Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Dalam surah al-An'am, ayat 32, Allah terang-terang mengingatkan kita:
"Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?"
Ibarat seorang musafir yang berhenti sebentar melepaskan lelahnya dibawah sepohon pokok, musafir berkenaan akan bangkit berjalan semula apabila hilang penatnya. Ke mana? Tentunya menuju ke destinasi akhirnya. Entah rumahnya, atau hotel, atau kedainya. Entah..
Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam mengibaratkan kita seperti musafir tersebut. Yang hidup di dunia ini hanya sekadar melepas lelah untuk bangkit semula menuju negeri abadi. Bezanya kita dengan musafir itu, kita tahu ke mana arah tuju kita. Cuma kita tidak tahu bila kita akan sampai ke sana.
Kadangkala kita terlupa destinasi akhir kita. Sekadar berhenti berehat, dibinanya khemah. Lantas dihiasnya khemahnya dengan segala macam keperluan agar kerehatannya selesa. Sedang berehat itu, ternampak pula orang menjual bantal. Terfikir dihati, eh, kalau ada bantal ni sedap sikit. Bangun pergi beli bantal. Tak lama lepas tu nampak pulak orang melelong selimut. Terfikir lagi, hah, tak lama lagi nak malam, ada selimut ok jugak. Boleh tahan sejuk dipagi hari nanti. Bangun pulak pergi beli selimut.
Niat asal nak berehat sekejap jadi lama disebabkan selesa di port baru. Semakin hari semakin ramai yang berniaga disitu, kita pula makin kerap membeli segala macam keperluan bagi menampung kehidupan yang dah semacam bermastautin di situ. Akhirnya, rehat yang dicari pada awalnya tidak muncul jua, tapi bertambah penat kerana terpaksa menjaga begitu banyak aset takut hilang dicuri orang dan sebagainya. Sudahlah begitu, terpaksa menambah pula liabiliti untuk menambah aset kerana sudah jatuh hati pada barangan yang ditawarkan disekeliling kita.
Lantas lupa lah kita pada tujuan kita untuk ke destinasi akhir tadi. Sedangkan sewaktu keluar dari rumah kita beria-ia berjanji untuk melaksanakan kewajipan kita untuk sampai ke destinasi akhir dengan matlamat yang satu. Maka bila diajak bergerak semula untuk melangkah ke destinasi akhir, hati kita berat sungguh sehingga kita menolak kemungkinan yang kita perlu meninggalkan kawasan rehat kita tadi.
Ya Allah!
"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar." al-Asr:1-3
Jadikan kami orang yang beruntung di dunia dan akhirat!
No comments:
Post a Comment