Taubat
oleh:izalatif
Langkah yang tak pasti
Dalam hidup kita ni, tak ada langkah yang pasti dan tak ada langkah yang tetap. Semuanya berubah-ubah. Semuanya adalah berdasarkan pilihan kita sebelum ini. Dan setiap langkah itu juga tidak ada satu pun yang betul melainkan ianya diizinkan Allah.
Pertama sekali kita mesti faham konsep 'hamba'. Dari satu aspek, sebagai hamba, kita berhak tanya pada 'tuan' kita kenapa ini mesti jadi pada aku? Kalau hamba kita itu manusia seperti kita, kemungkinan besar dia akan jawab soalan kita dengan alasan-alasan tertentu.
Tapi kalau 'tuan' kita tu adalah Allah, ada dua keadaan akan berlaku. Keadaan pertama, kita mungkin akan dapat terus jawapannya. Dan jawapan ini pulak biasanya di beri melalui dua cara. Cara pertama kita 'nampak' dengan jelas, atau kita tahu.. "haa, inilah yang Allah nak bagi tahu kita".
Cara yang kedua kita tak berapa nampak, atau tak nampak langsung. Dan kita tak sedar pun yang Allah dah 'bagi tahu' kita jawapannya. Semua ni bergantung pada iman kita sebenarnya.
Allah berfirman dalam surah Al-Insan ayat 2 dan 3:"Kami telah memberikan mereka penglihatan dan pendengaran dan sama ada dia bersyukur atau tidak terhadap rahmat kami, kami telah menunjukkan kepadanya jalan yang benar".
Keadaan yang kedua pulak, kita tak akan dapat jawapannya terus. Penerangannya ditangguhkan. Lama mana tak tentu. Ada yang sehari, ada yang seminggu, ada yang setahun, dan mungkin jugak makan masa bertahun-tahun. Tapi bila jawapannya tiba, insya Allah kita akan tahu jugak. Dan masa tu terdetik dalam hati kita "oo, patutlah aku jadi gini-gini" atau " Ya Allah, nasib baik la jadi gini, kalau tak mesti dah gitu." Dan ketika itu jugak, sebagai hamba yang sedar, hati kita akan terus mengucapkan kesyukuran ke hadrat Ilahi.
Kenapa jadi gitu? Sebabnya jelas. Allah berfirman dalam surah Al Qaaf ayat 16:"Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya."
Allah yang jadikan kita, pastinya dia yang lebih tahu apa yang terbaik untuk kita. kita kena
yakin dengan ini. Yakin sungguh-sungguh!
Taubat pengubat duka
Sekarang bila kita dah faham konsep hamba, kita kena pulak faham yang hamba mempunyai pilihan untuk melakukan sesuatu. Tepat dengan langkah yang tak pasti tadi, langkah kita mungkin akan tersasar. Tak sikit banyak. Tak banyak sikit. Ada juga kalanya langkah kita akan tepat pada sasaran. Di atas jalan yang lurus. Bila itu berlaku, wajib kita mengucapkan syukur. Tapi bila tersasar, wajib pula kita cepat-cepat beristighfar.
Bila tersasar, kalau sikit tersasarnya, mungkin cukup dengan kita mengucapkan istighfar. Tambah sikit dengan melakukan amalan lain yang baik, insya Allah kosong balik timbangan
dosa kita.
Tapi kalau banyak tersasarnya, tak cukup hanya dengan istighfar sahaja. Kena bertaubat. Taubat pula bukan taubat sambal lada. Bila hilang peritnya buat lagi. Bukan. Mesti taubat nasuha. Taubat yang sungguh-sungguh. Taubat yang benar-benar mohon ampun dari Allah 'azza wajalla.
Sebenarnya, bukan kena tunggu solat taubat, bila kita solat fardhu atau solat sunat pun Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang dan Maha Penerima Taubat dah pun ampunkan dosa-dosa kecil kita. Sabda Nabi sallahu 'alaihi wasallam yang bermaksud: "Sesungguhnya seorang hamba apabila dia berdiri sembahyang maka diletakkan semua dosa-dosanya di atas kepala dan kedua bahunya maka setiap kali dia rukuk atau sujud berjatuhanlah dosa-dosa itu". (Riwayat Atthabarani & Albaihaqi dari Ibnu Umar r.a.)
Bila dosa besar yang kita lakukan, kita panjangkan sikit solat kita.. jadikan ianya solat taubat. Menyesal lah atas apa yang kita lakukan. Mohon ampun sungguh-sungguh dari Allah. Keluarkanlah air mata kita. Kalau susah sangat nak menangis, cuba bayangkan jenazah kita dikelilingi keluarga. Bayangkan jenazah kita dimasukkan ke dalam kubur. Bayangkan kegelapan kubur. Sendiri kita di sana. Siapa yang akan menemani kita? Siapa yang akan membantu kita? Kalau kita dalam keadaan berdosa besar, melanggar perintah Allah, nak tak Allah tengok muka kita? Kalau Allah tak nak tengok siapa lagi nak tengok? Siapa? Siapa??
Tak ada orang nak tengok. Sebab kita dah jadi jenazah. Sebab kalau kita bangun balik kita jadi hantu. Jadi kita kena mintak maaf! Kita kena mohon ampun! Ya Allah, kalau Engkau taknak terima aku siapa lagi yang nak terima aku?
Orang yang enggan bertaubat adalah orang yang sombong
Bila kita berdosa, dan kita tak mahu bertaubat, kita sombong sesungguhnya! Sebagai hamba, kalau kita dah buat silap, lepas tu kita tak mengaku, tidakkah sombong namanya itu?
Sesungguhnya dosa kita itu adalah sebagai ujian pada kita. Hakikat kita 'tidak sedarkan diri' sewaktu melakukan dosa adalah sesuatu yang nyata. Tapi hakikat kita tidak mahu menuntut keampunan adalah sesuatu yang dicipta. Nabi sallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda yang antara lain menerangkan bahawa tidak sempurna iman seseorang itu sewaktu dia melakukan perbuatan mencuri atau berzina.
Jadi, apalah salahnya jika kita sujud bertaubat untuk memohon kesalahan yang kita buat sewaktu kekurangan kita tadi. Taubat tu pulak jika kita buat dengan bersungguh-sungguh, diiringi dengat azam tidak akan melakukan lagi dosa yang terlanjur ditangan kita, insya Allah.. yakinlah, Allah Maha Penerima Taubat.
Tapi jika kita terus-terusan melakukan perkara maksiat, atau terus-terusan menidakkan keagungan Allah sebagai Maha Pengampun.. kita merugikan diri sendiri. Ada juga yang merasakan taubatnya hanya sia-sia kerana tidak meyakini Allah dapat mengampunkan dosanya. Perilaku ini boleh digambarkan seperti orang yang sudah putus asa dari rahmat dan kasih sayang Allah.
Dalam surah Yusuf, ayat 87, Allah telah berfirman: "Bahawa sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir".
Allah menegaskan lagi dalam surah al Hijr ayat 56: "Dan tidak ada yang berputus asa dari rahmat Tuhannya, kecuali orang-orang yang sesat".
Sudahlah kita berdosa, hendakkah kita digolongkan dalam golongan yang sesat pula?
Na'uzubillahi min zaalik!
Ya Allah, golongkanlah kami di dalam golongan orang-orang yang bertaubat, sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat.
No comments:
Post a Comment