Ya Allah, jauhi kami dari yang tujuh ini, amin..

Monday, February 11, 2008


Waffle Aiskrim Satu & Char Kuew Teow Dua

Satu
Aku: Waffle aiskrim satu.
Mamak jaga stall: Tak ada.
Aku: Tu ada (sambil menunjukkan pada senarai menu terpampang punyalah besar giler atas kepala dia).
Mamak jaga stall: Takda (geleng-geleng. sengih-sengih).
Aku: Tuu. Ada tulis tu.. (tunjuk lagi, kali ni bersungguh-sungguh).
Mamak jaga stall: Tak adaa..
Aku blah je la..

Dua
Aku: Char kuew teow dah ada? (aku tanya sebab penjual tu nampaknya tengah set up gerai dia)
Kakak penjual: Aah...Char kuew teow dah ada. Nasi lemak belum lagi.
(alamak akak ni, aku tak tanya pun nasi lemak..)
Aku: Char kuew teow dua, bungkus.
Kakak penjual: Nasi lemak tak ada lagi.
Aku: Aah.. takper.. char kuew teow dua. Bungkus yer.
Kakak penjual: Bungkus ker?
Aku: Ha'ah, bungkus.
(Ya Allah! selamatkanlah aku dari kakak nii!!)

Soal jawab macam ni memang kita tak boleh nak elak kadang-kadang tu. Ada je yang membuatkan kita perlu berhadapan dengan senario macam ni, kan! Alaa, korang pun mesti pernah kena gitu, kan? Itu ok lagi. Apa pun perkara macam tu hal kecil. Kalau jadi, senyum je lah. Jadikannya asam garam untuk buat hidup kita lebih ceria.
Tapi jangan hingga hal yang kecil kita nak besar-besarkan. Ada kalanya manusia suka berbalahan berlawan kata. Tak nak kalah sikit pun. Jangan! Takut nanti tak terjawab bila sesi soal jawab depan Rabbul Jalil nanti berlangsung. Biar kalah didunia.. jangan terhina dengan keangkuhan sendiri di padang Mahsyar nanti, na'uzubillah!
Firman Allah dalam surah azZumar ayat 13, bermaksud:


"Katakanlah lagi: Sesungguhnya aku takut jika aku menderhaka kepada Tuhanku, akan azab hari yang besar (soal jawabnya)".

amin.. ya Rabbal a'lamin!

Sunday, February 10, 2008

Al Fil

Sabtu baru ni aku ikut Abg pergi tengok gajah kat santuari gajah di Kuala Gandah, Lanchang. Kiutnye lah gajah-gajah tu, geram tengok. Tapi takut juga. Yelah, kalau dah kita tak tahu tentang sesuatu tu dengan detail, itu yang menyebabkan kita jadi takut. Tak tahu bila dia nak mengamuk misalnya, tak tahu bila dia nak menendang, dan tak tahu juga bila dia nak membuang! Eheh..






Kalau korang nak pergi sini, boleh.. Setakat ni percuma lagi. Pergilah cepat.. ehehe.. Tapi bagusnya buat tempahan sebelum pergi. Boleh dapatkan detail dia kat sini. Bukan apa, sebab pass untuk aktiviti bersama gajah tu terhad. Jadi, kalau datang lewat, tak dapat la tunggang gajah dan mandi dengan gajah. Kitorang pergi lewat, so, cuma dapat bagi makan gajah jer.. Syok jugak. Aku memula takut. Tapi bila dah bagi sekali rasa nak bagi lagi.. So, si comel yang entah apa namanya tu aku suapkan dua potong betik.




Haa, yang ni lah aku bagi makan tu. Best! Waktu bagi makan ni, pekerja di situ beri amaran, jangan berdiri bahagian belakang gajah. Hehe.. So, berdiri tepi-tepi tu. Cuba pegang badan dia. Rasa kulitnya yang keras dan 'bulu roma' nya yang keras dan agak tajam-tajam gitu. Hmm.. Subhanallah, yang menjadikan fizikal mamalia terbesar di darat ni begitu rupanya. Cara dia makan, dia akan ambik dengan belalai dia makanan yang kita unjukkan pada dia. First time tu, sebab rasa takut, terjatuh betik tu dari tangan aku. So, terpaksa la si gajah ni kutip dari atas lantai. Kesian pulak tengok. Jadi aku ambil betik yang lain, hulurkan sekali lagi. Kali ni dia hulur lagi belalai nak ambil betik tu. Aku punyalah takut buah tu jatuh, jadi aku pegang betik tu kuat-kuat. Si gajah ni, belit sampai kena hujung belalai kat tangan. Hee.. rasa sejuk dan geli lah pulak! heheh...


Sebelum makan tu gajah-gajah tu mandi dulu. Pekerja-pekerja yang mengendalikan gajah tu pegang besi cangkuk untuk kawal gajah tu. Nak pusing kira. Nak pusing kanan. Sekejap tenggelam, sekejap timbul. Ada sekali tu, ada seekor gajah yang sembur air dalam mulut dia sendiri. Berkumur lah tu agaknya. Dua tiga orang pekerja akan menggosok badan gajah tu waktu dia duduk dalam sungai tu. Lepas tu pulak, seekor gajah, entah yang mana satu, melepas dalam air. Terapung-apung 'hadiah' yang dia bagi tu. Dah le besar, panjang pulak tu.. heheh...




Ni pulak gambar tulang dan tengkorak gajah.
Kalau tak silap aku, tengkorak kepala tu consist of tengkorak dan rahang bawah. Lebih kurang macam manusia la tak? Otak gajah adalah yang terbesar di antara seluruh kumpulan mamalia. Tapi sebab otak dibandingkan dengan fizikal haiwan tu, maka otak gajah hanyalah 0.1% daripada tubuh dia. So, kira kecik je lah. Tapi, korang mesti pernah dengar yang gajah ni kuat ingatan, kan? Hmm... apa rahsia dia, ek?

Apa pun, gajah adalah satu haiwan yang amazing. Maha Suci Allah yang menjadikannya.



Firman Allah dalam surah Fiil:



[1] Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) Gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)?
[2] Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka?


[3] Dan Dia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpasuk-pasukan;

[4] Yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras;

[5] Lalu Dia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat.


Allahu Akbar!

Tuesday, February 05, 2008


Si Bijak vs. Si Bangang
(caution: obscene language used)

Kalau diberi pilihan tentu saja semua orang tak mahu jadi bangang. Apatah lagi jika digelar bangang. Hisyhh.. simpang jauh-jauh.
Tapi tak semua orang mampu jadi bijak pada setiap masa. Ada saja perkara yang menjadikan seseorang itu bangang. Jika tidak, tak adalah hiburan pula bagi mereka yang merasa bijak. Tak percaya cuba tengok siri TV America's Funniest Videos tu ke, atau Video Zonker ke, atau dulu ada rancangan Bleep, Bloopers and Blunders. Semua tu menunjukkan kebangangan manusia pada seketika yang tak dijangka.
Semua ibubapa berharap anak mereka menjadi bijak. Tapi tak semua mereka bijak dalam mendidiknya. Kadangkala bangang juga. Semua guru juga berharap mendapat anak murid yang bijak, agar senang mengajarnya. Tapi bila mendapat yang bangang, mereka (sang guru) menjadi lebih bangang daripada murid itu. Heh, bukan lah semua.. tapi dah melihat sendiri senario ni. Guru, janganlah cepat melatah.. aku pun bekas guru juga.
Bila dah besar pula, masih lagi kita-kita ni berura-ura nak jadi bijak. Atau setidak-tidaknya tidak kelihatan bangang bila diajukan soalan. Ada masanya kita berjaya kelihatan bijak. Tapi ada masanya kita beri jawapan yang agak bangang. Buktinya, pandangan yang pelik dari orang lain. Heh..

Apa pun, semua tu tak berapa penting. Paling penting kita kena bagi jawapan yang bijak, jadi orang yang bijak dan sound really bijak bila disoal Munkar dan Nakir nanti. Itu yang muktamad. Ada berani?

"Qarun menjawab (dengan sombongnya): Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku. (Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah dia mengetahui dan pandai memahami, bahawa Allah telah membinasakan sebelumnya, dari umat-umat yang telah lalu, orang-orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan ? Dan (ingatlah) orang-orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa-dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya)."
Inilah firman Allah dalam surah al-Qasas ayat 78.

Paling mudah untuk kekal bijak adalah kekal mengingati mati. Sambil berdoa kepada Allah:
"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya."
Surah Aali Imran ayat 8
Amin..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...