Saturday, December 18, 2004

Minggu depan aku cuti seminggu. Mula dari Isnin sampai Jumaat. Masuk kerja nanti kena ganti semua kelas.. aduss, pandai cuti, pandai le ganti.. heheh..

Anyway, Ya Allah.. Rabbi yassir wa la tu'assir. :)

Saturday, December 11, 2004

Siapa yang zalim?

Apabila berlaku sesuatu kesilapan, biasanya manusia cepat menunding jari ke arah lain. Tak kira lah samada yang ditundingnya itu orang ke, haiwan ke, benda ke, atau keadaan. Pepatah Melayu ada menyatakan "tak pandai menari, lantai dikatakan jongkat-jongket (bukan Mat Jan punya nih)". Macam orang tersadung jugaklah. Dia yang nak terjatuh, tapi segera memandang ke lantai. Seolah-olah ada tangan yang menarik kakinya sebentar tadi.

Resam itu terus dibawa dari kecil hinggalah ke dewasa dan melarat hingga ke tua. Tak pandai mengaji Qur'an, guru Qur'an disalahkan. Tak lulus periksa di universiti, pensyarah disalahkan. Bekerja dalam rasa tak puas hati, majikan disalahkan. Anak bergaduh dirumah, isteri disalahkan. Perut sakit pun makanan disalahkan.

Fenomena ni akan tiada berpenghujung. Hinggalah tiba masa jasad kita diusung ke liang lahad. Waktu tu, barulah kita sedar sikit. Belum sedar abis lagi. Pasal apa aku kata begitu? Sebab Allah

Allah berfirman dalam surah Al-An'aam ayat 157: "Atau supaya kamu (tidak) mengatakan: Sesungguhnya kalau diturunkan Kitab kepada kami tentulah kami mendapat petunjuk hidayat lebih daripada mereka. (Kamu tidak akan dapat berdalih lagi) kerana sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan (yang cukup) dari Tuhan kamu dan petunjuk hidayat serta rahmatNya (yang melimpah-limpah). Oleh itu, siapakah yang lebih zalim lagi daripada orang yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah dan berpaling daripadanya? Kami akan membalas orang-orang yang berpaling dari ayat-ayat keterangan Kami (dengan) azab seksa yang seburuk-buruknya, disebabkan mereka sentiasa berpaling (mengingkarinya). "

Ya Allah, jauhi kami dari menjadi orang-orang yang zalim terhadap diri kami sendiri.


Thursday, December 09, 2004

The Not-So Amazing Race

Semalam aku tengok The Amazing Race bersama Abg. Selalunya Abg tengok sorang jer sebab time tu aku biasanya dah hanyut dalam mimpi. Kali ni aku tengok dah tinggal final three. Aku suka tengok the oldest couple tu sebab sampai final three. Kira hebat jugak diorang.

Yang couple Zach dan Flo jadi problem time ni. Si Flo asik letih-letih-letih, nak nangis, tak boleh buat-tak boleh buat-tak boleh buat. Zach pulak cool ajer.. relax amcam takde apa-apa yang berlaku. Padahal, partner dia dah berapa kali sebut nak quit.

Abg pulak, yang duduk depan TV geram tak habis pada Flo. Dia marah sebab katanya buat apa quit? Kalau habiskan game tu pun at least dah secure nombor tiga. Hehe.. Sabar Abg. Aku pulak balas balik: "Abg, dia period tuh. Abg kena faham".

Flo period? Aku tak tau betul ke tak. Tapi aku faham perempuan punyai masa-masa tertentu untuk mereka jadi 'gila'. Aku pernah jadi 'gila'. Aku SELALU jadi 'gila'. Tapi sebagai seorang muslim, 'gila' aku bukanlah tak berpenghujung.

Perempuan jadi 'gila' sebab hati mereka tak tenang. Mereka jadi tak betul sebab mereka rasa payah dan susah. Mereka jadi haru-biru sebab mereka rasa tak aman.

Allah menyuruh kita bersabar. Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 153: "Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar".

Nampak tak? Allah kata solatlah kamu.. bila solat, insya Allah kita akan sabar. Tapi time period macamana wanita nak solat? Sebab tu mereka (termasuk aku) sedikit 'gila'.

Tapi itu bukan alasan untuk terus-terusan jadi 'gila'. Allah berfirman dalam surah ar-Ra'd ayat 28: "(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan "zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia".

Kalau tak boleh solat, kita ada zikrullah. Berzikirlah. Sebutlah nama Tuhanmu yang menciptakan sekelian alam. Ingatlah padaNya, nescaya kita akan beroleh rahmat dan ketenangan jiwa. Insya Allah.

Ya Allah. :)


Wednesday, December 08, 2004

Dalam hati ada tiada cinta

Entah kenapa seminggu dua kebelakangan ni aku tak ada semangat untuk bekerja. Aku rasa bosan dengan tempat kerja aku. Aku beri alasan pada Abg sebab rancangan kami nak bercuti dibatalkan. Tapi Abg dapat mengagak sebab sebenar.

Aku ada masalah sosial.

AAAAHAHAHAHAHA!!

Bukan masalah bohjan atau dadah. Tapi aku kecik hati ngan seorang kawan. Terbawa-bawa ke dalam kerja. Memang aku seorang yang tak reti nak mengaku aku kecik hati.. dah la begitu, aku tak reti juga nak lepaskan begitu sahaja. Buruk sungguh perangai aku.

Astaghfirullah.. tenangkanlah hati ku. Bersihkanlah hatiku.


Friday, December 03, 2004

Minggu depan hidup aku akan kembali menjadi rutin, insya Allah. Minggu depan kelas akan mula seperti biasa. Tapi jadual hingga pukul 3 petang ni masih belum keluar. Kata pihak yang berkuasa jabatan yang mengeluarkan jadual tu masih menunggu 'sistem'.. tak sampai-sampai lagi. Tak pe aku tunggu.

'Cuti' sebulan setengah tak terasa seperti bercuti. Hanya pelajar yang cuti. Kami masih bekerja seperti biasa. Keluar pagi balik petang. Bila pergi rumah mak, nenek tanya: "Awak cuti la sekarang ya, iza?" Bila jumpa sepupu yang bekerja sebagai guru, sepupu tanya: "Awak tak cuti ke iza?" Bila jumpa kenalan di pasaraya, kenalan tanya: "Ooh, iza cuti la sekarang, ya?"

Aaaaaaaarrgghhh!! Rasa nak menjerit jawab: "TAAAAKK!! AKU TAK CUTII!!!"

Heheh..

Tapi aku tak ler gitu. Rasa je nak buat, tapi tak buat pun.

Semoga Allah damaikan hati manusiaku ini. :)

Thursday, December 02, 2004

PHD dan TSD

Kalau dulu masyarakat kita biasa dengar dan dimomokkan dengan akronim PHD, aku rasa itu masih lagi berlaku.

PHD kita bukan seperti masyarakat lain. PHD kita bukan perlu bermati-matian belajar dan mengkaji bertahun-tahun lalu dihujung keletihan itu dikurniakan sijil kebesaran PHD. PHD kita juga bukan perlu berarak di dalam dewan dengan majlis gilang-gemilang, bertopi lembik merentas pentas. PHD kita tidak ada gelaran Doktor di depan nama.

Tapi PHD kita merujuk kepada penyakit hati yang seiring dengan perilaku. PHD kita merujuk pada hasad dan dengki yang membuak-buak minta dilepaskan melalui perbuatan.

Maka timbullah jawatan tak rasmi seperti bomoh dan tok pawang yang membantu mereka yang mempunyai PHD ini. Laris pula katak dan lipan sebagai rencah dalam pengamalan mereka. Tak cukup dengan itu, teknologi terkini pula digunakan untuk memuaskan PHD yang bersarang. Bukan sahaja teknik-teknik fotografi yang begitu teliti digunakan, malah e-mail yang mudah pun disalahgunakan.

Allah berfirman dalam surah an-Nisaa' ayat 32 dan 33: "Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu."

PHD telah terlalu lama bertapak di dalam masyarakat kita. PHD seolah-olah telah menjadi lumrah kehidupan duniawi zaman fitan ini.

Cukuplah PHDnya, jika itulah caranya kita menyanjung PHD. Ingatlah firman Allah dalam surah al-Isra' ayat 7 yang bermaksud: "Jika kamu berbuat baik (bererti) kamu berbuat baik bagi dirimu sendiri dan jika kamu berbuat jahat, maka (kejahatan) itu bagi dirimu sendiri..."

Di sini aku ingin kemukakan satu akronim baru yang juga perlu kita jauhi.

TSD.

Jangan sekali-kali kita TSD. Aku mohon dijauhkan Allah dari menjadi TSD. Orang-orang TSD inilah yang selalunya naik tahap jadi PHD.

Di dalam al Qur'an Allah berfirman: "Dan adapun orang-orang yang bakhil dan merasa dirinya cukup, serta mendustakan pahala yang terbaik, maka kelak Kami akan menyiapkan baginya (jalan) yang sukar." - al-Lail: 8-10

Mengikut ulama' pentafsir, maksud 'merasa dirinya cukup' di sini ialah merasakan dirinya tidak lagi memerlukan pertolongan Allah subhanahu wa ta'ala. Lantas menjadikan mereka seorang yang tidak bertaqwa.

Tentu sahaja jika seseorang itu merasakan dirinya berkuasa, mampu melakukan apa-apa sahaja pada orang lain, dia akan terus TSD. Dan juga PHD tadi akan mula bersarang di dalam jiwanya.

Bagi orang-orang TSD ini, mereka merasakan dirinya hebat, jauh dari melakukan kesalahan. mereka merasakan orang lain seharusnya menyanjungi mereka, mencontohi mereka dan memuja mereka saban waktu.

Ada juga golongan TSD ini yang tidak mampu menyuruh orang menyanjungi mereka kerana kekurangan mereka, tetapi mereka tetap bersikap sombong dan angkuh. Para TSD selalunya amat sukar untuk mereka membumi jauh sekali untuk mengaku kebesaran Allah di dalam perbuatan mereka.

Allah berfirman di dalam surah al-A'raaf ayat 36: "Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat (perintah) Kami dan yang angkuh (merasa dirinya lebih) daripada mematuhinya, merekalah ahli Neraka, mereka kekal di dalamnya"

Ya Allah.. jauhkan aku dari menjadi TSD. Peliharalah aku dari menjadi Tak Sedar Diri.Amin ya rabbal a'lamin.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...