Saturday, October 23, 2004

Kisah Nabi Musa a.s. (Bhg.1)

Sewaktu Fir'aun bermaharajalela, Allah telah mengutuskan Nabi Musa a.s. untuk menyampaikan seruan Islam.

Firman Allah: :"Datangilah kaum yang zalim itu iaitu kaum Fir'aun. Mengapa mereka tidak bertaqwa?"

Jawab Nabi Musa a.s. : "Ya Tuhanku, sesungguhnya aku takut bahwa mereka akan mendustakan aku. Dan (kerananya) sempitlah dadaku dan tidak lancar lidahku. Maka utuslah Jibril kepada Harun."

Nabi Musa telah memohon kepada Allah s.w.t. agar melantik Nabi Harun a.s. menjadi rasul untuk membantunya. Nabi Musa lantas teringatkan kejadian di Memphis sebelum itu.

Waktu tengahari itu, tatkala Nabi Musa sampai di kota Memphis, baginda ternampak dua orang lelaki yang sedang bergaduh. Seorang dari Bani Israil manakala seorang lagi dari kalangan kaum Fir'aun. Nabi Musa a.s. pula ialah salah seorang Bani Israil.

Apabila ternampak Nabi Musa a.s., lelaki Bani Israil itu segera meminta pertolongan darinya. Nabi Musa a.s. tanpa berlengah terus menolong pemuda itu. Nabi Musa a.s. telah menumbuk pemuda dari kaum Fir'aun itu. Dengan takdir Allah s.w.t., pemuda itu telah mati di tangan Nabi Musa a.s.

Nabi Musa terkejut kerana pemuda itu menemui ajalnya sedangkan baginda tidak bermaksud membunuhnya. Lantas baginda berkata: "Ini adalah perbuatan syaitan. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang menyesatkan lagi nyata (permusuhannya)."

Nabi Musa a.s. menyesal di atas kematian pemuda itu. Baginda terus berdoa: "Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diriku sendiri kerana itu ampunilah aku".

Pulih dari ingatannya yang lampau, Nabi Musa a.s. berkata lagi : "Dan aku berdosa terhadap mereka maka aku takut mereka akan membunuhku".

Mendengarkan rintihan rasulNya itu, Allah berfirman: "Jangan takut (mereka tidak akan dapat membunuhmu), maka pergilah kamu berdua dengan membawa ayat-ayat Kami (mukjizat-mukjizat); sesungguhnya Kami bersamamu mendengarkan (apa-apa yang mereka katakan). Maka datanglah kamu berdua kepada Fir'aun dan katakanlah olehmu: "Sesungguhnya kami adalah Rasul Tuhan semesta alam, lepaskan Bani israil (pergi) beserta kami".


rujukan:
Asy-Syu'araa :10-17
Al-Qashash : 15-16







No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...