Ramadhan dah berlalu bagi tahun hijrah 1425 ni. Bagi orang-orang yang 'dekat' dengan Tuhannya tentu mereka sedih dengan pemergian Ramadhan yang mulia. Bagi orang-orang yang berharap dan menagih kasih Tuhannya, tentu mereka mengharapkan agar dipanjangkan usia agar dapat lagi bertemu bulan yang mengandungi Malam Kemuliaan.
Semacam hidup kita juga yang sentiasa ada peperiksaan begitu juga bulan Ramadhan sebagai satu kayu ukur dalam tingkatan amalan dan ketaqwaan kita. Kalau di dalam kehidupan duniawi, pelajar sekolah suka atau tidak akan menghadapi PMR dan SPM. Setidak-tidaknya peperiksaan akhir tahun setiap kali nak melangkah ke tingkatan yang lebih tinggi. Penuntut universiti pula pastinya mencongak-congak CGPA apabila selesai peperiksaan bagi setiap semester. Anda pekerja kerajaan? Pun tak ketinggalan, peperiksaan untuk confirm jawatan, peperiksaan untuk kenaikan pangkat, atau mungkin juga peperiksaan untuk tukar jabatan. Nak kahwin pun ada peperiksaan juga walaupun tak lah selama peperiksaan sekolah rendah.
Bulan Ramadhan yang baru berlalu umpama peperiksaan untuk kita praktikkan ajaran yang kita perolehi selama ini. Bahagian adabnya, bahagian tauhidnya, bahagian feqahnya dan juga bahagian mua'malat.
Adab orang yang berpuasa tentunya lebih baik dari mereka yang tidak. Walaupun perut keroncong, tapi kesabaran masih boleh ditahan. Wajah manis dengan senyuman dan kederatnya, wah! Jauh lebih hebat dari hari-hari biasa. Sudahlah bangun bersahur dinihari, siangnya bekerja, waktu malamnya pergi bertarawih pula. Sebelum sahur sempat pulak luangkan masa untuk tahajjud! Masya Allah, hebatnya!
Tauhidnya pula pastinya utuh. Yakin dengan kewujudan Ilah walaupun bersendirian. Tidak terfikir untuk meneguk air sewaktu berwudhu'. Tidak terlintas untuk berdusta walaupun tiada yang tahu kebenarannya. Terlanjur mengumpat segera disusuli ucapan 'astaghfirullah'. Masya allah, bagusnya!
Feqah orang berpuasa tentu sahaja menjadi keutamaannya. Maklumlah, jika tidak tahu feqahnya, sia-sia sahaja dia berlapar dan dahaga. Tentunya niat puasa fasih dibibir. Doa berbuka dan bersahur sentiasa terucap sewaktu menghadapi hidangan. Duitnya juga tentunya yang halal untuk diberi makan anak dan isteri kesayangan. Apatah lagi untuk dihulur sebagai zakat fitrah dihujung Ramadhan. Waktu solat berjemaahnya pula, saf dijaga agar tidak terputus. Jika tidak sia-sia tunggang-tunggik berpuluh raka'at jika solatnya tidak diterima.
Mu'amalah orang yang berpuasa pula pastinya cantik dan halus dipandang mata. Semua golongan hampir sama tarafnya. Engkau lapar aku pun lapar. Waktu berbuka kita sama-sama makan apa yang ada. Herdik tengking pada si miskin jauh sekali. Tambah kesian lagi ada. Lepas bertarawih bersalaman dengan orang yang tidak dikenali seolah-olah sudah menjadi lumrah kita selama ini. Senyuman manis dan kata-kata selamat meniti dibibir. Selamat berpuasa, selamat berbuka, selamat bersahur. Macam dalam syurga lah pulak, Salam! Salam! Masya Allah! Cantiknya mua'malah orang yang berpuasa!
Tiba Syawal kini, seharusnya kita meniru penuntut U yang mencongak CGPA. Apakah iman kita berjaya naik setingkat lagi? Apakah taqwa kita berjaya melangkah ke atas lagi? Trampilkah kita? Atau masih ditakuk lama?
Taqabbal Allahu minni wa min kum! insya Allah..
No comments:
Post a Comment