Monday, September 27, 2004

Hadith hari ini: Di manakah punca kebinasaan seseorang?

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Selagi akan datang satu masa di mana orang yang beriman tidak akan dapat menyelamatkan imannya, kecuali bila ia lari membawanya dari suatu puncak bukit ke puncak bukit yang lain, dan dari suatu lubang ke lubang yang lain. Maka apabila zaman itu telah terjadi, segala pencarian (pendapatan kehidupan) tidak dapat dicapai kecuali dengan perkara yang membabitkan kemurkaan Allah s.w.t..

Maka apabila ini telah terjadi, kebinasaan seseorang adalah berpunca dari menepati kehendak isterinya dan anak-anaknya. Kalau ia tidak mempunyai isteri dan anak, maka kebinasaannya adalah berpunca dari menepati kehendak kedua orang tuanya. Dan jikalau orang tuanya sudah tiada lagi, maka kebinasaannya adalah berpunca dari menepati kehendak kaum kerabatnya (adik beradiknya sendiri) atau dari menepati kehendak jirannya".

Sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah s.a.w. apakah maksud perkataan engkau itu?" (kebinasaan seseorang dari kerana isterinya, atau anaknya, atau orang tuanya, atau keluarganya, atau jirannya).

Nabi s.a.w. menjawab, "Mereka akan mencelanya dan mengaibkannya dengan kesempitan kehidupannya. Maka dari kerana itu ia terpaksa melayan kehendak mereka dengan menceburkan dirinya dijurang-jurang kebinasaan yang akan menghancurkan dirinya."
Hadith riwayat al-Baihaqi

Sunday, September 26, 2004

Minggu depan, hari Jumaat lepas kerja, aku dan Abg InsyaAllah akan pergi hantar Abah dan Mama ke Alor Setar sekali lagi. Kali ni Mama pun akan turut serta. Bukan hanya menghantar Abah. Diorang akan mendaftar untuk modul ke dua kelas pengajian di Akademi Warga Emas di Kompleks AlBukhari, Jln. Langgar, Alor Setar.

Masa Abah balik lepas modul satu dulu, suka hatinya bukan kepalang. Abah nampak fresh dengan ilmu yang diingatkan kembali. Walaupun berseorangan di sana, dia seronok sebab dapat pengalaman baru, kawan baru, dan paling penting ilmu baru.

Akademi Warga Emas tu terbuka pada semua yang berumur 45 tahun ke atas. Ke 50 aa'? tak ingat la pulak. Yuran pembelajaran hanya RM80 untuk 10 hari. Tempat tinggal, nota dan makan disediakan. Kalau ikut kata pengurusan, kos sebenar sehari ialah RM25, tapi disubsidikan oleh Al Bukhary sendiri. Alaa.. antara yang sepuluh orang terkaya di Malaysia tu. So, tinggal ler RM8 je sehari.

Aku rasa usahanya sungguh murni. Tempat tinggal (asrama) tak kurang hebatnya. Setiap peserta dapat duduk dua orang sebilik di asrama yang ada empat ke tiga tingkat tah. Dia akan ikut tahap kesihatan, kalau lagi sihat, lagi tinggi le kena duduk.. sebab orang tua kan. Kalau sakit kat bawah sket. Orang perempuan duduk ground floor. Tapi kalau sakit sangat dia tak terima belajar, takut masalah kemudian. Jadinya, adalah seorang pakcik tu yang sakit, tapi mengaku sihat sebab nak pastikan diterima. Dia kena duduk tingkat atas sekali. Aduh..mencungap kawan tu!

Dalam kawasan tu juga ada rumah anak yatim under Yayasan Al Bukhary ni juga. Anak-anak yatim tu diambil start dari umur 10 tahun hinggalah sampai habis belajar peringkat universiti. Semuanya ditanggung oleh Yayasan. Bukan main bersopan lagi budak-budak tu. Berlari-lari nak menolong angkat beg. Kalau tengah main Abah kata, bila nampak je orang tua lalu, berlari-lari nak bersalam dan cium tangan orang tua. Cantik sungguh didikan yang diberi.

Disamping tu juga, ada pelajar asing dari Arab Saudi, Pakistan, Uzbekistan dan beberapa negara lain yang belajar Bahasa Inggeris di situ. Pelajar-pelajar tu aku tak taulah samada yatim juga atau hanya sekadar pelajar miskin. Mereka ditanggung oleh Yayasan untuk mahir Bahasa Inggeris dan kemudian akan didapatkan tempat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Pembelajaran mereka akan ditanggung sampai bergelar graduan.

Ya Allah, murni sungguh usaha Sheikh Bukhary ni. Aku? Aku hanya mampu sekadar yang aku mampu jer la. Semoga usaha beliau dibalas sewajarnya dengan ganjaran Maha Hebat dari Mu, Ya Allah. Amin.

Saturday, September 25, 2004

Shedih ker Caahh??... Ala..alaaa.....
Hehe.. ni anak sedara aku, Masnur Aisyah namanya. Umurnya setahun dua bulan. Bijaknya bukan main lagi. Aisyah pandai mengambil hati orang. Kalau dia berjumpa Paklong nya, pasti senget-senget kepalanya meng'caak' kan Paklongnya. Kalau jumpa dengan Abg pulak, dari jauh tinggi tangannya diangkat meng'hai' kan Pakngahnya. Bila nampak Aki dia, dua tangan dihulur minta didukung.



Aisyah kuat makan. Lahirnya kecil 2.8 kg. Sekarang dan 11 kilo lebih. Baru setahun.. hehe.. menurun family aku la tu. Paling best bila dia dengar lagu, tengah menangis pun boleh diam sambil badannya melenggok-lenggok ikut rentak lagu. Tangannya pulak ditepuk-tepuk tapi tak berbunyi. Habis lagu, tangisannya disambung kembali.

Hehe.. Cah..Cah..
Semoga Allah melindungi Aisyah sekeluarga. Semoga dia menjadi anak yang solehah dan taat kepada suruhan Mu, Ya Allah.

Friday, September 24, 2004

Terlalu lantang bersuara boleh menyebabkan orang tak suka kepada kita. Maybe aku dah cross the line bila menegur seorang teman. Hasilnya, dia marah pada aku..

Maafkan aku, teman. Sorrylah.. aku memang tak boleh bertolak ansur bila tiba part aqidah. Maafkan aku sekali lagi.

Astaghfirullah...

Thursday, September 23, 2004

Hari Selasa baru ni aku turut sama menghadiri Majlis Konvokesyen pelajar Ijazah dan Diploma Kerjasama UPM-IPTS. Sebelum tu, entah macamana nama aku naik, boss soh ikut. Aku pun ikut jer la. He..he... Dapat ler pakai robe merah dan mortar board buat kali kedua masuk dewan yang tersergam gah dengan pelbagai kenangan kejayaan ilmiah manusia bergelar graduan.

Ini pengalaman pertama aku berjalan masuk di dalam perarakan Akademik. Nak kata bangga, tak.. nak kata tak bangga... tak juga. Heh..heh.. pendeknya, bila dah dikelilingi ilmuwan sanjungan begitu, aku merasa besar hati. Dapat berjalan seiring. Time masuk dewan tu, aku berdebar-debar.. first time ler katakan..

Dalam hati aku, hehe.. bila la agaknya dapat join perarakan Naib Canselor? Heh, berangan tak habis. Tengok orang pakai topi lembik, teringin juga. Borang permohonan masih bersih tanpa ink setitik tersimpan dalam laci. Camner nak bertopi lembik? Takde daya juang langsung, cet! Iza.. apa daa...

Waktu duduk menyaksikan graduan menerima Ijazah dan Diploma tu, terfikir aku.. tiga empat tahun kita berhempas-pulas, hanya untuk pengiktirafan yang tak tahu la selama mana boleh digunakan. Hanya untuk pengiktirafan tentang ilmu yang kononnya ada di dalam dada, tapi tak tahu lah selama mana boleh diamalkan. Sejauh mana ilmu itu boleh membantu orang sekeliling pun tak juga kita tahu. Namun, kita tetap bersungguh-sungguh untuk itu. Untuk dunia sementara.

Untuk dunia abadi kita, bagaimana pula? Tak ramai yang sanggup berhempas pulas sebegitu. Ramai pula yang cuba mengabaikannya dengan melanggar segala perintah dan suruhan Yang Esa. Mungkin sebab tak nampak lagi dek mata majlis anugerah gilang gemilang mizan dikeluarkan. Mungkin tak terbau lagi harum syurga tempat bersemayam di dalam istana. Mungkin tak terasa lagi bahang panas neraka mungjulang. Ya Allah... lemahnya iman kami. Hanya kerana tidak ditunjukkan, iman yang ada pun boleh hilang. Astaghfirullah..

Imam Ghazali menyampaikan nasihatnya melalui Imam as-Shibli berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w.:
"Bekerjalah kamu untuk duniamu sekadar tempoh kamu akan tinggal di dalamnya, dan beramallah untuk akhiratmu sekadar waktu kamu akan berada di sana. Beramallah kepada Allah dan beramallah kerana Allah sebagaimana kamu berhajat kepada-Nya. Akhirnya buatlah sebarang amalan yang memasukkan kamu ke dalam api neraka sekadar mana kamu bersabar, dan mampu menahan seksaannya."

Rasul s.a.w. pesan nak kerja, kerja kuat-kuat, untuk selama mana kita hidup. Nak beribadah pun sebagai bekalan akhirat, beribadahlah sebanyak-banyaknya, untuk selama mana kita akan berada disana nanti. Akhirat tu abadan abada.. selama-lamanya.. cukup ke amalan yang aku bawa? Yakin ker aku diterima semua amalan yang ada? Kalau banyak sekalipun, yakin ker aku tidak muflis di hadapan Allah tatkala orang ramai menuntut hak mereka dari aku di Mahsyar nanti? Ya Allaaahhhh!!

Bila kenangkan semua ini, lembik rasa lutut.. lemah rasa jiwa. Tapi aku yakin maghfirahMu dan kasih sayang Mu mengatasi kemarahanMu.. Kuatkan semangatku Ya Allah, tetapkan iman kami., amin.


Wednesday, September 15, 2004

Janji pukul sepuluh.. pukul 12 pun tak siap-siap lagi! Argghhhh!!
Geram betul aku. Itu lah, masa aku tanya pukul berapa siap, dengan sombong dia kata "pukul sepuluh la.. kedai buka". Yang aku ni, macam ribut meluncur ke kedai kecik bawah apartment tengah bandar.. sambil drive aku telefon Zam suruh ready.. "ha ah, akak balik ambil Zam.. ready ya.. 1/2 jam lagi akak sampai.."

Hmm.. hampeh.. hampeh tul c*na tu.. geram tul aku.. disebabkan dia, kami terlewat seminggu lebih menghantar order pelanggan. Memula dia janji minggu lepas. Masuk minggu ni dah lima nam kali dia delay. Lenkali, kalau takder hal, jangan harap ler aku nak pi situ lagi dah..

Aku pun jadi mungkir janji dengan Zam..kata 1/2 jam, jadi ntah berapa jam tah.. :(

Manusia kan.. janji la kut mana pun.. 'wa ma karuu wa ma karAllah.. wAllahu khairul maakirin'. Allahlah perancang terbaik. Janji Allah tak pernah dusta. Janji Allah tak mungkin dimungkiri. Aku yakin dengan tu.. dan aku tau ramai lagi yang yakin macam aku.. tapi ramai jugak yang buat tak endah...

Perkataan Allah terlalu suci untuk kita bahaskan tanpa ilmu. Namun, tidak juga patut kita jauhi hanya kerana bimbang tersalah faham. Kalau kita bersikap begitu, yang lalai semakin lalai.. yang lagha semakin lagha..

Allah berfirman dalam surah An-Nisa ayat 82:"Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya."

Isi Qur'an itulah janji yang pasti.. isi Qur'an itulah kenyataan yang akan tiba..

Ya Allah.. sayunya hati mengenangkan hari manusia menjerit melolong memohon dikembalikan ke dunia.. walau seminit.. hanya untuk mengakui kebesaranMu.

Selamatkanlah umat Islam zaman fitan ini, Ya Allah.


Tuesday, September 14, 2004

Malam tadi dengan amannya Mama tido.. tak seperti malam-malam sebelum ni.. Hamba Allah dua beradik tu dah arwah lepas kenyang dengan habuan ikan bilis tumbuk campur arsenik. Takde dah malam Mama dikejutkan dengan aksi akrobatik Si Jerry. Takde dah malam Mama dikejutkan dengan larian lompat kijang Si Mickey.

Walau bagaimana pun, aku sebenarnya saksi kejadian malam tu. Lepas melantak, ntah macamana, Jerry duduk senyap ditepi katil bilik Mama. Mama kejutkan aku tepat pukul 12.03 pagi. (Oh ya.. aku tido ngan Mama, hehe.. Abah ngan Abg dua-dua outstation) Proses nyawa ditarik dari Jerry sangat memilukan hati. Lepas summersault sekali (yang menyebabkan aku dan Mama dua-dua menjerit ala Ning Baizura), Jerry berpusing-pusing dalam keadaan mengiring. Toing..toing..toing.. ke kanan, ke kiri, kejap ke depan..

Aku lemah tengok perkara yang begitu happening di depan mata aku. Terbayang-bayang aku bagaimana agaknya orang-orang yang membunuh diri dengan meracun diri sendiri.. Dah ler azab di dunia, di neraka nanti terpaksa mengulang-ngulang kejadian yang sama.. na'uzubillah..

Ya Allah.. hambaMu yang berdosa ini sungguh lemah dalam menghadapi maut. Kau temukanlah aku dengan husnul khatimah.. Kau jauhkan aku dari su'ul khatimah, Ya Allah.. amin ya rabbal a'lamin.

Monday, September 13, 2004

Hadis hari ni..

" Dari Amirul Mukminin Umar Al-Khattab r.a katanya : " Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : - ' Hanyasanya amalan-amalan itu adalah (bergantung) kepada niat, dan hanyasanya bagi setiap manusia itu apa (balasan) yang diniatkannya. Maka barangsiapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu adalah kepada Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa yang berhijrah kerana dunia yang ingin ia memperolehinya atau kerana seorang perempuan yang ingin ia menikahinya, maka hijrahnya itu adalah atas apa yang ia berhijrah kerananya.'


Cerita hari ni..

Semalam aku menyelongkar barang abah. Aku jumpa kaset Nada Murni terbitan OVA. Nostalgia mula la datang balik.. Pagi tadi dalam kerete on the way to pejabat, lepas drop Nor kat sekolah dia aku pasang kaset tu.

Lagu-lagu nasyid tanpa muzik mula kedengaran. Aku pun mula la ikut. Heheh.. memang pantang dengar.. Pas tu aku dengar, "utamakan lah pandangan Allah.. daripada pandangan manusia.. utamakan laahh pandangan Allah, daripada pandangan manusia..."

Jauh umat Islam sekarang dari apa yang diajak dalam nyanyian itu. Bukan kata dalam beribadah sahaja, cara hidup umat Islam sekarang lebih dijajah dengan konsep Yahudi yang sememangnya setiap saat dan waktu berusaha untuk menjatuhkan nilai agama dan budaya Islam.

Aku bukanlah seorang yang tidak langsung berhibur atau berpuasa lima hari seminggu atau jalan menunduk tidak memandang kaum ajnabi. Namun aku sedih bila ada orang disekeliling aku yang terlalu mengagungkan dunia dan menghina agama yang aku junjung.

Ya Allah.. hidupkan aku dalam maghfirahMu, jadikan aku hamba Mu yang taat dan solehah.. amin.

Wednesday, September 08, 2004

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...