Saturday, November 27, 2004

"Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepada Ku lah kembalimu"

Itu adalah firman Allah azza wajalla di dalam surah Luqman ayat yang ke 14.
Bila aku ingat tentang suruhan Allah yang satu ni, hati aku sering kali rasa sedih yang amat sangat. Bukan sebab aku nak jadi anak derhaka. Bukan juga anak aku derhaka pada aku.

Tapi sebab terlalu ramai anak yang membuang ibubapa sendiri di zaman ini. Bila kes orang buang anak tu memang la tak berhati perut. Tapi kes orang buang mak ayah ni lagiiiiiii lah aku tak setuju.

Ada banyak cara bagaiman orang buang ibubapa sendiri. Ada yang terus tidak mengaku ibubapa. Ada yang lari dari rumah, cuba menolak hakikat ibubapanya masih wujud. Ada yang memperhambakan ibubapa menjaga cucu yang kian ramai, menarik keistimewaan ibubapa yang perlu dimuliakan dan disanjung dihari tua.

Nabi Muhammad sallahu 'alaihi wa sallam pernah bersabda yang menyatakan tentang bagaimana seorang ibu itu akan mendapat pahala yang bertambah-tambah selama mana dia tinggal dengan anaknya (yang sudah dewasa). Aku tak faham tentang maksud Baginda sallahu 'alaihi wa sallam pada mulanya. Pastinya Rasul itu al-Amin, maka sesungguhnya aku yang jahil. Sangkaku tentulah anaknya yang mendapat pahala kerana membantu ibunya dan menjaganya. Bertahun-tahun aku mencari maksud sabda Baginda sallahu 'alaihi wa sallam.

Akhirnya Allah tunjukkan kepadaku dengan contoh yang paling jelas berlaku di hadapan mata. Sesungguhnya ibu yang tua itu banyak kerenahnya. Hati yang muda tak sanggup melayan satu persatu. Maka keluarlah herdik tengking seorang anak yang dikasihi berpuluh tahun lamanya. Ya Allah..

Aku terus ditunjukkan hidayahNya. Anak yang berzina, anak yang menghisap dadah, anak yang mencuri, pulang ke pangkuan ibu..Ibu sayang kan kau wahai anak. Ibu masih boleh peluk anak itu. Ibu masih boleh cium anak itu. Tanpa rasa jijik. Tanpa rasa marah.

Ibu yang tua berkerenah besar. Sekejap begini sekejap begitu. Ada yang tiba-tiba berhajat nak balik kampung, hendak duduk sendirian sementara menanti ajal. Ada yang tiba-tiba berhajat untuk mencari pasangan baru setelah sekian lama menyendiri. Ada yang tiba-tiba berhajat untuk berjalan pusing dunia sebelum tutup mata. Bagi seorang anak, dia tak mampu nak layan itu semua. Paling senang dia akan suruh ibunya duduk sahaja dirumah menanti. Bila pergaduhan berlaku antara mereka, anaknya akan mudah melafazkan herdik tengking berbanding ibunya sewaktu muda dulu.

Ya Allah, jauhkan aku dari semua itu. Jadikan aku anak yang soleh. amin ya Rabbal a'lamin.


No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...