Wednesday, January 24, 2007

Korban

Jika ditanya pada yang berkorban, mungkin jawapannya dalam hati: "tiada yang lebih mengerti tentang pengorbanan lebih dari aku."

Jika disoal pada yang dikorbankan, mungkin riak pada wajahnya menggambarkan perasaan kesal kerana dikorbankan tanpa rela.

Jika diaju pada yang terkorban, mungkin balasnya: ini hari mereka, belum hari dia.

...

Hikayatnya : ramai yang menyangka mereka telah berkorban. Demi kepentingan pihak lain. Demi kesenangan yang tersayang. Walaupun jauh disudut hati mereka, mereka menangis pilu mengenangkan apa yang telah dikorbankan.

Hakikatnya : hanya sedikit yang diterima Allah korban mereka. Kerana bukan mudah untuk berkorban, apatah lagi bila yang menerima pengorbanan itu keluarga terdekat. Korang faham tak?

Begini, biasanya bila kita 'berkorban', tentunya kita memikirkan perkara tersebut. Kita ambil contoh mudahlah, karipap sedap yang mak goreng tinggal satu je dalam pinggan. Kita baru nak pegang, adik jeling. Kita pun fikir, takpe lah, untuk mu adik, aku rela berkorban! Ewah! Lalu tangan kita mengambil karipap itu, dan dihulurkan kepada adik tersayang.

Malam tiba. Sesuatu berlaku lalu kita berselisih dengan adik. Bukan besar pun halnya, berebut remote control nak tengok TV! Tiba-tiba terpacul dari mulut kita: "Haa, tadi siang aku kan dah bagi karipap kat engkau. Malam ni engkau bagi la pulak remote tu kat aku!" Uiks!

Pengorbanan memerlukan keikhlasan. Tanpa keikhlasan, semua yang kita korbankan tiada maknanya. Hancur terus jadi abu. Tiada setitik pun kebaikan didalamnya. Sebaliknya, timbul pula rasa riak, takbur serta ujub. Riak bila orang menyebut-nyebut 'pengorbanan' yang kita lakukan. Takbur dengan 'sifat baik' yang ada pada diri. Juga ujub memikirkan kehebatan diri! Astaghfirullah... na'uzubillah!

Firman Allah dalam surah al Hajj, ayat 37, maksudnya:

"Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya".

Ya Allah, jadikan kami hambaMu yang ikhlas, amin.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...