Tuesday, August 29, 2006

{Satu}

"Apo tu Iza?" Kak Hae bertanya sambil cuba-cuba menjeling bungkusan yang aku pegang.

"Tak de apa-apa. Hadiah je nak bagi kat dia." Aku menjawab malu-malu kucing sambil mengunjurkan bungkusan plastik warna merah. Di dalamnya terdapat bungkusan kertas surat khabar lama, membalut isi sebenar barang yang ku katakan sebagai hadiah.

"Takkeh nok bui dale kortah surak kabor ni jah, Iza? " tanya Kak Hae lagi dalam slanga Kelantannya yang pekat. "Balut la molek sikek."

"Haa..tak la.. memang nak balut. Nanti la. Nak bagi dia esok. Dia nak balik kampung esok pagi. Sampai lepas raya." Aku menerangkan dengan panjang lebar.

"Eh, ini ayat ni.. kalu oghe nok ajok nikoh jo bui ayat serupo ni! Haa.. Iza nok nikoh denge dio ko?" Kak Hae dah mula senyum-senyum.

"Tak de la Kak Hae! Saja je.. dah ayat tu best." Aku cuba menepis. Dalam hati Allah je yang tau betapa malunya aku time tu. Dah le bilik kecil yang dikongsi lapan orang tu (ha'ah, 8 kau!) waktu tu tiba-tiba penuh je dengan penghuninya. Semua orang ada dalam bilik petang tu.

Kak Hae gelak-gelak kecil. Alaa, kalau betul pun apa salahnya, sambung Kak Hae lagi. Aku sengih-sengih sambil menyambung 'takde la..takde la' aku tu.

Mozek kecil berukuran 4X4 inci berlatar belakangkan gambar rumah kampung yang damai menjadi hadiah aku pada si dia. Di arasnya tertulis kaligrafi arab kalimah Allah dari surah arRum ayat 21. Entah macamana aku terfikir nak bagi mende tu, tetiba je time lalu kat bookshop depan tangga nak naik ke moot court tu, ada brothers bukak booth nyonteng mende alah tu. Aku ajak Dd singgah. Tengok-tengok teringin pulak. Heh..

Balik bilik cari ayat yang best. Bukak tafsir terus ke situ. Macam disuruh-suruh pulak baca ayat yang satu tu. Heh.. *malu*

"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir". (arRum:21)



{Dua}

Esoknya, lepas subuh aku turun dari Kolej. Berjalan dalam sejuk pagi menuju ke post guard seorang diri hari Ahad memang bukan kebiasaan aku. Tapi hari itu aku perlu membuat sesuatu supaya ianya menjadi titik permulaan.

Dia duduk di salah sebuah bangku batu di tepi jalan menuju ke KC mengadap gelanggang tenis. Dari jauh dia memandang saja aku berjalan menuju ke arahnya.

Sesampai saja aku disisinya dia berdiri.

"Saya nak balik dah pagi ni." Katanya.

"OK. Ni Iza ada bawak hadiah." Kataku pula sambil menghulurkan 2 bungkusan berbalut. Satu berbalut kertas, dan satu lagi berbalut kain biru bercorak bunga tabur berwarna putih.

"Apa ni?" tanyanya kehairanan.

"Hadiah." Jawab aku ringkas. Sambil sengih-sengih. Heh!

Dia membuka balutan kain itu. "Qur'an!" katanya sedikit menjerit. "Nak buat apa?" tanya dia lagi. Aku tersengih cuma. Seperti memahami isi hati aku, dia tersenyum. "OK, nanti saya pulangkan."

Aku tersenyum memandangnya.

Dia tersenyum memandang aku.

Tapi tak ada bunga-bunga harum jatuh di sekeliling kami atau lagu muzikal tiba-tiba berkumandang. Yang ada hanya dedaunan yang dibasahi embun pagi dan sekali-sekala menderu bunyi bas mini di jalan utama depan kampus yang berdiri megah.

Si dia bergerak meninggalkan aku sambil sempat berpesan agar menjaga diri baik-baik. Salam ku kirimkan buat kekanda dan bondanya yang berada di kampung tujuannya. Aku berjalan perlahan mendaki jalan yang berbukit untuk kembali ke bilik. Hati kecilku bertanya diriku sendiri: "senaskhah Qur'an kecil dan ayat 21 daripada surah arRum, aku melamarnya kah?" Kakiku terus melangkah perlahan mendaki anak tangga ke bilik 205 AC.



{Tiga}

Dua hari lagi 31 Ogos 2006. Genap 49 tahun kemerdekaan Malaysia. Genap juga 10 tahun perkahwinan aku dengan si dia. Alhamdulillah! :) Quran kecil berbalut kain biru bunga putih dulu telah kembali kepada aku secepat aku memberikannya kepada Abg.

Dan selepas 10 tahun ini aku berdoa agar Allah mengukuhkan lagi ikatan mawaddah wa rahmah kami sebagai suami isteri yang sah. Dan agar Allah mengurniakan kepada kami zuriat soleh yang kami tunggu selama ini, amin ya rabbal a'lamin.

Ya Allah jadikan kami suami isteri yang kasih mengasihi keranaMu, yang membimbing pasangan kami ke arah redhaMu, yang mengikuti suruhanMu, yang menjauhi laranganMu. Ya Allah, kekalkan kami di dalam kasih sayangMu, hingga abadi di dalam syurgaMu.

2 comments:

Anonymous said...

Indahnya. Tak bosan baca sampai abis...

Angah said...

Romantik aaaa kak iza...

selamat ulang tahun ke 10 perkahwinan, semoga apa yang dihajatkan diperkenankan Allah

*hugs and kisses*

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...