Thursday, December 02, 2004

PHD dan TSD

Kalau dulu masyarakat kita biasa dengar dan dimomokkan dengan akronim PHD, aku rasa itu masih lagi berlaku.

PHD kita bukan seperti masyarakat lain. PHD kita bukan perlu bermati-matian belajar dan mengkaji bertahun-tahun lalu dihujung keletihan itu dikurniakan sijil kebesaran PHD. PHD kita juga bukan perlu berarak di dalam dewan dengan majlis gilang-gemilang, bertopi lembik merentas pentas. PHD kita tidak ada gelaran Doktor di depan nama.

Tapi PHD kita merujuk kepada penyakit hati yang seiring dengan perilaku. PHD kita merujuk pada hasad dan dengki yang membuak-buak minta dilepaskan melalui perbuatan.

Maka timbullah jawatan tak rasmi seperti bomoh dan tok pawang yang membantu mereka yang mempunyai PHD ini. Laris pula katak dan lipan sebagai rencah dalam pengamalan mereka. Tak cukup dengan itu, teknologi terkini pula digunakan untuk memuaskan PHD yang bersarang. Bukan sahaja teknik-teknik fotografi yang begitu teliti digunakan, malah e-mail yang mudah pun disalahgunakan.

Allah berfirman dalam surah an-Nisaa' ayat 32 dan 33: "Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu."

PHD telah terlalu lama bertapak di dalam masyarakat kita. PHD seolah-olah telah menjadi lumrah kehidupan duniawi zaman fitan ini.

Cukuplah PHDnya, jika itulah caranya kita menyanjung PHD. Ingatlah firman Allah dalam surah al-Isra' ayat 7 yang bermaksud: "Jika kamu berbuat baik (bererti) kamu berbuat baik bagi dirimu sendiri dan jika kamu berbuat jahat, maka (kejahatan) itu bagi dirimu sendiri..."

Di sini aku ingin kemukakan satu akronim baru yang juga perlu kita jauhi.

TSD.

Jangan sekali-kali kita TSD. Aku mohon dijauhkan Allah dari menjadi TSD. Orang-orang TSD inilah yang selalunya naik tahap jadi PHD.

Di dalam al Qur'an Allah berfirman: "Dan adapun orang-orang yang bakhil dan merasa dirinya cukup, serta mendustakan pahala yang terbaik, maka kelak Kami akan menyiapkan baginya (jalan) yang sukar." - al-Lail: 8-10

Mengikut ulama' pentafsir, maksud 'merasa dirinya cukup' di sini ialah merasakan dirinya tidak lagi memerlukan pertolongan Allah subhanahu wa ta'ala. Lantas menjadikan mereka seorang yang tidak bertaqwa.

Tentu sahaja jika seseorang itu merasakan dirinya berkuasa, mampu melakukan apa-apa sahaja pada orang lain, dia akan terus TSD. Dan juga PHD tadi akan mula bersarang di dalam jiwanya.

Bagi orang-orang TSD ini, mereka merasakan dirinya hebat, jauh dari melakukan kesalahan. mereka merasakan orang lain seharusnya menyanjungi mereka, mencontohi mereka dan memuja mereka saban waktu.

Ada juga golongan TSD ini yang tidak mampu menyuruh orang menyanjungi mereka kerana kekurangan mereka, tetapi mereka tetap bersikap sombong dan angkuh. Para TSD selalunya amat sukar untuk mereka membumi jauh sekali untuk mengaku kebesaran Allah di dalam perbuatan mereka.

Allah berfirman di dalam surah al-A'raaf ayat 36: "Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat (perintah) Kami dan yang angkuh (merasa dirinya lebih) daripada mematuhinya, merekalah ahli Neraka, mereka kekal di dalamnya"

Ya Allah.. jauhkan aku dari menjadi TSD. Peliharalah aku dari menjadi Tak Sedar Diri.Amin ya rabbal a'lamin.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...