Monday, December 10, 2007

Hard Rock (Cafe?)

Dalam hidup manusia ni, ada yang akan jumpa satu persimpangan dimana dia perlu buat sesuatu yang drastic bagi menjayakan turning point bagi hidupnya.

Kadang kala, dia tak sedar. Bila dah sebulan dua, atau mungkin setahun dua, baru dia sedar. Aah.. itulah turning point hidup aku.

Kadang kala dia sedar. Inilah masanya aku kena berubah.

Bila sedar itu, bersyukurlah. Sebab itu tandanya hati kita masih lembut. Tidak sekeras batu. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 74, bermaksud:

"Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan".

Kisah tentang kaum Nabi Musa ini, yang berdolak dalih dengan perintah untuk mengorbankan seekor lembu harus jadi pengajaran kepada kita. Bukan saja dengan Nabi, malahan menentang Allah tanpa rasa malu sebagai hamba. (Maunya tak malu, tak rasa diri mereka hamba!) Nastaghfirullah!

Kehidupan hari ini menuntut kita lebih banyak melawan nafsu dari terus bermaharajalela. Nafsu keduniaan yang mengajak manusia terus-terusan mencari kemewahan tanpa mengira saudara yang merempat memerlukan bantuan. Nafsu kesoronokan yang memanggil manusia lalai dalam menjalankan tanggungjawab sebagai hamba Allah.

Bukan mudah nak melawan nafsu, tambahan pula bila hati dah jadi sekeras batu. Mau tidaknya, hari-hari melihat aurat ajnabi. Hari-hari mengumpat mengeji. Tidak rakan sekerja, pemimpin kita. Eheh.. Paling tidak pun artis-artis yang biasa menjadi sanjungan anak muda.

Bukan mudah nak melawan nafsu...

Tapi bila ada keinginan, insya Allah Dia izinkan. Bila diizinkan, mudahlah bagi kita. Yang perlu, tawakkal dan usaha.. kemudian banyakkan berdoa. Tak kira apa pun.. pasti dimudahkan. Insya Allah. Kita kena yakin denganNya.

Ya Allah, lembutkanlah hati-hati kami. Peliharalah kami dalam kebaikan dunia dan akhirat ya Allah! amin.

Sunday, December 09, 2007


Menaruh harapan

Dalam dunia ni, kalau ada kes nak bunuh diri ke.. atau nak dibunuh ke.. atau apa-apa jer lah kes yang nak nyawa mereka ditarik, puncanya aku yakin sebab mereka dah tak ada harapan.

Harapan tu asas kehidupan manusia ni. Ops.. jangan salah faham. Maksud asas di sini, kalau tak ada harapan, manusia tu aku yakin tak ada keinginan nak hidup lagi. Erkk.. tak der lah statistik nak menyatakan pendapat aku tu 100% betul. Tapi cuba kita tengok...

Kalau orang sakit, bila dia dah tak ada harapan nak sembuh.. fikirannya hanya nak tunggu ajal tiba. Jadi segala yang dibuat adalah persiapan untuk menghadapi maut. Minta maaf dari saudara mara. Siapkan kan wasiat. Bayar hutang.. kalau mampu lah.. Dan lain-lain yang mampu difikirkan waktu tu. Tak ada pulak dia nak tempah tiket untuk melancong sana sini sebab tau nak menunggu ajal. Tak ada juga cepat-cepat pergi kedai kain nak beli kain sekayu dua sebab takut tak sempat pakai busana fesyen terkini. Kenapa? Sebab tak ada harapan untuk itu.

Kalau orang putus kasih pula, bila dah tak ada harapan nak rujuk kembali dengan buah hati.. fikirannya hanya nak membinasakan diri. Seolah-olah sudah tiada sebab untuk dia hidup lagi. Tidak pun jadi jauh hati dengan kaum buah hati tadi. Tiada harapan nak berbaik semula. Hambar dunia di rasakan.. tawar semuanya. Kenapa? Sebab dah tak ada harapan. Kalau masih ada harapan pasti dia berusaha lagi, ye tak?

Hidup kita sehari-hari dipandu oleh harapan demi harapan. Macam-macam harapan yang kita impikan. Macam-macam impian yang kita harapkan.

Harapan untuk umur panjang..
Harapan untuk hidup senang..
Harapan untuk kerja sikit gaji besar..
Harapan untuk jadi orang yang disenangi ramai orang..
Harapan untuk melawat tempat orang..
Harapan untuk itu..
Harapan untuk ini..
Harapan yang terus diharapkan menjadi...

Bila ada yang menghampakan harapan kita, tiba-tiba semuanya rasa berubah. Yang selama ini kita sanjung, jadi kita benci. Yang selama ini kita junjung, jadi kita keji. Kenapa? Sebab harapan kita tak kesampaian. Salah kita kah? Tak juga.. memang fitrahnya manusia itu mengharap pada sesuatu.

Dalam surah Kahfi, ayat 46, Allah berfirman yang bermaksud "Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan."

Dalam erti kata lain, mengharaplah hanya pada Allah sebagai pemberi dan penyedia segala-galanya. Sebab bila kita mengharap pada Allah, hati kita akan lebih hampir padaNya. Jika berlaku sesuatu yang kita tak jangka, kita tak akan cepat melatah dan jauh sekali untuk buruk sangka denganNya.

Harapan dalam hidup kita, bila bersandar pada keesaan Allah, akan lebih terasa manisnya kasih sayang Allah pada kita. Kenapa? Tak percaya? hehe... cubalah dulu.. nanti tau sendiri..

Ya Allah, hampirkan aku kepadaMu. :)

Wednesday, November 07, 2007


Doaku...

Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka.


Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam Neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya dan orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorang penolong pun.


Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar
seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, katanya: Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu, maka kami pun beriman.


Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti (yang banyak berbuat kebajikan).


Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-rasulMu dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat; sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji.



surah Ali-Imran: 191-194


Amin ya Rabbal 'Alamin.

Wednesday, October 31, 2007

Exam!!



Exam datang lagi. Kali ni aku cuma perlu ambil dua kertas untuk peperiksaan akhir. Sebab dua subjek lagi tu aku audit je.. maksudnya, cuma perlu hadir ke kelas dan buat tugasan, tapi tak perlu ambil peperiksaan akhir.

Entah kenapa semester ni sibuknya lain macam. Malasnya pun lain macam.. Eheh! Tapi insyaAllah, aku cuba buat yang terbaik juga kali ni. Alhamdulillah, semester lepas semuanya ok, harapannya kali ni begitu juga.

Dalam menempuhi hidup kita ni, memang kita tak terlepas dari ujian. Ujian atau exam ni datang dalam pelbagai bentuk. Semuanya bergantung pada persepsi dan kekuatan kita. Ada orang harta menimbun dianggap ujian. Ada orang penyakit keturunan juga dianggap ujian. Ada juga yang menerima tetamu pun dianggap ujian.

Terpulanglah pada kita untuk menhadapi ujian-ujian tu. Kalau kita bersedia, insya Allah selamat. Tapi kalau kita selalu berfikiran negatif, perkara yang baik pun boleh jadi buruk.

Dalam Al-Qur'an Allah jelaskan pelbagai bentuk ujian. Pokok zaqqum dijadikan ujian. Harta dan anak pinak dijadikan ujian. Kesusahan dan kelaparan dijadikan ujian. Hatta mukjizat para Nabi dan Rasul juga dijadikan ujian.

Allah menyebut dalam surah ar-Rum ayat 37:

"(Mengapa mereka bersikap demikian?) dan mengapa mereka tidak melihat (dengan hati mereka) bahawa Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (sebagai cubaan adakah orang itu bersyukur atau sebaliknya) dan Dia juga yang menyempitkannya (sebagai ujian samada diterima dengan sabar atau tidak)? Sesungguhnya hal yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman".

Di sini Allah menerangkan tentang ujian kesabaran yang diberikan pada hambaNya, semata-mata untuk melihat siapakah dikalangan mereka yang bersifat sabar. Juga untuk membuktikan kuasaNya, of course.

Ya Allah, bantulah kami melepasi ujian dariMu dengan hidayah dariMu jua, amin.

Wednesday, October 24, 2007

Jom Makan-makan

Waktu bulan puasa dulu, ada yang menganggapnya sebagai pesta makan-makan. Mana tidaknya, bila tiba waktu petang je, gerai-gerai yang tumbuh macam cendawan lepas hujan akan mula hidup dengan pelbagai warna, bau dan bunyi. Segala macam juadah ada dijual. Sebagai pembeli, kita cuma perlu sediakan duitnya saja.
Sekarang, waktu Ramadhan berlalu, pesta makan-makan masih rancak berlangsung. Tapi dengan cara yang lain pula. Ada pelbagai juadah yang ditempah lebih awal memenuhi meja-meja makan. Selalunya, yang ditempah awal-awal ni biskut-biskut raya la.

Kalau dulu, suri-suri rumah, wanita bekerja dan anak-anak gadis yang baru mula nak tunjuk skill, sangat berbangga menunjuk biskut-biskut dan kek yang berjaya dibuat hingga bersengkang mata. Semata-mata nak menyambut raya.
Sekarang ni pulak, suri-suri rumah, wanita bekerja dan anak-anak gadis yang baru mula nak tunjuk skill, sangat berbangga menunjuk biskut-biskut dan kek yang berjaya ditempah dari awal Ramadhan hingga ke awal Syawal. Semata-mata juga nak menyambut raya. Jadilah trend sekarang ni banyak biskut tunjuk dan kek tunjuk atas meja. Eheh..
Aku tak ada bajet nak tunjuk-tunjuk tahun ni. Maklumlah, tak bekerja. Nak mintak banyak-banyak dari Abang malu la pulak. Jadinya, aku cuma mampu buat biskut Arab dan kuih gunting je. Haa, kek coklat satu lagi.. itu pun cukup lah kot.. sebab Mama dah tunjuk awal lagi! Ahaks!
Meh kita kongsi tengok biskut-biskut ni.. Namanya aku tak tau. Tau makan jer..hehe..















Makan, makan juga. Jangan makan mende lain dah..
Allah mengingatkan dalam surah al-Baqarah ayat 188 yang bermaksud:
"Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)".

Ya Allah, kurniakan kami rezeki yang luas dan halal. amin.

Monday, October 08, 2007


Salam Aidil Fitri 1428!

Semoga semua amalan diterima Allah. Seperti mana haji yang mabrur, puasa pun ada mabrur juga. Kalau kita nak tahu puasa kita mabrur ke tidak, cuba tengok pe'el, kelaku, perangai kita lepas raya ni.. Kalau sama jer macam sebelum Ramadhan, besar kemungkinan puasa kita hanya lapar dan dahaga, na'uzubillah! Tapi kalau rutin kita sedikit sebanyak berubah, i.e. ada tambah sikit solat sunat ke, baca Qur'an lebih sikit ke, atau dah dimulakan ke, atau at least sikap kita sesama manusia ada lembut jugaa, insya Allah puasa kita mabrur. :)
Selamat menyambung silaturrahim. Selamat meraikan fitrah yang lama dirindukan.
Maaf Zahir dan batin,
-izalatif
Gombak.

Thursday, October 04, 2007

Masnur Aisyah binti Masmuliadi







Masnur Batrisya binti Masmuliadi




Semoga kalian membesar menjadi anak-anak yang solehah, amin Ya Rabb! :)


Monday, October 01, 2007

Dah nak masuk Syawal

Tak sampai 15 hari lagi Syawal akan muncul menggantikan Ramadhan. Waktu ni biasanya orang ramai dah sibuk nak buat persiapan menyambut Syawal. Tema Ramadhan dihayati dah semakin kabur. Walaupun kadang-kadang ada juga hasrat untuk cuba menahan nafsu dari menyibukkan diri dengan urusan dunia.

Aku tak cerita pasal orang lain. Aku cerita pasal diri aku ni ha. Belum pun masuk 10 hari terakhir, aku dah terlalu sibuk dengan tugasan yang tiba-tiba hadir macam air yang mengalir dari empangan pecah. Itu belum masuk tanggungjawab jadi isteri dan anak lagi. Bukanlah aku tak bersyukur dapat title pelajar, isteri dan anak, tapi kelemahan aku dalam menguruskan priority dunia. Astaghfirullah!

Semoga Allah mengampuni aku dan memberikan petunjuk dan hidayahNya padaku. Amin.

Tuesday, September 04, 2007

Tuesday, August 21, 2007

Pesan Manusia Istimewa Dalam Al-Qur'an

Surah Luqman : 16-19


(Luqman menasihati anaknya dengan berkata): Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi.

Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.

Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.

Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.


wallahu a'lam. Tak berupaya aku nak mengupasnya.. Ya Allah, kurniakan padaku taufik dan hidayah dari Mu. amin.

Thursday, July 26, 2007

Pandai

Bila sebut banyak-banyak kali perkataan 'pandai' ni jadi pelik pulak bunyinya di telinga ni.. Eheh.. memang aku tak pandai. Dari kecil lagi, aku bukan seorang yang bijak apatah lagi bestari. Dari kecil lagi juga aku ni seorang yang 'slow learner'. Sikit pun aku tak tipu. Itu lah hakikatnya.

Apa yang ada dalam diri aku hanyalah secebis iltizam dan semangat yang membara. Kalau kamu faham maksud 'membara' itu tentu kamu faham tentang semangat aku yang turun naik. Macam bara api.. bila ditiup, maraklah sikit.. Kalau lama ianya dibiarkan, sejuk nanti.

Alhamdulillah, Allah lebih Mengetahui. Walaupun aku ni agak lembab bab belajar ni, tapi sebab aku enjoy menggali lubuk ilmu dan menimba pengalaman, alhamdulillah segalanya dengan kurniaNya.

Status sekarang: Sem II
Proposal: 50% - 30% = 20% eheh.. sebabnya ada kemusykilan bab scope. Aduss..
Kekerapan jumpa penyelia: Sebulan sekali.. (patutnya 2 minggu sekali)
Ada kelas lagi? Ada
Berapa? 2 prereq, 2 audit
Biasiswa dah dapat? Blom
Pinjaman? Alhamdulillah ada lagi. Belum reject.
Ada berita terbaru ke? Ada. Bagi aku berita kurang baik, kena lantik jadi President Persatuan Pelajar department aku. Allahu Akbar! Tanggungjawab dan amanah berat..
Lagi? Yang ni best sikit.. Jadi trainer untuk pakej leadership and management bagi kokurikulum pelajar undergrad.
Overall? Alhamdulillah! Aku bersyukur ke hadrat Mu, Ya Allah! Tentu sahaja perancanganMu mengatasi pengetahuanku.




Firman Allah dalam surah alAnkabut ayat 48 yang bermaksud:



"Dan engkau (wahai Muhammad) tidak pernah tahu membaca sesebuah kitab pun sebelum turunnya Al-Quran ini dan tidak pula tahu menulisnya dengan tangan kananmu; (kalaulah engkau dahulu pandai membaca dan menulis) tentulah ada alasan bagi orang-orang kafir yang menentangmu akan merasa ragu-ragu (tentang kebenaranmu)".

Ya Allah, tetapkan kami dijalanMu. Amin.

Friday, May 18, 2007

Letih Berjalan

Kalau siapa yang masih tak tau, ni aku nak share sesuatu.. Kampus UIA Gombak tu is a walking campus. Strukturnya dibina dengan masjid ditengah-tengah, dan bangunan kuliyyah membentuk seakan bulatan mengepung masjid.

Yang itu aku tak kisah sangat, sebab kalau hujan, kalau rajin, kita tak perlu basah sikit pun. Hasil dari struktur bangunan yang bersambung-sambung. Tapi, tempat letak keretanya, saaaaangatlah jauh. Err... bagi pelajar lah. Jadi, aku berstatus pelajar ni terpaksalah berjalan jauh. Hehe..

So, kasut aku begitulah cepatnya haus. Yang biru ni aku pakai waktu semester pertama tuari. Sekarang dah ganti yang lain.. Adik beradik dia jugak, tapi pattern lain sikit dan warna brown. Maklumler, kasut murah, tak tahan lama. 3-4 bulan dah haus tapak la, jadi waffle* kat dalam kasut tu la.. (waffle tu jadik sebab tapak bahagian dalam tu dah nipis sangat hinggakan tinggal frame tapak tu berpetak-petak.. macam waffle!)

Dalam kitabNya, Allah berfirman pada surah anNur ayat 45, yang bermaksud:

"Dan Allah menciptakan tiap-tiap haiwan yang bergerak itu dari air; maka sebahagian di antara mereka menjalar atas perutnya dan sebahagian di antaranya berjalan dengan dua kaki dan sebahagian lagi berjalan dengan empat kaki. Allah menciptakan apa sahaja yang Dia kehendaki (selain dari yang tersebut), kerana sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."

Maka aku sangat-sangat bersyukur sebab aku masih boleh berjalan dengan dua kaki anugerah Allah ini, alhamdulillah!

Ya Allah, jadikan langkahku hanya untukMu, amin.

Tuesday, May 15, 2007



Alhamdulillah!

Itu je yang aku mampu ucapkan sekarang. Walaupun sibuk, aku rasa terlalu diberi perhatian olehNya. Dan aku berdoa agar ia berkekalan.. supaya aku tetap senyum..macam Aisyah yang suka bila dapat air yogurt perisa strawberry kegemarannya nih. hehe..

Banyak betul anugerah yang Allah kurniakan. Aku berdoa agar semua yang diberi itu bukan istidraj bagi aku. Aku harap aku lebih rapat dan hampir denganNya bila semua kesibukan ini datang menghimpit.

Dah lama tak update.. heheh, sibuk banyak. bukan sikit.. tapi research aku masih stagnant. Peh! Esok nak jumpa Prof. Tak tau nak report apa.. tapi mesti pergi jumpa.

Lusa exam 70-290: Network Server 2003. Tak pandai pun.. kena belajar lebih sikit la. Abg senyum je bila aku sebut terms yang dia selalu jumpa. Kadang-kadang dia tergelak sebab aku bagitau dia yang aku dah tau apa yang dia dah tau lamaaaaa dulu. Heheh.. adatla kan, orang belajar.

OK, la.. aku kena pen off untuk menyambung kesibukan dunia.

Ya Allah, jadikan kesibukan kami di dunia ini jambatan untuk menuju syurgaMu.. dan jadikan kami nanti sibuk seperti yang Engkau janjikan diakhirat nanti, amin ya Allah!

Firman Allah surah Yaasin ayat 55 yang bermaksud:

"Sesungguhnya penduduk Syurga pada hari itu, berada dalam keadaan sibuk leka menikmati kesenangan.."

Monday, March 12, 2007

Sibuk sangat dengan kelas...

...sampai tak sedar masa berlalu. Tau-tau, laa ni dah nak exam. Mula 22 haribulan Mac hinggalah 2 haribulan April ni. Allahu Akbar! Aku dah ready ke? Assignment tak pernah tak ada. Setiap minggu pasti ada presentation dan/atau tugasan yang perlu dihantar. Tak kelas Prof. Bakeri, kelas Prof. Sal.. tak kelas Bro. Nizam, kelas Dr. Basri.. Allaahh.. lemah lutut tu idak ler.. lemah semangat sikit! Heh!
Kelas Mandarin dah habis. Final exam nya hari Selasa minggu lepas. Fuh! Ini empat lagi nak lalu ni. 23 dan 24 ni tak tahu la macamana, nak tak na kena jugak ikut ke Bukit Tinggi. Compulsory untuk present research progress. Walaupun aku belum mula lagi, tapi disuruh juga pergi.
Interview juga tak habis-habis. Lepas YP, MOSTI. Lepas MOSTI, CCAC. Besar harapan aku agar dapat MOSTI. Ya Allah, permudahkanlah yang baik bagi ku. Amin.
Bila dah kelam kabut begini, barulah nak sedar.. heheh.. awat tak study dari awal, Iza? AAAArrghhh!!! OK lah.. aku nak study la ni. Bukan tak study, tapi tak pandai manage masa. Astaghfirullah!!
Ya Allah! Kuatkan semangat ku! Amin..

Saturday, February 17, 2007

Sabar

Ramai orang pernah dengar perkataan ni.
Dan ramai juga yang selalu menggunakannya.
Namun tak begitu ramai yang memahami hakikat perkataan ini.

Sabar terlalu besar maknanya.
Tak layak untuk orang yang tidak sabar, menasihati orang lain supaya bersabar.
Tak layak untuk orang yang sabar, menyalahgunakan istilah ini.

Sabar pada kesusahan, sabar juga pada kejayaan.
Sabar pada penghinaan, sabar juga pada penghormatan.

Bukan sabar namanya jika diam bila ditegur, tapi dendam berpanjangan.
Bukan sabar namanya jika membatu bila Rasul dihina, atas nama rasionalisasi.

Allah sangat kasih pada orang yang sabar. Tapi sabar yang bagaimana?


Kalau dalam menghadapi ujian kepayahan, ramai orang akan bersabar. Dan ramai juga yang akan cepat melatah. Ramai yang mencari bantuan dan seharusnya sebagai umat Islam kita berpaling hanya pada Allah. Yakinlah bahawa Allah akan bantu kita.

Allah mengingatkan kita dalam surah al Baqarah ayat 45, yang bermaksud:

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang..."

Yang bahagian depan tu, ramai juga yang ingat (sabar). Tapi yang peringatan kemudian itu payah orang nak buat (solat). Kenapa? Sebab Allah sambung lagi dalam firmanNya pada ayat yang sama bermaksud:

"...dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk".

Maksud 'orang-orang yang khusyuk' di sini, secara mudahnya boleh kita katakan orang-orang sentiasa menjaga solat 5 waktu. Tidak lalai dari menunaikan rukun Islam yang kedua ini.

Jadi, jika kita hanya buat yang depan sahaja tadi, i.e. hanya bersabar tanpa solat untuk menghadapi ujian, syarat yang diletakkan oleh Allah sudah tidak sempurna kita laksanakan. Korang faham tak?

Begini, ibarat penggunaan 'DAN' di dalam syarat boolean, jika Syarat 1 DAN syarat 2 diperlukan, maka kedua-dua syarat perlu dipatuhi. Barulah hasilnya jadi seperti yang dikehendaki. Jika hanya 1 syarat yang perlu dipatuhi, pernyataan boolean itu pastinya menggunakan 'OR'.

Ayat Allah tadi menggunakan 'DAN'. Seharusnya kita menunaikan kedua-dua syarat itu beriringan barulah kita akan berjaya mendapatkan apa yang dihajati. Bukan dengan hanya bersabar, maka kita akan melepasi ujian itu dengan jayanya. Jika itu yang berlaku, insan tadi akan cepat habis tahap kesabarannya.

Atau bukan hanya dengan bersolat memohon pada Allah agar dilepasi ujian getir itu tanpa rasa sabar. Ramai yang solat memohon hidayah tetapi tidak sabar menunggukan ianya diberikan atas kasih Allah yang Maha Agung. Makanya, ramai yang putus harap pada Allah kerana memikirkan mereka telah berserah tetapi seolah-olah Allah tidak memperdulikan mereka.

Seharusnya kita bersabar DAN bersolat memohon petunjuk Allah. Insya Allah, janji Allah tidak pernah Dia mungkiri untuk membantu kita. Kata orang Inggeris, "if Allah brings it to you, He will bring you through it".

Ingatlah juga janji Allah dalam surah al Anfaal ayat 66, yang bermaksud:

"...jika ada di antara kamu seratus orang yang sabar, nescaya mereka akan dapat menewaskan dua ratus orang dan jika ada di antara kamu seribu orang, nescaya mereka dapat menewaskan dua ribu orang dengan izin Allah dan (ingatlah) Allah berserta orang-orang yang sabar."


Ya Allah, jadikanlah kami orang yang sabar, kerana sesungguhnya Engkau amat mengasihi orang yang sabar, amin.

Sunday, February 11, 2007

Kena Belajar Buat Sendiri...

Dah seminggu aku tak boleh print apa-apa. Sebab utamanya ialah dakwat hitam printer aku dah habis. Jumaat lepas Abg beli dakwat dan baru hari ni aku berkesempatan mengisinya.

Inilah kali pertama aku refill dakwat. Hehe.. betul! Sebelum ni, kalau tak Abg yang jadi mangsa tangan hitam, si Tengku yang kena. Dua-dua tak suka kerja tu, tapi terpaksalah.. demi K.iza sorang ni. Hehehe...

Tapi hari ni aku kena belajar buat sendiri, kata Abg. Senang nanti kalau dia outstation, takde lah aku terkapai-kapai macam ikan atas darat. OK lah, aku dengan senang hati belajar memasukkan dakwat baru. Takde lah susah sangat pun. Saja tak ambil kisah sebelum ni. Bertuah punya budak!

"Macammana ni? Tak ada pun!" Aku terjerit kecil sambil tengok kat tempat katrij dakwat tu tak ada apa-apa.

"Laa.. kena la on dulu." Kata Abg. "Tuu..." sambungnya sambil menunjukkan katrij dakwat yang 'keluar' dari bawah penutup bila suis letriknya dipasangkan.

"OK, tarik yang 56 punya keluar." Abg mengajar.

"56?"

"Haa, 56 tu. Dia ada dua, 56 dan 57. Bawak turun yang 56 tu."

"Oo, OK." Aku sengih kat Abg. "Lepas tu?"

"Tu, ada manual. Baca!" dengan tegas dia memberi arahan sebelum berlari ke tandas. Sakit perut katanya.

Aku pun memulakan misi aku kali ini. Abg kata jaga-jaga, jangan sampai terlebih. 10ml cukup. Bila dah siap tu, lekatkan balik sticker tu dan masukkan dalam casing tu semula. Aku pun buat seperti yang diarahkan. Sengih-sengih.

Bila dah OK semua tu, aku pun on printer untuk test. Bila keluar hasilnya, aku senyum puas. OK! kata aku sambil menegakkan ibu jari pada Abg.

Dia tanya, "OK dah?"

Aku angguk. Senyum.

"Selamat... Kalau tak hitam lagi tangan aku." katanya sendirian. Abg meminta kertas yang baru aku cetak untuk lihat hasilnya.

Terima kasih Abg sebab ajar Iza refill dakwat printer. :)



Ya Allah, kau bahagiakanlah hidup kami, amin.




Thursday, February 08, 2007

Tolong jawab survey, terima kasih :)

Kalau free boleh tak tolong saya isikan survey ni? Soalannya tak banyak, ada enam (6) je. Kejaapp je.. hehe.. Kalau boleh, saya amat menghargainya. Survey ini berkenaan kesedaran tentang konsep KM di kalangan pekerja di Malaysia.

Untuk partisipasi, sila klik di sini.

Terima kasih! :) Semoga Allah memudahkan hidup anda!

Wednesday, February 07, 2007

Jom Makan!

Balik dari kelas Hanyu tadi aku nampak "MEMAHAT SEJARAH, MENGUKIR TAMADUN" tertera kat belakang t.shirt sorang pelajar lelaki. Mungkin pelajar tu sedar ayat tu ada kat belakang dia, maka dia dengan bersungguh-sungguhnya cuba mengukir tamadun dirinya, keluarganya, bangsanya dan negaranya dengan mengadakan study group malam ni.

Aku? Balik dari kelas, aku rasa lapar.. so, JOM MAKAN! :P


Ya Allah.. AlhamduLillah atas rezeki yang Engkau kurniakan padaku malam ni.


Note: Setiap kali Abg outstation, aku lebih selesa masak moi. Senang. Tak payah lauk. Tambah kiub ayam satu dah cukup. Boley ulang banyak kali.. heheh.. Tengahari, malam.. Tapi hari ni dapat nasi lemak ayam goreng. Balik kelas petang tadi 'ter'lalu ikut pasar malam. Apa lagi, berenti kereta, beli apa yang ada. AlhamduLillaahhh... :)

Tuesday, February 06, 2007

The vain game

credit: as above

Permainan Yang Sia-sia

Masyarakat manusia di mana-mana juga sekarang ni selalu berhadapan dengan stres. Tekanan. Hmm, mungkin bukan sekarang saja, dari dulu lagi. Dari waktu mula-mula Nabi Adam alaihi salam diciptakan.

Dengan pernyataan stres itu, maka ramai pulalah cuba mencipta sesuatu agar hidup ini tidak terlalu stres. Diciptakannya segala macam bentuk hiburan agar hidup ini lebih 'selesa' dan 'tidak sia-sia'. Juga dibina segala macam tempat untuk menghilangkan stres dengan segala macam kelengkapan. Walhal, apa yang diperolehi adalah bertambahnya tekanan itu.

Allah mengingatkan kita dalam firmanNya dalam surah alAn'am ayat 32:

"Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?"

Lebih dari selalu kita lihat orang menganggap ubat itu siksaan. Lebih dari biasa juga kita saksikan orang mengambil sesuatu yang sia-sia itu sebagai penawar. Ada yang mendapat sedikit petunjuk berkenaan yang mana ubat dan yang mana sia-sia. Namun, oleh kerana ketiadaan hidayah, usaha murni hanya tinggal sebagai jasa baik.

Contohnya macam Mother Teresa dan Jane Addams. Hidup mereka penuh dengan jasa baik. Kerja amal yang mereka buat melebihi daya upaya mereka sendiri. Sanggup meninggalkan kesenangan sendiri demi kepentingan orang lain. Tidak langsung kehidupan mereka memikirkan stres tentang diri sendiri, tetapi memikirkan musibah yang mungkin menimpa orang lain jika mereka tidak ditolong. Lalu kehidupan mereka diabdikan untuk membantu meringankan beban yang lain.

Jane, misalnya terlalu obses dengan kerja amalnya, hingga mendapat hadiah Nobel Keamanan pada tahun 1931. Antara kata-katanya yang masyhur ialah "“You do not know what life means when all the difficulties are removed! I am simply smothered and sickened with advantages. It is like eating a sweet dessert the first thing in the morning.”

Namun, usaha mereka tinggal usaha yang tidak mampu membantu mereka di alam berikutnya. Hanya kerana tiada hidayah dari Allah. Bagi kita yang telah mendapat hidayah, kurang pula jasa baiknya. Atau mungkin kerana selesa memikirkan hidayah yang telah dikurniakan? Awas, ia mungkin lenyap jika tidak dijaga! Seperti meruapnya air ditengah panas.

Ya Allah, ramai sungguh di antara kami yang terlalai dan dilalaikan. Kau berikanlah kami taufik dan hidayahMu Ya Rabbi. Dan bantulah kami menjaganya.. amin.

Saturday, January 27, 2007

Tanda KasihNya

Sebagai wanita, aku sangat menghargai kasih sayang.

Tak kiralah, kasih sayang Abg pada aku ke, kasih sayang orang lain pada aku ke, kasih sayang aku pada orang lain ke, kasih sayang orang lain pada orang lain ke, atau pun kasih sayang orang pada binatang dan tumbuhan.

Namun, yang paling aku hargai ialah kasih sayang Nya terhadap kaum wanita. Jelas di dalam firmanNya di dalam surah anNur ayat 31, Allah berpesan kepada semua:

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram)

... dan memelihara kehormatan mereka

... dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya;

... dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka;

... dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada
  • suami mereka
  • atau bapa mereka
  • atau bapa mertua mereka
  • atau anak-anak mereka,
  • atau anak-anak tiri mereka
  • atau saudara-saudara mereka
  • atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki
  • atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan,
  • atau perempuan-perempuan Islam
  • atau hamba-hamba mereka
  • atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan
  • atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan

... dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka

... dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya".

Ya Allah, sebegitu kasihMu memelihara wanita, namun masih ramai yang kabur tentang perintahMu ini.

Ya Allah, kurniakan kami taufik dan hidayah, amin.

Wednesday, January 24, 2007

Korban

Jika ditanya pada yang berkorban, mungkin jawapannya dalam hati: "tiada yang lebih mengerti tentang pengorbanan lebih dari aku."

Jika disoal pada yang dikorbankan, mungkin riak pada wajahnya menggambarkan perasaan kesal kerana dikorbankan tanpa rela.

Jika diaju pada yang terkorban, mungkin balasnya: ini hari mereka, belum hari dia.

...

Hikayatnya : ramai yang menyangka mereka telah berkorban. Demi kepentingan pihak lain. Demi kesenangan yang tersayang. Walaupun jauh disudut hati mereka, mereka menangis pilu mengenangkan apa yang telah dikorbankan.

Hakikatnya : hanya sedikit yang diterima Allah korban mereka. Kerana bukan mudah untuk berkorban, apatah lagi bila yang menerima pengorbanan itu keluarga terdekat. Korang faham tak?

Begini, biasanya bila kita 'berkorban', tentunya kita memikirkan perkara tersebut. Kita ambil contoh mudahlah, karipap sedap yang mak goreng tinggal satu je dalam pinggan. Kita baru nak pegang, adik jeling. Kita pun fikir, takpe lah, untuk mu adik, aku rela berkorban! Ewah! Lalu tangan kita mengambil karipap itu, dan dihulurkan kepada adik tersayang.

Malam tiba. Sesuatu berlaku lalu kita berselisih dengan adik. Bukan besar pun halnya, berebut remote control nak tengok TV! Tiba-tiba terpacul dari mulut kita: "Haa, tadi siang aku kan dah bagi karipap kat engkau. Malam ni engkau bagi la pulak remote tu kat aku!" Uiks!

Pengorbanan memerlukan keikhlasan. Tanpa keikhlasan, semua yang kita korbankan tiada maknanya. Hancur terus jadi abu. Tiada setitik pun kebaikan didalamnya. Sebaliknya, timbul pula rasa riak, takbur serta ujub. Riak bila orang menyebut-nyebut 'pengorbanan' yang kita lakukan. Takbur dengan 'sifat baik' yang ada pada diri. Juga ujub memikirkan kehebatan diri! Astaghfirullah... na'uzubillah!

Firman Allah dalam surah al Hajj, ayat 37, maksudnya:

"Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya".

Ya Allah, jadikan kami hambaMu yang ikhlas, amin.

Friday, January 12, 2007

Amanah

Allah berfirman yang bermaksud:

"Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya) dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan".

alAhzaab:72


Tahun Masihi yang baru ni tentunya membawa lebih banyak tanggungjawab dan amanah buat kita semua. Aku melihat terlalu banyak amanah yang diabaikan pada tahun lepas. Tak kiralah, aku punya ke, orang lain ke.. aku rasa umat sekarang ni sama je. Pangkat tinggi ke, pangkat rendah ke. Benarlah kata-kata Allah.. manusia ini kebanyakannya zholuuman jahuula.. Dah le zalim pada diri sendiri, jahil pulak tu.


Tahun ni harapnya perkara sebegitu akan berkurangan. Walau bagaimanapun, sama-samalah kita muhasabah supaya tidak terus lalai dan leka. Setiap yang datang itu adalah amanah. Tugas baru, rakan baru, kereta baru, rumah baru, keluarga baru, dan segala macam lagilah yang baru. Sebab setiap satu tu juga akan ditanya peranan kita di akhirat nanti.
Ya Allah, bantulah kami untuk melaksanakan amanah Mu. amin.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...