Ahlan wa Sahlan Ramadhan al-Mubarak!
Setiap kali menjelang Ramadhan, yang mula-mula aku fikir ialah barang dapur! Heh.. memang kureng sikit aku ni! (Bad, Iza!)Yerlah, sebab aku kengkadang naik rimas nak kena fikir nak masak apa untuk berbuka dan bersahur.
Yang kedua baru aku fikir nak solat tarawih di mana. Paling mudah aku suka solat di Masjid Negeri. Sebab ruangnya yang luas, walaupun kipas hanya ditepi-tepi saja.. tapi aku dah pasti tak kena solat di kaki lima masjid atau surau. Tempat berwudhu' nya juga bersih dan luas yang terletak sama level dengan ruang solat perempuan. Jadi tak perlu turun naik kalau terbatal wudhu'. ;p
Tapi kali ini barang dapur tidak mendapat tempat pertama. Entah kenapa dahi aku kali ini begitu merindukan sejuknya marmar putih lantai Masjidil Haram bila aku sujud kepadaNya. Entah kenapa tekak aku kali ini begitu hauskan mawyah zam-zam yang diambil dari paip-paip besi di dalam Masjidil Haram. Dan entah kenapa juga hati aku begitu merindukan Kekasih Allah yang telah lama bersemadi jasadnya dibawah kubah hijau itu. Ya Allah..
Aku tak pernah merasakan nikmatnya berpuasa di Makkah atau di Madinah. Tidak juga aku terfikir untuk ke sana pada bulan suci ini. Tetapi pengalaman musim panas di kedua tanah haram ini 2 tahun lalu begitu kuat menguit-nguit memanggil aku ke sana semula Ramadhan ini.
Ya Allah, kalau benar Kau menjemput aku, permudahkanlah Ya Allah! Namun jika ianya hanya permainan perasaan, Kau tenangkanlah hatiku dengan rezeki pemberianMu di mana-mana jua aku berada. amin..
---------------------------------
Makkah al Mukarramah
Ikon bandar suci ini ialah Masjidil Haram. Sebut saja Makkah.. Mekah.. Mecca.. pasti orang mengaitkannya dengan sebuah bangunan empatsegi berkelubung kain hitam (qiswah). Tentu saja kita mengenalnya dengan nama Ka'abah. Bukan saja orang Islam yang teringin ke sana, orang bukan Islam juga turut ingin ke sana. Mereka ingin melihat sendiri apakah yang terlalu istimewa tentang Ka'abah itu sehingga tidak pernah sesaat pun ia lengang dari manusia-manusia yang berpusing mengelilinginya.
Tanya pada apek jual sayur di pasar, tentu sahaja dia tidak menyatakan keinginannya. Tapi, cuba ajukan soalan yang sama kepada professor-professor yang mengkaji sejarah atau peradaban manusia. Tanyakan pada para pendakwah hatta agama apa sekalipun diseluruh dunia. Bagi yang komited dengan pegangan mereka, pasti terselit dilubuk hati ingin meninjau kehebatan Ka'abah.
Namun, keinginan mereka terhalang. Tiada manusia, selain yang beriman kepada Allah dan RasulNya, yang dibenarkan masuk ke bandar suci Makkah atau Madinah. Dijaga dengan bersungguh-sungguh oleh para pemegang amanah dua kota itu sehingga ke hari ini. Mana ada bandar lain yang disekat kemasukan pengunjung atas dasar kepercayaan?
Sebab itu bagi aku, bagi umat Islam yang tiada langsung rasa untuk berkunjung ke dua kota suci ini, amatlah malang bagi mereka. Na'uzubillah!
"Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Mekah) ini, negeri yang aman sentosa dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka. Allah berfirman: (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga dia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab Neraka dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali". al-Baqarah:126
Madinah al-Munawwarah
Ikon untuk bandar ini pula ialah Masjid Nabawi. Kubah hijau yang tersergam menjadi mercu tanda kebanggaan umat Islam disini. Bukan kerana setakat disitu bersemadinya jasad Nabi Muhammad sallahu 'alaihi wa salam. Tetapi kerana disitu jugalah tapak rumah Saiyidatina A'isyah radhiAllahu anha, rumah baginda Rasul. Di situ jugalah terletakkan Raudhah iaitu sebahagian kecil dari taman Syurga.
Bagi yang pernah ke sana, tentunya pernah merasakan rahmat Allah yang melimpah ruah tatkala kaki melangkah masuk ke kawasan maqam Nabi sallahu 'alaihi wa salam. Terasa seolah-olah baginda masih hidup dan hanya berbaring di atas katil di dalam bilik berpagar emas itu. Namun, hati terpaksa menerima hakikat bahawa Kekasih Allah sudah lama meninggalkan umat kesayangannya. Rahmat dan kasih sayang Allah semakin terasa apabila kita mula menadah tangan berdoa memohon redha Allah. Terasa sungguh doa itu dikabulkan seiring jatuhnya titisan-titisan airmata penyesalan seorang hamba.
Bagi wanita, masa untuk ke Raudhah dan maqam Nabi adalah terhad. Waktu solat jauh sekali dapat bersolat di ruang itu. Namun untuk jemaah lelaki, peluang adalah lebih terbuka. Pelajar-pelajar Universiti Madinah yang kami sempat jumpa bercerita, jika menghafal pelajaran di kawasan Raudhah itu, waktu periksa insya Allah scorelah. Kenapa? Sebab ingatan mereka jadi macam filem yang nampak semua yang dihafal, seolah-olah buku dibuka dihadapan mereka!
"Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya". al-Hasyr:9
Ya Allah Ya Rahman, jemputlah kami ke sana Ramadhan ini! Amin Ya Allah!
No comments:
Post a Comment