Thursday, September 28, 2006

Yang Lebih Tahu


Anda kenal diri anda?

Aku tak begitu (i.e. tidak sangat) kenal lagi diri aku.

Dalam bulan puasa ni, kalau kita nak kenal diri kita, terlalu banyak cara yang Allah mudahkan. Hakikatnya, kita saja yang tak nak kenal diri sendiri. Atau kita tak sedar yang kita tak kenal diri kita (sebagai hamba Allah).

Waktu berbuka sahaja pun kita dah boleh kenal diri sesikit. Cuba tengok hidangan yang kita peruntukkan untuk nafsu makan dan minum kita. Sepinggan nasi dan secawan air? Atau lebih dari itu? Kadang-kadang berlaku kita dah tak tahu nak makan apa sehinggakan kita perlu masak atau beli beberapa jenis lauk dan kuih muih.

Kadang-kadang juga kita berhasrat menyimpan sebahagian kuih-muih itu untuk moreh, nak dimakan lepas solat tarawih. Sedar tak kita yang waktu itu, kita menyimpan harapan (dengan begitu yakin) agar dapat bernafas lagi untuk menikmati kuih yang disimpan.

Kita punyalah tak kenal diri kita, buktinya Allah berfirman dalam sural al Qaaf ayat 16 yang bermaksud:

"Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya."

Kita juga tak kenal diri kita sebab kadang-kadang kita fikir kita perlukan banyak perkara dalam hidup ini sedangkan apa yang benar-benar diperlukan hanyalah secebis kecil dari dunia. Analoginya Allah tunjukkan waktu kita meneguk air dan menjamah sebiji kurma. Selesai aje dua perkara tu, hilang lapar dan dahaga, terasa penuh perut.. terasa tak boleh masuk dah hidangan lain. Tapi kita paksa juga agar masuk! Heh!

Kehidupan kita pun macam tu juga. Sebab kita tak kenal diri kita, maka kita cuba pastikan kita mendapat semuanya. Sedangkan apa yang per hanya secebis cuma. Maka jauhlah kita dari menjadi manusia yang zuhud terhadap dunia. Jauhlah kita dari menjadi manusia yang rasa cukup dengan apa yang ada.

Ramai orang salah anggap tentang zuhud. Mereka fikir bila zuhud perlu jadi miskin. Mereka anggap bila zuhud perlu pakai pakaian lama. Atau duduk di rumah yang serba tak cukup keperluannya. Siapa kata bila kita zuhud kita perlu hadapi semua ini?

Zuhud itu hanyalah membelakangkan dunia demi cinta kepada akhirat. Maka jika rumah penuh dengan perabut asas, malah menjadi kemudahan bagi pemiliknya untuk memuliakan tetamunya.. dia mungkin menjadi ahli zuhud. Jika kereta yang baik yang tidak membebankan pemiliknya (hutang ke.. maintenance ke..), malah memudahkan pemiliknya ke masjid di subuh hari dan di waktu malam, dia juga mungkin menuju zuhud.

Manusia zuhud dikasihi Allah.

Sewaktu Saiyyidina Ali karamallahu wajhah ditanya, apakah caranya untuk menjadi orang yang dikasihi Allah dan dikasihi manusia, beliau menjawab: Zuhud kepada dunia maka Allah akan mengasihi kita, dan zuhud kepada harta manusia maka manusia akan juga mengasihi kita.

Bila kita tak kenal diri kita, tak kenal keperluan kita, tak tahu yang mana asas yang mana kemewahan, maka jauhlah kita dari menjadi yang di kasihi Allah.

Kalau nak jadi juga yang dikasihi Allah bagaimana? Kita kan tak kenal diri kita..
Well, kita mintalah pertolongan dariNya. Kan Allah lebih dekat dengan kita, lebih dari urat leher kita sendiri! SubhanAllah!

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk".maksud surah al Baqarah ayat 45.

Ya Allah, rahmati kami di bulan penuh berkat ini. Amin. :)

Friday, September 22, 2006

Dialah segala-galanya!

Bagi yang sedang berkasih, pasti saja pasangan mereka, dunia baginya. Bagi sang ibu, anak-anaklah dunia mereka. Bagi si pencinta alam, persekitaran merekalah sanjungan hati.

Pencinta-pencinta ini pastinya sanggup membuat apa sahaja bagi yang dicintai.

Aku ingin mengajak diriku dan kalian seluruhnya agar sama-sama kita mencintai Allah Rabbul Jalil. Agar kita jadi pencinta yang sanggup bermatian kerana kasih terhadap yang Esa.

Ibarat kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Mari kita kenal Allah. Jom!

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 255 yang bermaksud:

"Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya).

Yang tidak mengantuk usahkan tidur.

Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi.

Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya.

Yang Mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya).

Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya.

Dan Dialah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya)".


Aku jadi insaf sebab semakin aku banyak masa mencari siapa diri ini yang sebenar, aku semakin kenal siapa Tuhan aku. Semakin aku menyanjungi Tuhan Maha Pencipta, semakin terserlah kelemahan manusia sejagat.

Aku memaksa diri aku untuk lebih mengenali Allah dan aku yakin paksaan aku tidak sia-sia. Sekarang aku nak ajak semua agar memanfaatkan bulan Ramadhan kali ini agar dapat kita sama-sama merisik, menilik, mengintai dan cuba mengenali Dia yang satu. Dah syaitan kena ikat ni, insya Allah, pandangan yang akan kita terima adalah sebersih-bersihnya tanpa pencemaran virus iblis laknatullah.

Ya Allah, berilah kami petunjuk dan hidayah di bulan Ramadhan kali ini, amin. :)

Wednesday, September 13, 2006


Ahlan wa Sahlan Ramadhan al-Mubarak!

Setiap kali menjelang Ramadhan, yang mula-mula aku fikir ialah barang dapur! Heh.. memang kureng sikit aku ni! (Bad, Iza!)Yerlah, sebab aku kengkadang naik rimas nak kena fikir nak masak apa untuk berbuka dan bersahur.

Yang kedua baru aku fikir nak solat tarawih di mana. Paling mudah aku suka solat di Masjid Negeri. Sebab ruangnya yang luas, walaupun kipas hanya ditepi-tepi saja.. tapi aku dah pasti tak kena solat di kaki lima masjid atau surau. Tempat berwudhu' nya juga bersih dan luas yang terletak sama level dengan ruang solat perempuan. Jadi tak perlu turun naik kalau terbatal wudhu'. ;p

Tapi kali ini barang dapur tidak mendapat tempat pertama. Entah kenapa dahi aku kali ini begitu merindukan sejuknya marmar putih lantai Masjidil Haram bila aku sujud kepadaNya. Entah kenapa tekak aku kali ini begitu hauskan mawyah zam-zam yang diambil dari paip-paip besi di dalam Masjidil Haram. Dan entah kenapa juga hati aku begitu merindukan Kekasih Allah yang telah lama bersemadi jasadnya dibawah kubah hijau itu. Ya Allah..

Aku tak pernah merasakan nikmatnya berpuasa di Makkah atau di Madinah. Tidak juga aku terfikir untuk ke sana pada bulan suci ini. Tetapi pengalaman musim panas di kedua tanah haram ini 2 tahun lalu begitu kuat menguit-nguit memanggil aku ke sana semula Ramadhan ini.

Ya Allah, kalau benar Kau menjemput aku, permudahkanlah Ya Allah! Namun jika ianya hanya permainan perasaan, Kau tenangkanlah hatiku dengan rezeki pemberianMu di mana-mana jua aku berada. amin..

---------------------------------

Makkah al Mukarramah

Ikon bandar suci ini ialah Masjidil Haram. Sebut saja Makkah.. Mekah.. Mecca.. pasti orang mengaitkannya dengan sebuah bangunan empatsegi berkelubung kain hitam (qiswah). Tentu saja kita mengenalnya dengan nama Ka'abah. Bukan saja orang Islam yang teringin ke sana, orang bukan Islam juga turut ingin ke sana. Mereka ingin melihat sendiri apakah yang terlalu istimewa tentang Ka'abah itu sehingga tidak pernah sesaat pun ia lengang dari manusia-manusia yang berpusing mengelilinginya.

Tanya pada apek jual sayur di pasar, tentu sahaja dia tidak menyatakan keinginannya. Tapi, cuba ajukan soalan yang sama kepada professor-professor yang mengkaji sejarah atau peradaban manusia. Tanyakan pada para pendakwah hatta agama apa sekalipun diseluruh dunia. Bagi yang komited dengan pegangan mereka, pasti terselit dilubuk hati ingin meninjau kehebatan Ka'abah.

Namun, keinginan mereka terhalang. Tiada manusia, selain yang beriman kepada Allah dan RasulNya, yang dibenarkan masuk ke bandar suci Makkah atau Madinah. Dijaga dengan bersungguh-sungguh oleh para pemegang amanah dua kota itu sehingga ke hari ini. Mana ada bandar lain yang disekat kemasukan pengunjung atas dasar kepercayaan?

Sebab itu bagi aku, bagi umat Islam yang tiada langsung rasa untuk berkunjung ke dua kota suci ini, amatlah malang bagi mereka. Na'uzubillah!

"Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Mekah) ini, negeri yang aman sentosa dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka. Allah berfirman: (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga dia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab Neraka dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali". al-Baqarah:126


Madinah al-Munawwarah

Ikon untuk bandar ini pula ialah Masjid Nabawi. Kubah hijau yang tersergam menjadi mercu tanda kebanggaan umat Islam disini. Bukan kerana setakat disitu bersemadinya jasad Nabi Muhammad sallahu 'alaihi wa salam. Tetapi kerana disitu jugalah tapak rumah Saiyidatina A'isyah radhiAllahu anha, rumah baginda Rasul. Di situ jugalah terletakkan Raudhah iaitu sebahagian kecil dari taman Syurga.

Bagi yang pernah ke sana, tentunya pernah merasakan rahmat Allah yang melimpah ruah tatkala kaki melangkah masuk ke kawasan maqam Nabi sallahu 'alaihi wa salam. Terasa seolah-olah baginda masih hidup dan hanya berbaring di atas katil di dalam bilik berpagar emas itu. Namun, hati terpaksa menerima hakikat bahawa Kekasih Allah sudah lama meninggalkan umat kesayangannya. Rahmat dan kasih sayang Allah semakin terasa apabila kita mula menadah tangan berdoa memohon redha Allah. Terasa sungguh doa itu dikabulkan seiring jatuhnya titisan-titisan airmata penyesalan seorang hamba.

Bagi wanita, masa untuk ke Raudhah dan maqam Nabi adalah terhad. Waktu solat jauh sekali dapat bersolat di ruang itu. Namun untuk jemaah lelaki, peluang adalah lebih terbuka. Pelajar-pelajar Universiti Madinah yang kami sempat jumpa bercerita, jika menghafal pelajaran di kawasan Raudhah itu, waktu periksa insya Allah scorelah. Kenapa? Sebab ingatan mereka jadi macam filem yang nampak semua yang dihafal, seolah-olah buku dibuka dihadapan mereka!


"Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya". al-Hasyr:9

Ya Allah Ya Rahman, jemputlah kami ke sana Ramadhan ini! Amin Ya Allah!

Monday, September 04, 2006



Ya Allah, cepatlah Abah sihat..

Ya Allah, berikanlah kesihatan yang baik buat Abah dan Mama. Berikanlah mereka kebahagian dan ketenangan dunia dan akhirat. Ya Allah ampunkan segala dosa mereka dan kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihani aku sejak dari kecil.

Amin Ya Allah.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...